Seksyen 114A Akta Keterangan
Hari ini 14hb. Ogos 2012 merupakan hari kempen membantah Sekyen 114A Akta Keterangan. Saya selaku pentadbir blog Arena Kereta menyatakan sokongan penuh terhadap kempen tersebut dan mendesak pihak kerajaan menarik balik sekyen berkaitan dan tidak mengambil sebarang bentuk tindakan undang-undang secara tidak adil kepada rakyat Malaysia selaku pengguna internet.
Jika anda kurang arif mengenai seksyen tersebut, anda boleh membaca petikan di bawah yang menerangkan secara jelas berkenaan apa itu Sekyen 114A dan implikasinya terhadap seluruh pengguna internet di Malaysia;
JOM! BANTAH SEKSYEN 114A!
Pernahkah anda dengar mengenai Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950? Pindaan terbaru ini meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya pihak yang menuduh.
Sebagai contoh, jika seseorang menyamar sebagai anda dan melakukan kesalahan di internet, andalah yang bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa anda tidak bersalah.
Undang-undang yang baru ini jelas bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.
Pindaan yang baru ini boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada seluruh pengguna internet dan pihak yang terlibat dalam industri tersebut.
Jika anda memiliki akaun Facebook, Twitter, blog atau forum, anda akan dipertanggungjawabkan atas setiap isi kandungan yang terdapat di laman-laman tersebut termasuk komen dan artikel yang ditulis oleh pihak lain.
Selain itu, pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan jika ada pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan tersebut. Lebih malang lagi, jika rangkaian wifi rumah anda dicuri atau dihack, anda juga bertanggungjawab atas segala yang dilakukan oleh pencuri terbabit.
Jika ada pihak yang mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel menggunakan nama anda, Seksyen 114A yang baru ini menganggap bahawa andalah pemilik sebenar akaun terbabit.
Akta yang baru dipinda ini sebenarnya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada mengemukakan pendapat mereka di internet. Hal ini juga mengancam kebebasan berinternet di negara kita.
Kebebasan bersuara serta kebolehan menyatakan pendapat merupakan tunjang sebuah demokrasi yang berfungsi dan berinovasi. Seksyen 114A Akta Keterangan ini jelas bercanggah dengan konsep hak asasi manusia dan aspirasi ekonomi negara berasaskan ilmu.
Jika anda fikir pindaan terbaru terhadap akta ini perlu dihapuskan, marilah bersama kita mendesak Kerajaan supaya menarik semula pindaan tersebut. Sertai Hari Internet Blackout 14 Ogos 2012!
p/s : Bayangkan jika anda salah seorang pembaca blog Arena Kereta menulis sesuatu komen di dalam blog ini yang bercanggah dengan aspirasi pihak kerajaan dan dituduh menghasut, maka saya selaku pentadbir blog Arena Kereta akan dipersalahkan dan boleh didakwa di mahkamah menggunakan Seksyen 114A Akta Keterangan.
Saya tidak nampak apa motif sebenar penggunaan Seksyen 114A ini, melainkan ianya salah satu cubaan untuk menutup mulut setiap pengguna internet agar menjadi ‘bisu’. Untuk maklumat lebih lengkap, sila layari blog khusus untuk kempen tersebut di sini : Stop114A
Najib arah Kabinet bincang Seksyen 114A
Najib arah Kabinet bincang Seksyen 114A
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Kabinet agar membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang diluluskan baru-baru ini, ekoran bantahan dan kritikan pelbagai pihak - pemimpin Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan.
Menerusi mesej Twitternya malam ini, Najib berkata, sebarang tindakan kerajaan seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat.
"Apa saja kita lakukan, kita harus mengutamakan rakyat," kata beliau yang kini berada di Makkah.
Kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya esok, akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
No comments:
Post a Comment