Thursday, January 26, 2012

BERKUASAKAH "KUASA KETIGA"?

Kini iklim politik negara bergema lagi dengan satu istilah baru iaitu "kuasa ketiga" atau lebih sinonim dipanggil singkatannya IRM (Islam, Raja dan Melayu). Siapakah mereka ? apakah mereka menawarkan pilihan kepada pengundi ? Bertandingkah golongan ini pada PRU 13 nanti ? Berapa ramaikah pengikut mereka ? Apakah mereka akan bertanding atas tiket bebas ? Apakah manifesto mereka ? Adakah mereka telah bergerak dalam satu organisasi yang teratur ? Dan persoalan yang paling dinanti apakah kesannya kewujudan golongan ini kepada undi BN dan PR ? Semuanya akan terjawab pada PRU 13 yang hingga kini masih jadi tanda tanya tarikhnya? Namun apa yang dapat kita perhatikan kerja-kerja awal kearah itu telah pun berlaku....Cuma yang menjadi tanda tanya setakat mana ? Memang diakui kedua-dua parti yang sedia ada sekarang tidak dinafikan kekurangannya namun adakah ini menjadi keperluan kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelambagaan yang kita amalkan selama 54 tahun ? 

Siapakah mereka ? YB Datuk Hassan Ali ?


Beliau kini akan bergerak atas nama Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Tiga perkataan ini akan menjadi Kuasa Ketiga bagi beliau. Dr. Harun Din yang selama ini dikenali sebagai seorang pemimpin Pas sederhana yang percaya kepada soal perpaduan Melayu akan bersama-sama dengan gelombang ini. Selagi beliau masih di dalam Pas, beliau akan cuba mengubah pendekatan yang dibawa oleh Nik Aziz itu. Ustaz Nasa, kini AJK Pas Pusat dilantik dan Ahli Majlis Syura juga akan turut memainkan peranan penting dalam Kuasa Ketiga ini. Ahli-ahli Parlimen Bebas lain seperti Zulkifli Noordin akan turut serta.

Selepas Kuasa BN, Kuasa Pembangkang, Kuasa Ketiga ini akan bergerak bersama-sama NGO-NGO Melayu Islam yang lain atas misi penyatuan ummah. Mereka percaya tanpa penyatuan ini, DAP akan menguasai negara ini. Hasan tidak akan membenarkan DAP menguasai negara ini. Beliau sudah tahu siapa itu DAP. Beliau yang berada dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor selama lebih tiga tahun amat arif terhadap taktik licik yang dimainkan oleh DAP. Beliau tidak mahu orang Melayu terperangkap.

Orang Melayu di atas pagar akan menjadi sasaran utama gelombang ini bagi memastikan kuasa itu tercapai. UMNO dan Pas sebenarnya diharapkan akan menjadi broker kuasa utama di negara ini semula atas nama tiga cabang tersebut. Saya difahamkan satu perancangan sedang diatur untuk melancarkan gelombang ini tidak lama lagi, mungkin Februari ini. Kuasa Ketiga ini akan membawa gelombang yang tidak boleh dilakukan oleh Pas, yang terlalu menjaga hati DAP dan Anwar atau UMNO yang kini berdiri atas pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaannya dengan bangsa-bangsa lain.

Gelombang ini akan mendapat sokongan padu daripada golongan ulama dan para akademik. Marilah kita tunggu wave, kebangkitan gelombang ini. Hasan ternyata semakin bertenaga dan garang. Beliau sedar apa yang berlaku dalam Pakatan Pembangkang kini tidak memihak kepada Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Kita pun sebenarnya nampak perkara itu. Hasan akan menjadi vehicle untuk bergerak ke arah itu. Dan memperbetulkannya. 

Kesimpulannya, corak politik Malaysia akan lebih menarik lagi. Kedatangan Kuasa Ketiga ini tepat pada masanya sebelum PRU-13 yang kini berada di hujung jalan.

Kuasa ketiga dan cabarannya terhadap perjuangan Islam

Oleh HAYKAL HASHIM

Kemunculan kumpulan politik yang memakai label kuasa ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-12, dengan calon-calon seperti Malik Imtiaz Sarwar dan diterajui Raja Petra Kamaruddin menunjukkan satu perkembangan yang semakin merancakkan politik Malaysia.

Dua kelompok besar gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kini mempunyai pencabar selain musuh tradisi masing-masing.

Pada masa yang sama, Datuk Zaid Ibrahim juga sekarang memimpin sebuah parti yang akan dibawa ke arah perjuangan liberal seperti yang diyakini beliau.

Tokoh-tokoh ini seperti yang diketahui ramai berpendirian liberal dan semestinya tidak selari dengan perjuangan gerakan Islam di negara kita yang diterajui PAS.

Perkembangan kedatangan kuasa ketiga ini dalam pentas politik negara membimbangkan sekiranya difikirkan dengan mendalam kesannya untuk jangka panjang.

Biarlah sekiranya ada kerjasama dengan parti dan kumpulan terbabit, kerjasama dihadkan dan dijelaskan pada hal yang dipersetujui sejak awal lagi.

Parti dan kumpulan terbabit mungkin tidak akan bertembung dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, dan mungkin terus pada pilihan raya seterusnya.

Ini disebabkan sasaran pengundi yang berbeza antara parti liberal itu dengan parti Islam, PAS.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), dan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) mensasarkan konstituensi bandar dan masyarakat majmuk yang lebih mudah menerima agenda-agenda mereka.

Masyarakat yang menjadi sasarannya ialah yang menerima kebebasan tafsiran liberal yang mengutamakan kebebasan individu.

Kemunculan Parti Kita dan MCLM meramaikan lagi tokoh-tokoh liberal bergiat dalam medan politik Malaysia dan bertanding dalam pilihan raya, selepas ramai terlibat dalam PKR.

Bertanding dalam pilihan raya membuka jalan untuk mereka menjadi wakil rakyat dalam Parlimen dan terlibat dalam pembuatan undang-undang.

Mereka juga, dengan menjadi wakil rakyat berkemampuan mengetengahkan suara-suara yang sebelum ini berada di pinggir.

Kegiatan mereka sebagai pemimpin juga membolehkan suara mereka sampai kepada masyarakat dengan lebih meluas dan berkesan kerana liputan media yang mereka terima.

Apa yang mereka sampaikan tentulah idea-idea liberal yang tidak selari atau bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam di negara kita.

Zaid, ketua Parti Kita baru-baru ini mengulas isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan sebuah gereja Metodis di Selangor dengan mengatakan tindakan Jais itu bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas PKR dan DAP, golongan liberal dapat lebih ramai wakil dalam Kita dan MCLM, yang akan merebut kerusi dalam Parlimen Malaysia.

Malaysia sudahpun melihat aktiviti liberal yang banyak dan pelbagai di negara kita. Aktiviti mereka dan apa yang mereka tuntut adalah berdasarkan tafsiran Barat dalam hak asasi manusia.

