Wednesday, March 23, 2011

ORANG PENANG BARU KENAL SIAPA LGE.

Bukti Guan Eng 'pilih bulu'

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 22 Mac - Alasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa kemudahan WiFi percuma tidak dipasang di kawasan Parlimen yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan Bebas kerana kurang penduduk dan tidak berdaya saing membuktikan sikap 'pilih bulu' kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan.

Selain mengecam kenyataan Guan Eng itu, wakil rakyat BN mempersoalkan polisi kerajaan negeri seolah-olah cuba meminggirkan hak penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu di luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga (Parlimen Kepala Batas), Datuk Azhar Ibrahim berkata, kenyataan Guan Eng itu bersifat dangkal kerana cuba meremehkan pemikiran rakyat di kawasan tersebut.

"Adalah tidak wajar menggunakan alasan kawasan ini tidak berdaya saing kerana kalau kita mahu kawasan ini lebih berdaya maju, kita sepatutnya beri kemudahan teknologi seperti ini, bukan dengan meminggirkannya," katanya di sini hari ini.

Akhbar hari ini memetik kenyataan Guan Eng yang menafikan wujud diskriminasi kepada kawasan Parlimen yang diwakili BN dan Bebas dalam program pemasangan WiFi percuma kerana pemilihan kawasan dibuat syarikat Redtone yang menguruskannya atas pertimbangan kawasan itu berdaya maju dan ramai penduduk.

Kontroversi berhubung isu itu tercetus ekoran kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Telekomunikasi negeri, Jeff Ooi dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, 19 Mac lalu bahawa tiga kawasan Parlimen iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Nibong Tebal akan dikecualikan daripada menerima liputan WiFi atas alasan kekurangan dana.

Jeff bagaimanapun tampil dalam akhbar yang sama semalam dengan mendakwa kenyataannya diputar-belit manakala Guan Eng turut membuat penjelasan bahawa kerajaan negeri tidak membuat sebarang bayaran kerana segalanya ditanggung Redtone.

Azhar berkata, penjelasan Guan Eng itu hanya satu lagi dolak-dalik untuk menutup sikap 'pilih bulu' kerajaan negeri seperti yang digambarkan melalui kenyataan Jeff sebelum ini.

"Kawasan-kawasan Parlimen tersebut rata-ratanya diduduki masyarakat bumiputera. Adakah ini satu kebetulan atau kerajaan negeri berpandangan golongan ini tidak layak untuk terima kemudahan sama seperti penduduk di kawasan lain?" soalnya.

ADUN Sungai Dua (Parlimen Tasek Gelugor), Datuk Jasmin Mohamed pula berkata, dakwaan bahawa kawasan terbabit tidak ramai penduduk adalah satu pembohongan seperti di Sungai Dua dan Telok Air Tawar yang jumlah penduduknya semakin bertambah saban tahun.

"Bukan sesuatu yang mengejutkan jika mainan politik ini dibuat untuk beri tekanan kepada penduduk yang menyokong BN," jelasnya.

Sementara itu ADUN Sungai Acheh (Parlimen Nibong Tebal), Datuk Mahmud Zakaria pula menyifatkan polemik terbaru itu menyerlahkan 'wajah' sebenar kepimpinan kerajaan negeri di sebalik konsep keadilan dan ketelusan yang dilaung-laungkan selama ini.

"Jika penduduk di tempat lain dapat kemudahan, penduduk di kawasan luar bandar juga wajar menikmati kemudahan yang sama. Janganlah ada sikap pilih bulu dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat," ujarnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]