Thursday, March 10, 2011

SUDAH SAMPAI MASANYA BERI KEPERCAYAAN KEPADA ORANG MUDA!

Pengundi muda di Sarawak mahu pemimpin tak bermaya digugur
Oleh Jeniri Amir

2011/03/10
PRESIDEN Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt pernah berkata: “Kita tidak selalunya dapat membina masa depan untuk belia, tetapi kita dapat membina belia untuk masa depan.” Presiden Indonesia, Sukarno pula berkata: “Berikan aku seorang pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia”.

Bayangkan apakah yang dapat dilakukan oleh 5,000 belia jika Konvensyen Barisan Nasional Sarawak, Sabtu lalu menghimpunkan sekitar 5,000 ahli BN pelbagai peringkat, Perhimpunan Belia 2011 di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching 18 Mac ini yang menghimpunkan belia berusia 15 hingga 40 tahun tentu tidak kurang meriahnya. Datang dari seluruh Sarawak, perhimpunan itu pasti akan mampu memetakan perjalanan masa depan belia terbabit. Belia dari pelbagai latar belakang etnik, budaya dan pandangan politik itu mampu mengubah masa depan negeri dan landskap politik negara.
Golongan muda mempunyai pandangan dan tanggapan politik tersendiri. Menyedari kuasa dan pengaruh mereka dan betapa pentingnya pandangan dan sikap mereka dicanai ke arah yang betul, kerajaan berusaha mengambil pelbagai strategi dan pendekatan untuk melatih mereka. Dengan penduduk sekitar 2.5 juta, golongan belia tidak boleh dipandang ringan, dengan sekitar 16 peratus berusia 20 hingga 29 tahun, iaitu sebanyak sekitar 400,000 orang, manakala mereka berusia 30 hingga 39 tahun menyumbang 14 peratus, iaitu sebanyak sekitar 345,000.
Bandingkan angka ini dengan mereka yang berusia 40 hingga 49 tahun sebanyak 12 peratus atau mereka berusia 50 hingga 59 tahun hanya sebanyak lapan peratus? Dari segi nisbah lelaki dan perempuan, jumlah mereka adalah hampir sama.

Berdasarkan angka ini, golongan ini perlu diberi perhatian berat, kerana inilah golongan yang akan membentuk dan menentukan landskap dan kedudukan politik masa depan.

Dari segi politik, jumlah pengundi belia di Sarawak adalah sebanyak 310,000, iaitu 33 peratus daripada sekitar 900,000 pengundi di negeri ini. Pengundi belia daripada kaum Cina adalah sekitar 100,000, Melayu 70,000, Bumiputera lain Sarawak sekitar 140,000 dan lain-lain sekitar 1,000.

Secara khusus, pengundi muda berusia 21 hingga 30 tahun adalah sekitar 73 peratus, dan selebihnya ialah mereka berusia 31 hingga 40 tahun. Benarkah pengundi belia mempunyai kecenderungan tidak memihak kepada BN? Jika benar, apakah faktor yang menyebabkan mereka cenderung bersifat anti-establishment? Sejauh manakah keperluan belia di Sarawak dipenuhi?
Dalam sebulan dua ini, saya banyak berbincang dan menemui belia akar undi hampir dari seluruh Sarawak. Justeru, boleh dikatakan sedikit sebanyak saya faham akan pandangan politik dan aspirasi mereka. Ada sesuatu yang menggelegak di jiwa pengundi belia, baik di bandar mahupun luar bandar. Sentimen terpendam inilah yang perlu difahami oleh pihak kerajaan bagi memastikan golongan pengundi muda ini menyokong BN dalam pilihan raya akan datang. Tentu tidak memadai hanya dengan mengadakan Program Festival Mesra Belia di semua 71 kerusi menjelang pilihan raya. Program ini dapat dianggap sebagai usaha kerajaan mendekatkan diri dengan golongan belia dan pengundi muda bagi memahami masalah dan aspirasi mereka.

Golongan belia dan pengundi muda khususnya di luar bandar didapati sukar mendapatkan maklumat mengenai program, dasar kerajaan dan peluang pekerjaan kerana masalah komunikasi dan ketiadaan penembusan internet. Maksudnya, tidak hanya memadai bagi kerajaan untuk sekadar bergantung kepada RTM. Pendekatan komunikasi yang lebih realistik perlu difikirkan termasuk menggunakan persatuan belia setempat dan pemimpin pendapat pada peringkat akar umbi.

Terdapat sekitar 700 persatuan belia di seluruh Sarawak, tentunya dengan sebahagian besar di bandar utama. Apakah yang dilakukan oleh persatuan belia ini untuk membentuk sikap politik dan perlakuan mengundi golongan pengundi muda? BN Sarawak wajar berasa gusar dengan kemungkinan ayunan undi yang tidak memihak kepadanya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-10 dijangka akhir bulan depan, terutama dalam kalangan pengundi muda Cina di bandar. Hanya sekitar 20 peratus pengundi muda Cina kemungkinan memilih BN sebahagian besar kerana pengaruh kuat ibu bapa mereka, selain mereka yang menghargai sumbangan kerajaan BN selama ini. Manakala selebihnya cenderung terpengaruh oleh trend perlakuan pengundian dalam kalangan golongan dewasa atau ibu bapa mereka, kerana terpengaruh oleh sentimen tertentu.

Golongan pengundi muda adalah mereka yang idealistik. Mereka ingin menyaksikan wujudnya kepemimpinan politik negeri yang bersih, bebas amalan yang dipersepsi sebagai menyalahgunakan kuasa dan rasuah. Pendek kata, mereka ingin pemimpin politik mengamalkan tadbir urus yang baik. Kekecewaan utama golongan pengundi muda ialah ahli politik yang tidak mempedulikan rakyat dan hanya turun ke pandang ketika berkempen menjelang pilihan raya. Berdasarkan perbincangan dengan belia dan pengundi muda, mereka ingin melihat sebahagian pemimpin yang sudah tidak lagi bermaya digugurkan.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]