Thursday, March 3, 2011

KEMARAHAN PAS TAK BERTEMPAT....

Pas marah yang 'bukan-bukan'

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Penyokong Pas bersemangat dengan mengenakan penutup mulut sebagai tanda sokongan kepada parti itu pada penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau, Melaka.

JIKA sesiapa ke Merlimau ketika ini, pastinya mereka akan berasa kagum. Ini kerana di markas-markas BN dan Pas di tepi- tepi jalan dan lebuh raya, bendera dan sepanduk parti masing-masing berkibar megah dengan kelibat petugas dari kedua-dua parti dilihat bercampur gaul.

Di warung-warung, mereka menghirup teh dan kopi bersama-sama. Soal ideologi politik diketepikan sementara. Di lot-lot kedai di pekan Merlimau, demikian juga. Tidak ada peniaga mengambil peluang menaikkan harga. Kedai dobi pun ada yang ditutup. Kehidupan harian berjalan biasa, meskipun kempen pilihan raya kecil (PRK) memasuki hari keempat semalam.

Begitupun dalam politik, lawan tetap lawan. Biarpun aura persaingan di Merlimau dikatakan lesu dan 'direntap' oleh PRK Kerdau, dakwa sebahagian penduduk 'Melemau', Pas yang menjadi pesaing BN mula menampakkan 'taring sebenar'. Meskipun pada peringkat awal, agak 'panas punggung' dibuatnya dalam mencongak isu, Pas dikatakan telah merancang strategi yang 'bukan-bukan' untuk menidakkan keupayaan BN.

Bermula dengan mengaitkan isu 'dinasti' membabitkan keluarga calon BN, Roslan Ahmad, Pas beralih pula kepada 'skuad kameranya', konon untuk mengintip 'perlakuan rasuah' jentera kempen BN. Tidak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mendedahkan strateginya untuk memerangkap pelaku rasuah, tindakan Pas pula sebaliknya.

Demikian juga dengan tuduhan kononnya jentera BN 'mengedarkan' risalah berserta 'gambar lucah' beberapa pemimpin pakatan itu di sekitar Merlimau. Namun semua dakwaan itu dibalas oleh kepimpinan BN sebagai taktik mahu 'menterbalikkan pemikiran' pengundi atau reverse pyschology.

Semalam, Pas 'kembali' lagi mengaitkan kononnya ganjaran Anugerah Tawaran Baru RM7,500 seorang kepada 586 guru besar dan 12,141 guru (RM1,800 seorang) sebagai cubaan meniru buku jingga. Malah 'lebih menarik lagi', Pas menjanjikan pula jika pihak pembangkang berkuasa, hampir 500,000 guru akan menikmati ganjaran yang serupa.

Dan paling ketara yang begitu digeramkan oleh parti itu ialah peneroka Felda. Golongan peneroka itu dilabelkan sebagai 'stok penimbal' UMNO. Orang Melayu di pedalaman dan kampung-kampung pula dituduhnya sebagai 'deposit tetap' UMNO.

Marah benar Pas dengan peneroka Felda. Mengapa? Rakyat tahu dan sedar peneroka Felda begitu dekat dengan UMNO. Ini dibuktikan di Galas, Tenang dan Hulu Selangor yang menyaksikan sokongan peneroka Felda membantu kemenangan calon BN.

Marah betul Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman kepada peneroka Felda yang diungkapkan di Merlimau kelmarin, barangkali lebih cenderung kepada golongan itu di Kerdau. Ini kerana daripada keseluruhan 8,999 pengundi di Kerdau, 7,988 orang adalah kaum Melayu (88.77 peratus) dengan sejumlah 3,011 merupakan peneroka di Jengka 22, 23 dan 25.

Realitinya dari peringkat bawah hingga visi masa depan, peneroka dan keluarga Felda tidak pernah diketepikan kerajaan. Malah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Felda yang sebelum ini berasaskan getah dan kelapa sawit kini menuju ke era masa depan dengan menumpukan kepada tiga perkara baru, iaitu Felda bermatlamat memainkan fungsi sebagai gedung makanan negara dengan menjadi pengeluar lembu daging, ikan air tawar serta sayur-sayuran dan buah-buahan negara.

Selain itu, Felda kini merupakan pengeluar utama gula negara dengan menguasai 70 peratus kepentingan dalam Malayan Sugar Manufacturing Co. yang dimiliki jutawan Tan Sri Robert Kuok. Selama setengah abad Felda memainkan peranan penting untuk masyarakat Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial dan di bawah pentadbiran Najib, Felda meneroka bidang bioteknologi tinggi. Felda memiliki pusat bioteknologi terbesar di Nilai dengan mengeluarkan klon-klon kelapa sawit baru yang bagus.