Kebebasan ini termasuk bebas memilih melaksanakan agama atau tidak, yakni menolak kuasa pihak berkuasa agama dalam peraturan melibatkan meminum arak, berzina (termasuk sama jantina), dan sebagainya.

Bagi mereka, semua ini hak asasi manusia yang mesti mengatasi apa sahaja peraturan. Mereka menganggap tindakan pihak berkuasa agama itu sebagai “moral policing” yakni melakukan tugas polis moral.

Termasuk dalam hal ini ialah kebebasan beragama yang Malik Imtiaz bergiat aktif dalam mempertahankan.

Kumpulan ini bergerak selari dan seiring dengan kumpulan seperti Sisters in Islam yang menuntut persamaan hak wanita dengan lelaki menurut tafsiran yang bukan bersumberkan Islam.

Ini bukan bermaksud mereka bekerjasama dalam setiap hal, tetapi matlamat akhir mereka tidak jauh berbeza antara satu sama lain.

Kita pasti masih ingat episod imam wanita Amina Wadud yang menggemparkan suatu ketika dulu. Ini disokong oleh Sisters in Islam yang yakin dengan tafsiran yang membenarkan tindakan itu.

Mungkin ramai yang tidak melihat kaitan antara setiap satu kes tersebut tetapi semua itu bergerak dalam satu kerangka, satu tafsiran idea Barat yang bertentangan dengan penerimaan masyarakat kita, dan apa yang diperjuangkan gerakan Islam seperti PAS.

Gerakan Islam PAS perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini, yang semakin sukar dan menuntut kekuatan yang tinggi sebagai individu dan secara jamaah sebagai gerakan Islam.

Haykal Hashim ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily.

