Friday, August 3, 2012

GOLEK PUNGGUNG DEPAN SAYA?


Minggu ini, saya mahu tulis lain sedikit daripada biasa. Terpaksa jadi lain kerana tindak tanduk berpolitik di negara kita juga sudah jadi lain macam. Semakin kebudak-budakan.
Ada yang bergolek punggung di depan rumah orang. Ada pula yang berhimpun makan ais krim, kononnya untuk mengajar orang ramai jangan jilat ais krim di dalam tandas. Ya, kita tahulah... motifnya adalah politik.
Saya bukan mahu menghakimi sama ada asbab pada perbuatan itu betul ataupun salah. Akan tetapi, situasinya pada saya semakin parah apabila orang kita semakin hari dilihat semakin memberi perhatian terhadap hal remeh temeh, picisan untuk dicampur aduk menjadi isu politik yang akhirnya membawa politik kita bukan semakin matang tetapi kebudak-budakan.
Saya ingat lagi, tidak lama dulu pernah jadi isu apabila satu kumpulan yang tidak berpuas hati dengan seorang menteri besar, mengugut mahu mengejar dan berbogel di depan menteri besar itu.
Kononnya, mereka sanggup bertelanjang di depan khalayak ramai untuk memperjuangkan hak golongan miskin mendapatkan kadar sewa yang murah bagi rumah PPR.
Walaupun kesudahannya tidaklah sampai ada yang berbogel namun ugutan itu sahaja bagi saya sudah cukup mencemarkan.
Apa pandangan anak-anak kita yang masih di bangku sekolah apabila tahu akan hal bapa-bapa yang tidak tahu malu ini mengugut untuk berbogel di depan khalayak ramai, di depan pemimpin negeri?
Kita boleh kata, peduli apa mereka hendak berbogel, bukan mereka nak tengok kita punya tetapi mereka nak tunjuk mereka yang punya!
Tetapi soalnya, apa yang saya fikirkan ialah mereka ini saya amat pasti adalah orang-orang yang waras. Dan lebih saya fikirkan lagi kerana apa yang mereka ancam hendak lakukan itu - satu perbuatan yang sangat tidak waras - ada kaitannya dengan politik.
Ini bererti, satu budaya berpolitik yang baharu, yang tidak pernah kita fikir akan berlaku, telah menyelinap masuk ke dalam masyarakat kita. Budaya ini pula adalah sesuatu yang amat memalukan. Itulah yang saya bimbangkan!
Walaupun tetap menyalahi undang-undang dan hukum moral namun tidaklah sampai meloya tekak jika yang dibayangkan itu budak yang masih belum akil baligh, belum bersunat dan kira-kiranya masih dalam keadaan comel untuk dibogelkan. Namun yang sebaliknya ugut mahu berbogel itu ialah bapak budak!
Memang isu itu sudah lama senyap namun bukan mustahil ia boleh muncul semula apabila budaya politik kebudak-budakan dan tidak masuk akal mulai popular di negara kita. Lihat sahajalah, senyap isu ugut bogel, timbul cerita bergolek punggung di depan rumah orang.
Kalau pun hendak berjuang, bukan itu caranya. Berjuang biarlah secara bijaksana. Orang berjuang untuk mempertahankan maruah, bukannya menjatuhkan maruah. Saya mendoakan di tanah air kita yang tercinta ini, janganlah timbul lagi tindak-tanduk politik murahan seperti ini.
Dan satu lagi, selepas tulisan saya ini disiarkan, janganlah saya pula yang diburu. Saya tidak mahu tengok kerana apa yang mereka ada, saya sendiri pun ada. Sama sahaja, masing-masing sudah tidak comel lagi!

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]