Wednesday, March 23, 2011

RAJA SEHARI....

Perkahwinan setiausaha Japerun Sungai Rambai dirai atas bot


Jalauddin Mamat dan Maria Mohamad menaiki bot Sungai Rambai Cruise di Jeti Laman Belia bagi mengabadikan hari bersejarah mereka di Melaka, baru-baru ini.


JASIN 22 Mac - Pelbagai cara yang dianggap unik dan menarik sering menjadi perhatian setiap pasangan pengantin untuk diabadikan pada hari bersejarah perkahwinan mereka.
Bagi Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (Japerun) Sungai Rambai, Jalauddin Mamat, 53, beliau memilih menaiki bot Sungai Rambai Cruise di Jeti Laman Belia, bagi mengabadikan hari bersejarah bersama pasangannya, Maria Mohamad, 35, sempena majlis khas meraikan pasangan itu baru-baru ini.
Kata Jalauddin, pengalaman bersama pasangannya diarak menaiki bot sejauh 200 meter bermula dari Jeti Laman Belia, hingga ke Kuala Kesang dan berpatah semula ke Laman Belia sukar dilupakan, lebih manis ia datang daripada idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hassan Rahman.
Katanya, idea tersebut diatur tanpa pengetahuannya malah majlis meraikan persandingan pasangan itu diurus sendiri oleh kakitangan Japerun Sungai Rambai.
''Biarpun perkahwinan ini adalah yang kedua bagi saya dan isteri namun majlis yang diadakan amat bererti sekali kerana ia dihadiri pelbagai peringkat usia dan kaum penduduk Sungai Rambai," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Jalauddin yang bekerja di bawah pentadbiran Hasan sejak tahun 2004 telah menduda selama dua tahun selepas kematian isterinya akibat penyakit buah pinggang.
Dia yang merupakan Ketua UMNO cawangan Jalan Datuk Nawar berkata, majlis itu diadakan penuh meriah apabila diserikan dengan persembahan nyanyian Dondang Sayang Jalan Datuk Nawar.
Bercerita tentang detik perkenalan mereka, Jalauddin yang juga Tok Sidang Kg. Air Tawar berkata, detik perkenalan mereka diaturkan oleh ahli keluarga mereka sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan selama tiga bulan.
Kata Jalauddin, biarpun terdapat perbezaan jarak usia antara mereka namun itu bukan penghalang buat pasangan itu mengecapi kebahagiaan dalam berumah tangga seperti orang lain.
Sementara itu, menurut Maria, biarpun ketika ini dia bekerja di Muar namun ia tetap tidak menjadi masalah memandangkan jarak tempat kerja tidak jauh dari rumah suaminya dan berharap perkahwinan kedua ini berkekalan selamanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]