 
Kita sebagai kuasa ketiga atau pengacau Pakatan Rakyat
Oleh HARIS ZALKAPLI
 
Parti pimpinan Datuk Zaid Ibrahim, yang dikenali dengan nama popularnya Kita, dilancarkan dengan satu acara meriah pada 19 Januari lalu di ibu negara.
Pelancaran secara rasmi parti pimpinan Zaid itu segera menarik pelbagai penilaian daripada pemerhati, terutama melibatkan prospek hayatnya dalam politik Malaysia dan peluang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Seperti biasa, sebagai parti kecil yang dinilai sebagai serpihan, sebahagian besar pemerhati masih skeptikal dengan kemampuan dan masa depan Kita.
Kita mempersembahkan dirinya sebagai kuasa politik yang berbeza daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, meletakkan dirinya di satu ruang ketiga, mewakili rakyat yang tidak melihat aspirasi mereka dibawa oleh kedua-dua gabungan besar tersebut.
Satu cabaran besar yang dihadapi Kita boleh dilihat sebagai menempatkan dirinya dalam medan politik yang kini dikuasai BN dan PR.
BN dan PR bukan sahaja menguasai politik negara melalui sokongan ramai dan jumlah kerusi yang dimiliki tetapi juga wacana yang dibentuk dan dipersembahkan.
BN mengemukakan hujah kestabilan dan mempertahankan kepentingan-kepentingan dasar negara serta mengekalkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum melalui formula yang telah dipersetujui.
PR pula membawa naratif besar menyelamatkan Malaysia daripada kezaliman dan salah urus serta korupsi BN yang didakwa mengekang kemajuan negara. Naratif besar ini dipersembahkan melalui buku tawaran yang dikeluarkan semasa konvensyen gabungan itu Disember lalu.
Parti pimpinan Zaid mendakwa senario ini tidak memberikan pilihan yang cukup bagi rakyat Malaysia, disebabkan keterbatasan kedua-dua kumpulan. Zaid menjelaskan tentang BN yang korup dan tidak menghormati demokrasi dan PR yang sangat populis.
Menurut Zaid, bagi rakyat Malaysia, “pilihan kita terbatas.” Jelasnya, “Selalunya, kita sukar memilih antara jauhari dengan manikam. Apakah kita mahu terus berada di bawah kerajaan yang mahu ‘mempertahankan Putrajaya tidak kira setinggi mana kosnya,’ atau tunduk di bawah pesona sebuah barisan pembangkang yang akan berjanji apa saja dan melakukan apa saja untuk memenangi pilihan raya?”
Kenyataan Zaid ini segera meletakkan Kita berbeza daripada kedua-dua BN dan PR dan mengemukakan partinya sebagai pilihan tersebut.
Parti Kita turut dipersembahkan oleh Zaid – yang sehingga kini masih menjadi satu-satunya wajah dan tokoh yang kelihatan dan dikenali dalam politik nasional bagi pihak Kita – sebagai sebuah parti yang memegang nilai-nilai “moderat, demokratik dan liberal.”
Kenyataan memperkenalkan diri pemimpin Kita ini merupakan satu kenyataan yang paling berterus-terang dan berani tanpa berselindung – sesuatu yang agak berbeza dalam politik negara kita.
Penegasan dukungan terhadap kesamarataan setiap warganegara dan perlembagaan tertinggi yang sekular menegaskan dengan jelas pendirian parti Kita.
Pada awal ucapannya, Zaid telah menegaskan keperluan mempunyai ideologi yang jelas, menjelaskan kepentingan kedudukan ideologi bagi Zaid.
Ciri-ciri liberal Kita telah serta-merta meletakkan parti itu dalam satu posisi yang jelas, menjanjikan politik yang berlandaskan prinsip-prinsip liberal.
Bagi pengundi yang menerima perjuangan liberal Kita, parti ini sememangnya memberikan janji yang jelas, dan disokong oleh haluan yang diambil oleh Zaid sendiri sepanjang dalam politik, seperti dalam tindakan undang-undangnya terhadap usaha pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan.
Dalam bersaing dengan BN, Kita boleh menunjukkan perbezaan dengan mudah dengan gabungan parti-parti konservatif yang pragmatik itu.
Sejak meninggalkan Umno dan BN, Zaid telah menunjukkan dengan jelas pendirian beliau yang tidak sehaluan dengan Umno yang bersifat nasionalis etnik itu.
Zaid telah mengemukakan wacana balas terhadap tafsiran dan perjuangan Melayu oleh Umno dalam buku tulisannya, Saya Pun Melayu.
Pendirian liberal Zaid mudah untuk dilihat bertentangan dengan Umno dan BN yang masih menerima politik berasakan kaum dan memanfaatkannya melalui permainan politik setiap parti komponen.
Persaingan dengan PR pula lebih sukar disebabkan penguasaan kedudukan pembangkang oleh gabungan PR, yang sehingga kini masih jelas kelihatan sebagai pakatan yang paling berupaya mengambil alih pemerintahan pusat daripada BN.
PR pula hampir memonopoli wacana kepembangkangan mengemukakan dirinya sebagai satu-satunya pilihan untuk berhadapan BN, satu-satunya pembangkang yang boleh dipilih.
Hal ini paling jelas muncul lebih setahun lalu apabila PR mewacanakan “sistem dua parti” sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan.
PR juga menggabungkan parti-parti berbeza ideologi termasuk Islamis PAS, PKR melibatkan hampir semua ideologi tetapi dikuasai golongan pragmatis dan DAP yang berhaluan kiri tetapi lebih kelihatan sektarian.
Ini membolehkan PR menerima sokongan daripada segmen-segmen utama pengundi, mewakili sentimen jumlah yang besar dalam kalangan pengundi.
Sentimen sokongan ramai dan wacana dikuasai PR inilah yang mencetuskan tanggapan Kita sebagai pengacau kepada peluang PR untuk “menawan Putrajaya” dalam pilihan raya akan datang.
Kita dilihat sebagai pemecah undi kepada PR. Hal ini disebabkan PKR, parti yang disertai Zaid sebelum ini dilihat tidak mampu membawa dan memperjuangkan agenda liberal seperti yang diharapkan sesetengah pihak.
Agenda yang digariskan Zaid menunjukkan saingan utamanya dalam merebut kerusi dalam pilihan raya ialah PKR.
Malah, Kita juga terus dilihat sebagai mampu untuk menarik ahli-ahli PKR untuk menyertainya.
Potensi ini dapat diperhatikan daripada pertembungan Zaid dan penyokongnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam PKR.
Visi Zaid untuk PKR menerima sokongan sejumlah ahli berpengaruh yang berkongsi pandangan denganya, walaupun sokongan itu tidak mampu membantu Zaid merebut jawatan tinggi dalam parti.
Satu lagi medan persaingan sokongan Kita dengan PR, terutama PKR, ialah Sabah, negeri yang Zaid sebagai figur PKR menerima sokongan kuat.
Zaid kini terus mengukuhkan kedudukan di Sabah melalui penglibatan dalam banyak aktiviti, dan hubungan dengan bekas pemimpin-pemimpin PKR negeri itu yang masih berpengaruh dalam politik negeri.
Persaingan Kita dengan PKR di Sabah ini menjadikan negeri itu faktor penting untuk mengukuhkan kedua-dua parti dan juga PR yang PKR menganggotainya.
Sabah telah menjadi tumpuan sejak pelan merampas Putrajaya oleh Anwar dan PR dinamakan 16 September, tarikh yang mempunyai signifikan besar kepada Sabah dan Sarawak di Borneo.
Kita juga mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan isu-isu Sabah dan Borneo. Ini berpotensi menjadi salah satu kekuatan Kita dalam persaingannya dengan PR untuk memenangi sokongan dari Sabah terutamanya.
Diperhatikan daripada permukaan, kedua-dua PR dan Kita memberi tumpuan kepada Borneo daripada simbol-simbol yang dipersembahkan kepada umum.
PR dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas Disember lalu meletakkan slogan-slogan “selamatkan Malaysia” dalam bahasa suku kaum dari Borneo di latar besar di atas pentas.
Kita pula menyertakan peta Borneo dalam imej tangan bersatu dengan Semenanjung dalam imej yang sama sebagai simbol parti itu.
Isu-isu Borneo juga menjadi satu topik yang secara konsisten mendapat perhatian laman berita pro-Zaid, Free Malaysia Today, lebih daripada semua media lain berpangkalan di Semenanjung.
Persaingan kedua-dua pihak ini meningkatkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam arus perdana politik yang selama ini lebih tertumpu kepada Semenanjung.
Walau bagaimanapun, masa akan menentukan sejauh mana perhatian ini berasaskan sikap dan prinsip yang konkrit, berbanding keperluan pragmatik untuk memenangi sokongan untuk kuasa.
Sentimen Borneo juga turut berpotensi untuk mencetuskan isu-isu yang mampu mencetuskan rasa tidak senang berhubung penyatuan rakyat negara ini, disebabkan potensi sentimen tersebut muncul atau dibaca sebagai berbentuk pemisahan.
Parti Kita turut menjadikan warna jingga sebagai warna parti, yang diselaraskan dengan warna tali leher yang dipakai Zaid semasa majlis pelancaran yang dramatik itu.
Warna jingga telah hampir menjadi warna rasmi PR apabila konvensyen pertama dan kedua gabungan ini menjadikan jingga sebagai warna utama.
Dalam konvensyen kedua, PR turut melahirkan “buku jingga” menggariskan rancangan-rancangan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, merapatkan lagi imej jingga dengan PR.
Dalam politik dunia, warna mempunyai peranan penting dalam membawa identiti sesebuah parti atau gerakan, dengan warna jingga dikaitkan dengan liberalisme di beberapa negara.
Warna jingga telah menjadi warna gerakan yang menjatuhkan rejim lama di Ukraine pada hujung 2004, dalam kebangkitan satu kumpulan rakyat yang digelar “Revolusi Jingga.”
Walaupun perjalanan kisah di Ukraine itu telah menunjukkan hasil yang tidak seperti diharapkan pada 2004, warna tersebut muncul sebagai pengenalan kepada kebangkitan rakyat di negara itu.
Di Inggeris, juga pada 2004, sebuah buku mengandungi tulisan-tulisan tokoh liberal negara itu – termasuk Nick Clegg – diterbitkan, bertajuk The Orange Book: Reclaiming Liberalism.
Buku yang juga berwarna jingga itu mengemukakan rancangan-rancangan parti Demokrat Liberal, hampir sama dengan buku jingga dikemukakan oleh PR.
Selain konstituensi dan kerusi, dari satu sudut, Kita dan PR juga kini kelihatan bersaing untuk menjadikan warna jingga sebagai identiti utama, dan pada tahap tertentu, bersaing untuk mewakili agenda-agenda liberal dalam politik Malaysia.
Hal ini meletakkan Kita berseberangan dengan parti dan kumpulan yang mahukan kedudukan Islam yang dominan dalam budaya dan perundangan negara.
Penegasan terhadap isu Melayu oleh Zaid menjadikannya tidak menarik kepada sejumlah besar orang Melayu, tetapi seperti yang dapat diperhatikan sejak awal, konstituensi itu bukan menjadi perhatian utamanya, sekurang-kurangnya pada masa ini, atau Kita menyesuaikan retorik untuk konstituensi tersebut nanti.
Kedua-dua BN dan PR pasti melihat Kita dengan sinikal, disebabkan sejarah melibatkan Zaid dengan kedua-dua gabungan politik terbesar itu.
Dengan penubuhan Kita dan penyertaan Zaid bersama satu agenda liberal dalam politik negara kini, persaingan politik Malaysia boleh dijangka menjadi lebih sengit.
Pilihan Raya Umum ke-13, dan pilihan raya Sarawak akan menjadi perhatian untuk penilaian pertama Kita dalam realpolitik pilihan raya.
Perkembangan dilalui Kita akan menunjukkan sejauh mana sokongan terhadap agenda liberal yang dibawanya, dan sejauh mana ia dilihat sebagai pilihan lain selain BN dan PR.
Zaid, yang sehingga ini masih menjadi tumpuan utama dalam menilai Kita, tidak dapat menulis semula sejarah politik yang telah dilaluinya atau mengelak daripada kisah itu dijadikan satu ukuran menilai diri dan partinya.
Tetapi, sejarah yang mula dicatatkan kini – dan ekoran pertikaian terbukanya dengan Anwar ketika dalam PKR sebelum ini – akan menentukan sama ada Kita mampu memainkan peranan seperti yang menjadi agendanya dan menjadi salah satu kuasa yang perlu diambil kira dalam persaingan politik Malaysia.
Perancangan hendaklah tertumpu pada kemantapan kehidupan yang bahagia, bukan bersikap menyebelahi satu-satu kaum hingga menimbulkan masalah kepada kaum lain. S Perancangan hendaklah tertumpu pada kemantapan kehidupan yang bahagia, bukan bersikap menyebelahi satu-satu kaum hingga menimbulkan masalah kepada kaum lain. Saya berharap agar kumpulan kuasa ketiga segera muncul, kerana suasana amat memerlukannya.aya berharap agar kumpulan kuasa ketiga segera muncul, kerana suasana amat memerlukannya.