Felda turut mengeluarkan elektrik daripada biomas iaitu bahan-bahan buangan sawit. Penjanaan elektrik turut dijalankan di Felda Sahabat, Lahad Datu (6 megawatt) yang akan dilaksanakan juga di Jengka 9 (12 megawatt). Malah tidak lama lagi, akan dinaiktaraf penjanaan elektrik di Felda Sahabat kepada 35 megawatt. Namun usaha Felda untuk pembangunan peneroka masih menghadapi halangan yang bukan sedikit daripada pihak tertentu. Malah, pembangkang yang mendalangi ini semua memomokkan Felda kononnya akan bankrap.

Namun tanggapan itu salah. Felda yang kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM12.2 bilion mampu membayar cukai serta zakat melebihi RM1 bilion dan tidak begitu mudah akan diisytiharkan bankrap. Demikian juga Felda merupakan satu-satunya organisasi di negara ini menjamin pendapatan minimum sebanyak RM1,000 kepada peneroka di bawahnya dan tiada agensi lain yang berbuat demikian untuk kumpulan individu di bawah mereka.

Realitinya, marah Pas kepada peneroka Felda dan cubaan memutarkan 'pita rakaman' isu yang bukan-bukan khususnya di Merlimau mungkin bersebab. Ini kerana jika ada pun negeri yang begitu 'kalis' kelibat Pas dalam sesebuah Dewan Undangan Negeri, ia tidak lain tidak bukan adalah Melaka Bandaraya Bersejarah.

Sejak negara merdeka pada 1957 lagi, Pas gagal meraih sebarang kerusi di negeri Hang Tuah itu sekalipun jenuh meletakkan calon pada siri Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK. Parti itu tidak pernah menang sehinggalah pada Rabu lepas apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merayu pengundi agar menerima calon parti itu untuk 'menemani' lima ADUN dari DAP dalam dewan negeri itu.

Mengapa Pas ditolak oleh anak Melaka? Di negeri itu hakikatnya tidak ada isu pembangunan yang boleh dipolemikkan. Tanyalah sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana. Tidak ada kemiskinan tegar, sampaikan timbul tanggapan ideologi perjuangan yang dilaung-laungkan pihak pembangkang begitu 'lemau'.

Nak disentuh isu Islam di sini, takut-takut Pas akhirnya malu sendiri. Isu negara berkebajikan, Melaka sudah jauh ke depan membela golongan asnaf fakir dan miskin. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) baru-baru ini memperuntukkan RM1.225 juta daripada keseluruhan pungutan zakat tahun lepas untuk kedua-dua golongan itu di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, seramai 8,861 orang layak menerimanya termasuklah 294 orang warga miskin dan saudara baru dari kawasan DUN Merlimau. Hendak dikatakan dalam agenda membela rakyat kurang berkemampuan, Melaka realitinya jauh meninggalkan Kelantan.

Malah, penduduk Merlimau turut menerima tempias Program Nur Kasih - program khidmat masyarakat di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Sejumlah 20 keluarga di DUN Merlimau turut menerima peruntukan RM5,000 bagi pembiayaan membaiki rumah rosak dan daif.

Banjir! musibah dari hukum alam? Umum maklum bencana itu melanda beberapa negeri termasuk Melaka tempoh hari. Melaka mencatatkan bilangan mangsa sebanyak 9,089 orang melibatkan 2,235 keluarga. Apa yang dilaksanakan Ketua Menteri ialah melaksanakan program mengurangkan risiko bencana itu. Antaranya projek tebatan banjir dan pembinaan kolam takungan serta penerapan teknologi hijau. Bukankah itu cara yang dituntut Islam?

Mengimarahkan masjid? Melaka telah pun melakukannya. Malahan Masjid Al-Azim di Ayer Keroh sendiri akan direntasi landasan trem bernilai RM272 juta. Landasan trem sejauh 40 kilometer itu bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh melalui 23 lokasi termasuk tempat-tempat bersejarah sehingga ke Dataran Pahlawan dan Bandar Hilir. Caj bayaran kemudahan trem tersebut juga mesra rakyat. Ia antara terendah di dunia iaitu RM2 untuk sekali perjalanan manakala RM5 bagi perjalanan sehari. Semua dan segalanya disediakan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk kepentingan kebajikan rakyatnya. Justeru, Pas tiada isu langsung untuk dijaja dalam kempen PRK Merlimau ini.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]