Wednesday, March 9, 2011

PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA

RM2 bilion atasi banjir di Melaka

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 8 Mac - Kejadian banjir yang kerap melanda di beberapa daerah di negeri ini dijangka dapat diatasi dengan pembinaan projek tebatan banjir melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek itu memberi tumpuan kepada pembinaan tebatan banjir di empat buah sungai utama iaitu Sungai Melaka, Sungai Duyong, Sungai Kesang dan Sungai Linggi.

Menurutnya, projek tebatan di empat buah sungai terbabit melibatkan pembinaan kolam takungan air, empangan, membina, menaiktaraf struktur yang sedia ada, mendalam dan melebarkan sungai.

''Kerajaan telah mengambil inisiatif yang komprehensif untuk menyelesaikan secara menyeluruh masalah banjir di negeri ini.

''Hasil kajian daripada Pelan Induk Tebatan Banjir Negeri Melaka telah pun siap dan ia melibatkan projek tebatan banjir di empat buat sungai utama.

''Ini merupakan projek jangka panjang dengan tempoh pelaksanaannya adalah selama 15 tahun," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Keempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Baru menjawab soalan Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana) yang mempersoalkan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah banjir yang baru-baru ini teruk melanda di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi projek di sungai Melaka ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM944 juta, sungai Kesang (RM553 juta), sungai Duyong (RM290 juta) dan sungai Linggi (RM211 juta).

Menjawab soalan tambahan Betty Chew mengenai projek mengatasi masalah banjir yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini beliau berkata, sebanyak RM168 juta telah dibelanjakan dari 2000 hingga Mac 2011.

Mengenai bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bulan lalu, Mohd. Ali berkata, setiap keluarga telah menerima wang ehsan sebanyak RM200 setiap keluarga.

''Sejumlah RM956,200 telah diperuntukkan untuk membantu kesemua mangsa banjir di tiga daerah tersebut," katanya ketika menjawab soalan Lim Jak Wong (DAP-Bachang).

Katanya, mangsa banjir di Melaka Tengah seramai 716 keluarga melibatkan 4,155 orang menerima RM359,600; Alor Gajah dengan 1,010 keluarga dengan 3,039 orang mendapat RM396,800 dan di Jasin melibatkan 599 keluarga dengan 1,895 orang memperoleh RM199,800.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]