Kuasa ketiga dalam politik Malaysia
Oleh : RAHMAN SHAARI
Tarikh : November 29, 2011
rahman shaari
Pergolakan politik beberapa tahun akhir-akhir ini memerlukan penyelesaian yang bijak dan padu. Masyarakat Melayu amat merasainya. Kita tidak boleh berharap kepada parti-parti politik sepenuhnya. Sebahagian daripada tokoh politik memaparkan keyakinan berlebih-lebihan terhadap pandangan mereka sendiri.

Pandangan diyakini mereka itu boleh membawa padah yang menakutkan. Misalnya, ada pandangan yang berbunyi: Umno ialah parti tidak akan membawa pengikutnya ke syurga! Dengan kata-kata begitu, hakikat politik telah dinafikan.

Kita tahu, Pas dan Umno asalnya satu. Kita tahu di kampung anggota keluarga bercakar-cakaran kerana sebahagiannya menjadi ahli Umno, dan sebahagian lagi ahli Pas. Mereka terlupa, atau memang tidak tahu bahawa politik hanyalah alat biasa, bukan terlalu berharga untuk dipuja.

Rakyat elok disedarkan bahawa perkara penting bukanlah politik kepartian itu, sebaliknya kehidupan sejahtera. Ahli politik yang baik ialah boleh membawa kesejahteraan untuk masyarakat.

Ahli politik yang kita kenali pada akhir-akhir ini kebanyakannya hanyalah pencinta kuasa. Memang ada yang tidak sedemikian, tetapi jumlah mereka adalah relatif kecil.

Ujian untuk ini adalah mudah. Perhatikan, jika kerajaan mengemukakan idea untuk kebaikan masyarakat, pihak pembangkang mengatakan idea itu diciplak daripada idea mereka. Dalam konteks ini, jika kita berhasrat untuk memberikan faedah kepada masyarakat, janganlah hal ciplak itu diutamakan. Kebajikan untuk masyarakat hendaklah didahulukan, sama ada itu ialah hasil asli atau ciplakan. Lagipun, teori intertekstualiti tidak terlalu membatasi idea sesiapa, asalkan hasilnya baik.

Mengikut teori ini, dalam perjuangan, setiap pihak boleh saling mengambil idea asalkan idea itu berguna. Pihak kerajaan sendiri, jika jelas mengambil idea pembangkang, akuilah saja. Itu tidak menjatuhkan maruah, sebaliknya itu adalah terpuji, kerana kita menunjukkan sikap sporting dalam hal menerima apa-apa yang baik, tidak kira asalnya. Kita berbakti kerana kepentingan bakti itu sendiri, bukan berbakti untuk mengada-ada.

Jika Pas anggap Umno tidak boleh diharapkan, atau Umno bimbang kalau-kalau Pas terlebih berkuasa, maka kehidupan selesa masyarakat Melayu akan terancam. Ini perlu dijelaskan dengan terang dan tegas. Kita ada PKR, dan kumpulan ini telah membina cita rasa baru, terkeluar daripada cita rasa Pas dan Umno.

Kita memerlukan kuasa ketiga (third force) untuk mengembalikan keyakinan dan keselesaan hidup masyarakat Melayu. Kumpulan yang menyertai kuasa ketiga ini hendaklah sentiasa bersikap sederhana, tahu mengagak kemungkinan akan berlaku, dan penyabar.

Mereka tidak boleh memberikan tentangan antagonistik kepada reaksi Pas mahupun Umno. Kumpulan kuasa ketiga ini hendaklah mempunyai pandangan yang terang tentang permasalahan orang Melayu dan tahu mengemukakan jalan penyelesaiannya.

Kumpulan kuasa ketiga bukanlah kumpulan ekstrem yang mahu menyebelahi orang Melayu dalam segala hal. Ini ialah kumpulan pencinta perlembagaan, dan mahu melihat sistem sedia ada berlangsung dengan tenang dan damai. Kita hendaklah sedar, terdapat parti politik tertentu yang sedang menyusun strategi untuk melaksanakan konsep bermasyarakat berbeza – yang tidak sesuai dengan corak kehidupan di Malaysia.

Tidaklah perlu diperjelas strategi parti tertentu itu. Yang elok diperkatakan ialah pemikiran jernih di kalangan pembicara politik dan juga aktivis-aktivis politik yang betul-betul memikirkan kesejahteraan hidup di Malaysia.

Dalam keadaan kini, rakyat berbagai kaum dapat menerima corak hidup dan corak perhubungan di Malaysia. Jika ada kelemahan, pihak kuasa ketiga hendaklah menegurnya, dan berusaha membaikinya dengan cermat, bukan terus mengkritik kelemahan itu hingga menimbulkan masalah baru.

Bicara ini bermaksud mengemukakan idea bahawa perhubungan baik antara Pas dengan Umno adalah dituntut oleh masyarakat Melayu. Amat baik jika PKR juga turut memilih jalan bersatu padu demi kebaikan semua, tetapi saya tekankan hubungan Pas-Umno dalam keadaan kini.

Hal ini demikian kerana perjuangan Umno dan Pas lebih menjurus kepada kesejahteraan orang Melayu dan Islam di Malaysia. Kumpulan kuasa ketiga janganlah sekali-kali bersikap perkauman. Ahli kumpulan ini hendaklah rasional-intelektual.

Perancangan hendaklah tertumpu pada kemantapan kehidupan yang bahagia, bukan bersikap menyebelahi satu-satu kaum hingga menimbulkan masalah kepada kaum lain. Saya berharap agar kumpulan kuasa ketiga segera muncul, kerana suasana amat memerlukannya.

Trishakthi dan Politik Malaysia
oleh Azly Rahman
terjemaan: Zulqurnain Othman

Tibanya PRU13 betapa persoalannya siapakah yang akan mengetuai Revolusi Cybernatik atau Revolusi Cyber dan berlebih lagi dari kerangka Kuasa Ketiga atau Gelombang Ketiga dan berpimpinan dari Mata Ketiga yang mungkin juga boleh di ertikan selaku jurusan mata hati atau mata kalbu. Lantas kemungkinan juga perlunya kita berpaksi kepada Tokoh Penyelamat laksana Al Mahdi yang bisa membawa kita keluar dari kejumudan kewujudan kita masa kini.

Kuasa Ketiga juga gelombang ketiga dan dari itu mata ketiga=Tri Shakthi jikalau di ertikan dari bahasa sanskrit asalnya. Kuasa ketiga ini yang boleh membentuk aliran politik baru yang sewajibnya berjauhan dari ideologi-ideologi jalan buntu sekarang ini. Blogger-blogger juga tukang-tukang komen/ulas media sosial mesti bersatu mencetus dan menyalakan api revolusi intellectual baru demi menyerlahkan bahasa minda masyarakat majmuk.

TRISHAKTHI ... kuasa ketiga, gelombang ketiga mata ketiga... Satu kuasa yang keseluruhannya mewarnai poltik Malaysia hingga terus menjadi buta dari elemen-elemen rasis dan perkauman jumudnya. Kuasa yang pastinya menjadi laksana seorang vigilante atau sang skodeng yang bisa menjerit lantang sekiranya ada sang penguasa2 menyalah guna tampuk kuasa. Tiada siapa yang boleh menghalang

TRISHAKTHI. Dunia Internet sememangnya berbentuk anarki atau caca marba -- kita gunakan sepenuhnya.
Revolusi Kuhnian di dalam wadah sains melamarkan apabila dan tatkala adanya terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab hasil dari berakhirnya ketamadunan sejarah atau "the end of history" dan di ertikan dari pandang dunia sedia ada atau prevailing worldview, paradigma ketika itu seperlunya berhadapan tanpa selindung keadaan hampir langsung roboh - near collapse pandang dunia atau world view itu. Kenyataan ini termaktub di dalam Teori Klasik Pendita Kuhn - The structures of Scientific Revolution ( Struktur-Struktur Revolusi Sains) Thomas Kuhn ialah seorang pakar sejarah sains dari Universiti Harvard.

Malaysia sememang nya berhadapan dengan krisis sebegitu rupa - keadaan hampir roboh langsung - "near collapse" Gabungan Barisan Nasional atau lebih tepatnya Paradigma BN itu. Terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab dan terlalu banyak struktur-struktur yang telah reput - kehakiman, pelajaran, kuatkuasa undang2, ekonomi, budaya, dlll. Kuasa Ketiga telah ada sekarang ini - pasca modern atau postmodernity. Gelombang Pertama, masyarakat tradisional memberi ruang kepada modernisasi.

Di Malaysia, kedua dua gelombang - masyarakat tradisi dan modernisasi berakhir dengan kegagalan;hasil dari polisi polisi modernisasi di ambil alih oleh privitasi(privatization), Pandang Timur(Look East) dan Perbadanan Malaysia(Malaysia Inc.) sebagai polisi polisi gantian. Wawasan 2020 adalah satu slogan tanpa makna yang di bina dari ideologi Mahathirsme atau Mahathirism. Capitalism atau sistem kapitalis tanpa peradaban(ethics) di sogok lagi dengan naluri tamak tanpa had dan di permudahkan dan di selaraskan bersama 'kejituan' politik perkauman
.
Gelombang Ketiga sebenarnya sudah sampai. Tsunami 03/08 adalah amaran ketibaannya. Tidak dapat tidak.

Akan tetapi gelombang ketiga memerlukan kuasa ketiga juga mata ketiga. Justeru kuasa ketiga tak dapat di tahan dan mata ketiga tak dapat di rabunkan malah di butakan sama sekali.

TRISHAKTHI telah sedia hadir dan kita perlukan ketua --ketua berintellek. Ketua ketua yang ada tiada faham akan kuasa ketiga ini. Arakian mereka telah berada di dalam nya tetapi lemas di dalam nya, mungkin juga di ibarat ikan di dalam air bahkan tiada sedar ia sebenarnya beralamkan fitrah nya tetapi masih sesak lantas tenggelam setenggelamnya.

Mari kita ketengahkan idea gelombang ketiga ini and melihat nya menari nari ria di dalam alam cyber Malaysia tercinta. Juga meneropong ketika ia di bentuk menjadi aturcara aturcara gerak kerja ataupun praxis.

Perlukah Kuasa Ke 3?

Membaca komentar yang diberikan rakan2 didalam blog ini membuatkan saya mencapai konklusi bahawa adalah mustahil untuk meyakinkan mana-mana pihak untuk mencapai satu persepakatan. Alangkah berjayanya musuh-musuh islam memecahkan umat ini sehingga dilihat tidak ada lagi titik pertemuan yang mungkin berlaku antara parti-parti Melayu islam. Sentimen kebencian sentiasa ditiup supaya terus membara sambil musuh tersenyum semakin melebar. Umat islam benar2  tertipu dan gagal memahami realiti yang berlaku yang semakin mengancam.

Segala keburukan lawan menjadi bahan untuk menghentam seolah tidak ada esok untuk dikau lagi. Saya boleh membayangkan apa yang akan terjadi jika mana-mana pihak menang 2/3 masa PRU13 nanti. Segala dendam kesumat akan terbongkar dengan mengenakan pelbagai sekatan dan tekanan. Amat sayang, negara yang majoritinya orang islam tetapi kini musuh islam pula yang menentukan arah tujuan kita.

Di satu pihak terkial-kial ingin mengekalkan kuasa tapi masih tidak mahu berubah manakala di satu pihak lagi mengalir air liur melihat kuasa yang semakai hampir dicapai. Ekonomi sudah sekian lama dikuasai orang lain, pendidikan memang jauh umat islam ketinggalan, budaya islam semakin terongkai dan kini kubu terakhir yang masih kekal ie politik, sudah semakin hampir diterajui oleh musuh islam. Ini juga gagal dirasai oleh umat Melayu islam. Saya amat terkejut apabila seorang pemimpin islam beria-ia benar memuji seorang pemimpin DAP sehingga menganggap dia lebih baik dan mulia dari orang islam kerana beliau cuba mencontohi Umar Ibn Aziz. Kalau begitulah pemikiran orang Melayu islam bermakna tidak mustahil orang yang sama akan sanggup melantik pemimpin bukan islam ini menjadi pemimpin negara. Begitu naif dan jahilnya pemimpin Melayu menilai baik buruknya seseorang pemerintah. Asas aqidah langsung tidak menjadi ukuran. Saya tidak tahu nas mana yang dipakai.
Melihat apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak mustahi bahawa jika berlaku apa2 kekecohan dalam politik maka orang Melayu islam akan bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri. Apakah dikala itu baru kita nak sedar?
Kuasa ke 3?
Senario ini membuatkan saya mula memikirkan dimana jalan penyelesaiaannya.
Mungkin disana perlu kepada Kuasa ke 3 yang mampu menjadi orang tengah. Kuasa yang boleh melihat kemelut politik ini dari perspektif yang lebih luas dan berobjektif. Kuasa ke 3 yang bersih dan murni yang memperjuangkan islam, yang dianggotai oleh orang2 Melayu islam yang ikhlas untuk menjaga kemuliaan agama tanpa mengira kepada kuasa poltiik. Ini akan menolak monopoli UMNO yang mnegatakan ia adalah satu2nya parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan menepis dakwaan PAS bahawa merekalah satu-satunya parti yang memperjuangkan islam.

Tuesday, December 14, 2010

Mampukah Kuasa Ketiga Ubah Politik Negara?

Shaharul Shafie


Hari ini kita digemparkan apabila secara rasminya blogger yang penuh kontroversi, Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK mengumumkan buat pertama kalinya nama seorang peguam, Malik Imtiaz Sarwar sebagai antara calon ‘beliau’ yang bakal mewakili pihak Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya umum akan datang. Bukan itu sahaja, RPK yang menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat (PR) selama ini dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menukar pendirian.

Malah PRK sendiri dilihat mengemudi pembentukan Kuasa Ketiga dari dalam buangan sukarelanya di London melalui penubuhan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM). RPK dikatakan kecewa dengan keadaan dalaman PKR hari ini apabila Datuk Zaid Ibrahim yang juga rakan baiknya telah dilihat beliau sebagai ‘mangsa keadaan’ kepada percaturan politik Anwar. Mungkin ramai di antara kita tertanya-tanya apakah itu Kuasa Ketiga atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut sebagai “Third Force” di dalam arus politik nasional hari ini.

Apakah itu politik ’Kuasa Ketiga’?

Kuasa Ketiga adalah satu kumpulan politik berbentuk kepartian dan kesepakatan yang ditubuhkan bagi mewakili satu kumpulan yang besar lagi berpengaruh yang berkongsi arah tuju perjuangan politik di peringkat nasional. Perjuangannya adalah berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh dua kuasa politik yang pertama itu. Kuasa Ketiga mampu merubah lanskap politik dengan menjadi kuasa penentu kepada pembentukan sesuatu kerajaan selepas pilihanraya. Dalam konteks Malaysia, dua kuasa pertama yang dimaksudkan ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Kuasa Ketiga yang digembar-gemburkan wujud di Malaysia ini adalah satu kumpulan politik beraspirasi baru yang bakal memberi tekanan kepada kedua-dua kuasa yang sedia ada terutamanya dari segi merebut undi di dalam satu-satu pilihanraya sama ada ia pilihanraya umum ataupun kecil. Lazimnya, pemimpin kumpulan Kuasa Ketiga ini adalah meliputi mereka yang pernah berada dalam dua kumpulan sebelum ini tetapi kerana kecewa dan perjuangan politik yang berbeza menyebabkan mereka membentuk pakatan baru.

Selain itu, Kuasa Ketiga juga semakin menempa tempat di hati para pengundi di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada dan United Kingdom (UK), pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan atau NGO adalah kebanyakannya akan terjun menjadi pemimpin Kuasa Ketiga di negara masing-masing. Kuasa Ketiga yang boleh dikategorikan sebagai sangat berjaya adalah yang wujud di UK. Kita akan berbicara tentang Kuasa Ketiga di luar Malaysia nanti.

Kenapa wujud Kuasa Ketiga di Malaysia?

Kewujudan Kuasa Ketiga di Malaysia disebabkan oleh faktor kelemahan oleh BN dan PR. Ramai yang berada di dalam Kuasa Ketiga ini berasa kecewa atau tidak berpuashati dengan cara pengurusan perjuangan dan idealisma politik oleh parti masing-masing yang memaksa mereka meninggalkan parti. Sebagai contohnya, kelemahan dan ketelusan di dalam PKR telah menyebabkan ungkapan Kuasa Ketiga hari ini semakin menonjol.

Ramai yang melaporkan tidak dapat menerima apa yang dikatakan berlakunya ’dinasti Anwar’ di dalam PKR yang sepatutnya menjadi satu wadah perjuangan rakyat marhaen apabila anaknya sendiri, Nurul Izzah Anwar terpilih menjadi Naib Presiden pada usia yang muda. Ada juga yang tidak berpuashati dengan perjalanan pemilihan pucuk pimpinan PKR baru-baru ini dan ada juga melihat kelemahan PKR di dalam pentadbiran sebagai kerajaan terutamanya di negeri Selangor.

Sebenarnya, kemunculan Kuasa Ketiga di dalam negara banyak disebabkan oleh kepincangan di dalam PKR dan kurang disebabkan oleh masalah-masalah dalaman parti-parti komponen PR yang lain iaitu PAS dan DAP. Tetapi tidak dinafikan bibit-bibit permulaan Kuasa Ketiga ini sebenarnya sudah lama bermula dan ia berasal dari kelemahan UMNO dan parti-parti komponennya yang lain di dalam BN seperti MIC.

Perkasa Kuasa Ketiga?

Bercakap mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), kita boleh katakan Perkasa mempunyai kriteria untuk dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga tetapi tidak sepenuhnya. Ini adalah kerana penubuhan Perkasa hanya dibuat sebagai NGO dan mengelak membentuk kuasa kepartian. Membentuk parti adalah syarat utama bagi dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga. Ramai yang berpendapat bahawa Perkasa dilihat mampu membentuk Kuasa Ketiga tetapi hanya jika UMNO sendiri menjadi lemah.

Saya boleh mengagak bahawa Perkasa sebenarnya mempunyai cita-cita menjadi parti politik Melayu. Lebih-lebih lagi apabila dipimpin oleh ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali dan mendapat sokongan kuat daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seperti mana yang kita sedia maklum, penubuhan Perkasa dibuat semasa UMNO dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dan semua maklum bagaimana buruknya hubungan Pak Lah dengan Tun Dr. Mahathir. Sokongan Tun Mahathir kepada Perkasa adalah sebagai memberi tekanan kepada Pak Lah.

Maka, Perkasa dibentuk terlebih dahulu menjadi NGO bagi memberi peluang kepada UMNO untuk mengukuhkan dirinya semula. Kini apabila tampuk UMNO dipegang oleh Datuk Seri Najib Razak dan perpaduan di dalam UMNO dapat diperbaiki maka Perkasa dijangka tidak akan meneruskan cita-citanya di dalam menceburi politik secara rasmi. Namun begitu, daripada maklumat yang boleh dipercayai, walaupun Tun Mahathir mulai senang dengan kedudukan UMNO sekarang di bawah Najib, beliau didakwa masih mengaturkan kemungkinan tetap adanya calon Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya akan datang yang disokong oleh Perkasa secara lembut. Beliau dikatakan berbuat demikian sekadar untuk mengukur sejauh mana kekuatan UMNO selepas era-Pak Lah. Wallahualam.

Satu lagi contoh jelas Kuasa Ketiga yang muncul dalam tiga tahun lepas ialah Hindraf dan Human Rights Party (HRP) yang disebabkan dakwaan kegagalan MIC sebagai wakil masyarakat India di dalam kerajaan BN di dalam memperbaiki mutu kehidupan masyarakat itu sejak merdeka. Malah, Hindraf juga tidak percaya kepada kemampuan PR bagi memperjuangkan mereka dan keadaan ini amat sesuai untuk kita takrifkan sebagai satu contoh kewujudan ’komponen’ terawal Kuasa Ketiga di negara kita. Oleh kerana masyarakat India adalah kecil maka kewujudannya tidak dapat dirasai sebagai cabaran atau tekanan kepada BN dan PR sebagai kuasa yang mampu mengurangkan majoriti mereka di dalam satu-satu pilihanraya.


 



Sepertimana pentingnya kuasa politik Melayu menentukan kerajaan di negara ini kepada BN dan PR, ia juga amat penting kepada Kuasa Ketiga. Dengan adanya Hindraf/HRP dan PCM yang mewakili India dan Cina masih tidak mampu mengukuhkan Kuasa Ketiga. Episod terkini dalam politik tanah air di dalam PR yang menyebabkan bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti dan berjanji membentuk parti baru pastinya kesempatan yang dilihat bagus bagi mengukuhkan Kuasa Ketiga.

Kuasa Ketiga tidak semestinya parti serpihan

Mungkin ada antara kita yang berpendapat Kuasa Ketiga ini adalah kumpulan serpihan daripada BN dan PR. Mungkin ada kebenarannya hakikat itu tetapi perlu dijelaskan sekali lagi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Kuasa Ketiga juga merupakan mereka yang tidak pernah pun menyertai BN dan PR tetapi terlibat di dalam NGO-NGO dan berpandangan yang tidak sehaluan sama ada dengan perjuangan BN dan PR. Sepertimana Zaid yang kini dilaporkan sudah menyertai sebuah parti dorman iaitu Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan dijangka menjadi Presiden terbaru AKIM tidak lama lagi, kita tidak boleh menyebut AKIM sebagai parti serpihan kerana parti itu telah wujud sejak tahun 1995.

Jika Zaid membuka parti baru mungkin parti berkenaan boleh disebut sebagai serpihan. Namun begitu, untuk mendefinisikan Kuasa Ketiga, isu parti serpihan tidak timbul sama sekali. Untuk Kuasa Ketiga sama ada sebagai sebuah parti (tidak kira batul-betul baru atau serpihan) atau sebuah lagi gabungan parti-parti, mereka perlukan sekurang-kurangnya 20 peratus sokongan daripada undi rakyat Malaysia. Oleh itu, untuk mengatakan wujudnya Kuasa Ketiga secara sepenuhnya di Malaysia hari ini masih terlalu awal. Ini kerana kita belum lagi melalui satu proses pilihanraya umum untuk mengukur sejauh mana mereka yang mendakwa menjadi Kuasa Ketiga ini mampu mengaut 20 peratus undi popular bagi melayakkan mereka menggunakan istilah tersebut.

Sejarah Kuasa Ketiga di dunia Barat

Di negara-negara maju di Barat dan mengamalkan demokrasi, kewujudan Kuasa Ketiga sudah mula wujud selepas era Perang Dingin. Seperti yang penulis sebut awal-awal mengenai kelemahan sistem dua parti yang membuatkan rakyat jelik dan kecewa dengan dasar-dasar kedua-dua parti utama inilah menyebabkan kewujudan Kuasa Ketiga. Selain itu, antara pelopor Kuasa Ketiga di rantau sebelah sana yang mulai mendapat tempat telah dimulakan sebagai parti pencinta alam sekitar.

Mungkin anda pernah mendengar nama parti ’Green’. Parti-parti berhaluan alam sekitar banyak ditubuhkan di beberapa negara di dunia Barat. Namun begitu, di Amerika Syarikat, parti Green masih dilihat sebagai ’pilihan’ ketiga kepada pengundi tetapi masih belum layak disebut sebagai Kuasa Ketiga. Ini kerana kemampuannya mengutip sebilangan peratusan undi popular masih di peringkat yang rendah. Parti-parti seperti Republikan dan Demokrat masih lagi dianggap teguh dan dipercayai di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem dua parti yang kukuh itu.

Contoh yang terbaik adalah di United Kingdom (UK). Semasa pilihanraya umum UK pada pertengahan tahun ini, tiada satu parti pun yang memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru. Sepertimana yang anda sedia maklum, gergasi politik atau Kuasa Pertama dan Kuasa Kedua di UK adalah parti Buruh dan parti Konservatif. Dewan Rakyatnya yang dikenali dengan nama House of Commons mempunyai 650 kerusi dan parti yang boleh membentuk kerajaan memerlukan 326 kerusi sebagai majoriti mudah
 
Di dalam pilihanraya tersebut, kedua-dua parti itu gagal memperolehi jumlah mudah tersebut. Parti Konservatif dipimpin oleh David Cameron (kini Perdana Menteri) memperolehi 306 kerusi manakala parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Gordon Brown pula mendapat 258 kerusi. Untuk membentuk kerajaan di dalam keadaan yang diistilahkan sebagai ’Parlimen Tergantung’, mereka perlu mencari mana-mana parti lain atau Bebas yang memenangi kerusi untuk bergabung dan membentuk kerajaan. Akhirnya, sebuah lagi parti yang layak ditakrifkan sebagai Kuasa Ketiga iaitu parti Liberal Demokrat dengan 57 kerusi akhirnya bersetuju bekerjasama dengan parti Konservatif bagi membentuk kerajaan.

Dalam lain perkataan, dengan keperluan yang teramat sangat ke atas Liberal Demokrat oleh Konservatif dan Buruh menunjukkan kepada kita betapa kuatnya pengaruhnya sebagai satu kuasa. Selain itu, Liberal Demokrat yang memperolehi hampir 23% undi popular semasa pilihanraya tersebut dan ini turut melayakkan partinya dianggap sebagai Kuasa Ketiga yang menggugat kemampuan parti Konservatif dan Liberal di dalam membentuk kerajaan bersendirian. Ini adalah satu kes yang jelas bagi menggambarkan keadaan sebenar politik tentang Kuasa Ketiga.

Konsensus Bebas di Parlimen bukan Kuasa Ketiga

Di Malaysia, kita ada sekumpulan ahli Parlimen yang berstatus Bebas dan kesemua mereka ini adalah bekas ahli Parlimen PKR yang keluar dari parti tersebut kecuali Ibrahim Ali. Mereka menggelarkan kumpulan mereka sebagai ’Konsensus Bebas’ dan mendakwa mereka adalah Kuasa Ketiga. Bagi penulis, bagi memperolehi status Kuasa Ketiga tidak semudah itu kerana mereka tidak membentuk satu ikatan yang formal yang membolehkan mereka menjadi sebuah parti politik. Malah sebagai ’Bebas’ dengan sendirinya meletakkan mereka ’di atas pagar’ politik.

Dalam pilihanraya UK yang lalu juga, mereka yang tidak menyertai Liberal Demokrat dan menang atas tiket parti lain seperti parti Green, parti-parti wilayah seperti Plaid Cymru di Wales dan Parti Kebangsaan Scotland untuk Scotland serta parti Bebas. Mereka ini seramai 37 ahli parlimen yang tidak berstatus Kuasa Ketiga.

Jika mereka (Konsensus Bebas di Malaysia) mempunyai ideologi yang sama secara sahsiahnya mereka bukan lagi berstatus ’Bebas’. Untuk menjadi ahli parlimen Bebas, setiap daripada mereka tidak boleh nampak bersama dan berkaitan antara satu sama lain di dalam tindakan dan wadah perjuangan mereka. Oleh itu, dengan mengatakan Konsensus Bebas sebagai Kuasa Ketiga adalah salah dan berangan-angan menjadi Kuasa Ketiga sebagai pakatan bersama-sama mereka juga sudah menyalahi etika sebagai mereka yang ditakrifkan sebagai ahli parlimen yang benar-benar ’Bebas’.

Sejauh mana kemampuan ’Kuasa Ketiga’ dalam PRU-13?

Sepertimana yang saya ada ulas awal tadi bahawa mereka yang mendakwa mereka sebagai Kuasa Ketiga masih belum lagi sah atau layak memiliki pengiktirafan berkenaan. Mereka perlu melalui perjalanan pilihanraya untuk melihat sama ada mereka berjaya menawan lebih 20 peratus undi popular sebagai syaratnya
 
Namun begitu, saya jangkakan pilihanraya umum ke-13 nanti akan memberi satu perbezaan jika dibandingkan dengan pilihanraya umum ke-12 terutamanya kewujudan calon-calon yang akan bertanding menentang calon-calon BN dan PR di dalam sebahagian besar kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri nanti.

Mungkin terlalu awal untuk menyangka akan kemampuan mereka untuk bertanding dalam tiga penjuru di kesemua kerusi Parlimen dan DUN di negara ini. Mungkin mereka akan memilih lokasi yang sesuai yang tepat dengan jangkaan jumlah pengundi yang menyokong perjuangan mereka. Kawasan yang terbaik untuk mereka menentang BN dan PR adalah di kawasan-kawasan Melayu bandar (terutamanya di Lembah Kelang) dan juga kawasan tumpuan utama pemimpin PR dan BN seperti Permatang Pauh, Lembah Pantai dan Gombak.

Saya berasa yakin tiada calon ’Kuasa Ketiga’ di kawasan penempatan calon Cina. Ini adalah kerana berdasarkan senario politik hari ini, DAP masih mampu menguasai sentimen dan undi-undi pengundi Cina. Selain itu juga, kawasan-kawasan luar bandar juga tidak sesuai untuk mereka ini mencuba nasib kerana sentimen Melayu di kawasan ini adalah masih selesa dengan perjuangan UMNO dan PAS.
 
Dalam kata lain, calon-calon Kuasa Ketiga ini patut lebih selesa meletakkan calon di kawasan yang kini diduduki oleh ahli Parlimen PKR. Ini adalah kerana penonjolan Kuasa Ketiga hari ini adalah hasil daripada konflik dalaman yang melanda PKR sejak pemilihan parti yang baru lepas. Dijangkakan juga beberapa ahli Parlimen PKR sendiri yang dilihat rapat dengan Zaid yang ada sekarang mungkin membuat kejutan meninggalkan parti itu dan bertanding sebagai calon ’Kuasa Ketiga’.

PRU-13 boleh menjadi gelanggang pertama golongan yang mendakwa ’Kuasa Ketiga’ yang pertama di Malaysia ini mencuba nasib dan mencari pengalaman berpilihanraya. Namun begitu, amat sukar bagi mereka untuk mencapai kedudukan seperti parti Liberal Demokrat di UK yang dipimpin oleh Nick Clegg yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri UK hasil rundingan perkongsian kuasa dengan Konservatif yang memperolehi lebih 20 peratus undi popular di seluruh UK. Mungkin pada awalnya, Kuasa Ketiga di Malaysia ini akan hanya dianggap pengacau undi tetapi dengan manifesto perjuangan yang mantap, telus dan usaha bersungguh-sungguh mampu membolehkan mereka mencapai tahap seperti Liberal Demokrat di UK.

PRK Batu Sapi permulaan Kuasa Ketiga?

Pilihanraya kecil di Batu Sapi boleh diambil contoh sebagai permulaan kepada episod Kuasa Ketiga itu. Di dalam PRK tersebut, tiga parti yang bertanding ialah PBS(BN), PKR(PR) dan SAPP. SAPP boleh diibaratkan sebagai Kuasa Ketiga dalam konteks kecil negeri Sabah. Namun begitu, keputusan yang memihak kepada BN dengan jelas sekali menang besar walaupun jumlah undi PKR dan SAPP dicampur masih belum dapat menandingi BN. Tetapi ini adalah satu permulaan kepada sesuatu yang lebih menjuruskan kepada kepentingan Kuasa Ketiga di masa hadapan sekiranya mereka memperolehi undi besar yang menakutkan calon BN dan PR.

Nasib Kuasa Ketiga hari ini tidak dapat ditentukan lagi. Keadaan mereka ini adalah bergantung kepada kemampuan PKR di dalam menjelaskan perkara sebenar dan mengaku kesalahan yang dilakukan agar nampak telus di mata penyokongnya dan rakyat yang menyokongnya supaya terus menyokongnya. Perlu diingatkan PKR dan PR tidak boleh menolak hakikat bahawa kemenangan mereka dahulu juga disebabkan oleh pengundi atas pagar dan juga ahli-ahli UMNO dan komponen BN yang lain yang mengundi protes. Jika BN sudah bersedia dan mantap kali ini, pastinya undi protes itu akan kembali semula kepada mereka. Senario politik negara kita masih sukar diramal tetapi PR terutamanya PKR masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memenangi hati rakyat semula



No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]