Thursday, August 9, 2012

KEPELBAGAIAN KAUM DALAM POLITIK MALAYSIA.


REALITI KEPELBAGAIAN KAUM DALAM POLITIK MALAYSIA

Tsunami Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 (PRU12), meletakkan satu kesimpulan bahawa politik kepelbagaian kaum adalah satu realiti politik baru abad ke 21 di negara kita. Generasi pasca 13 Mei secara beransur-ansur menolak idealisme rasis, kepuakan dan regionalisme. Kesannya, pengundi generasi baru mula mengetepikan politik yang membabitkan unsur-unsur perkauman. 

Justeru itu, beberapa parti politik telah mengambil langkah berani untuk mengikis gambaran berpihak atau fokus kepada puak atau kelompok tertentu sama ada berbentuk ras, pegangan agama atau kedaerahan. Suasana ini lebih diberi perhatian oleh parti-parti politik akhir-akhir ini. 

Sungguhpun UMNO menggambarkan matlamat akhir serta dasar parti membela nasib orang Melayu, realiti politik ini sudah lama dirintis oleh UMNO. Penubuhan UMNO (Baru) dalam tahun 1988, mengubah dasar UMNO, yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar, 1946. UMNO (Baru) membuka ruang untuk Bumiputera di Sabah, serta membolehkan kaum minoriti seperti masyarakat Thai di Kedah dan Perlis jadi ahli. Keahlian UMNO sudah diperluaskan tafsiran Melayu. 

Pas mula mengambil pendekatan merapati masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu menerusi Chinese Consultative Council (CCC) menjelang PRU 1986. Pas meletakkan 3 calon Cina Muslim dalam PRU 1986: Ali Abdullah @ Lee Kin Kong (P76 Pekan), Ghazali Ho @ Ho Shing Chong (P71 Tanjong Malim) dan Mohd Radhuan Daniel On (P11 Merbok). Semuanya gagal beserta majoriti besar.

Kegagalan percubaan Pas mendekati masyarakat Cina menerusi kerjasama CCC ini, mengubah strategi Pas dalam pilihan umum berikutnya: PRU 1990. Pas tidak ikut serta kerjasama melalui kesepakatan Gagasan Rakyat bersama Parti Melayu Semangat 46, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Pas bersama dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dengan Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin (Hamim). Kerjasama ini berjaya memulihkan serta mengangkat Pas di pentas perdana arena politik tanahair.

Kehendak semasa sebagaimana manifestasi PRU12, batasan perkauman dan agama semakin terpisah sedikit demi sedikit, peranan Kelab Penyokong Pas yang main peranan oleh bukan Islam, membolehkan calon-calon Pas yang bertanding di kawasan campuran mendapat sokongan yang mengkagumkan. Pengundi bukan Islam sudah mengikis tanggapan Pas sebagai sebuah organ berlandaskan agama yang fanatik dan konservatif. Pengundi bukan Melayu dan bukan Islam meletakkan Pas sama seperti parti-parti lain, tanpa prejudis faham perkauman sempit dan tragis. 

Fenomena realiti politik yang mengikis unsur-unsur rasis ini, akhir-akhir ini diikuti sama oleh beberapa parti lain. Sarawak United People's Party (SUPP), parti yang diasaskan Ong Kee Hui dalam tahun 1959, walaupun sebuah parti berbagai kaum, tetapi lebih dominant di kalangan masyarakat Cina Sarawak dan berkubu di kawasan bandar dan semi-urban, menampakkan perubahan. Setelah kehilangan sokongan masyarakat bandar dalam 2 pilihanraya negeri Sarawak: 2006 dan 2011. 

Dalam mesyuarat agung tiga tahun sekali tahun lepas, SUPP di samping memilih kepimpinan baru di bawah Tan Sri Chin Kah Fui, turut juga memilih Dato' Richard Riot Jaem, berbangsa Bidayuh, Ahli Parlimen Serian yang juga seorang Timbalan Menteri Persekutuan, sebagai Timbalan Presiden. Kali pertama seorang kepimpinan tertinggi semenjak 1959, seorang bukan Cina dipilih. Secara tidak langsung, walaupun sebuah parti berbagai kaum, di mana anggota mewakili masyarakat Bidayuh pernah diletakkan calon untuk mendeduki kerusi Council Negeri serta Parlimen. Sejak dulu, SUPP lebih menumpukan ke kawasan masyarakat Cina dan Bidayuh.

People's Progressive Party (PPP) yang diasaskan oleh dua peguam berbangsa Ceylonese terkemuka, D.R. Seenivasagam dan D.P. Seenivasagam, dalam tahun 1955, sebuah parti yang amat berpengaruh di Lembah Kinta, dalam tahun 1950an dan 1960an. PPP lebih popular di kalangan masyarakat bukan Melayu di Perak, menyebabkan parti-parti pembangkang utama masa itu seperti Socialist Front (gabungan Partai Rakyat Malaya & Partai Buruh), DAP, Gerakan, UDP gagal menyaingi PPP di Ipoh dan kawasan sekitar. Apatah lagi MCA dan MIC. 

Sebelum pilihanraya kerajaan tempatan dimansuhkan oleh Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1966, Majlis Perbandaran Ipoh dikuasai oleh PPP, semenjak merdeka. Kepimpinan PPP dikuasai oleh bukan Melayu dan terasnya masyarakat bukan Melayu sebagai penyokong hardcore. 

Penyertaan pertama PPP dalam pilihan raya negeri dan Parlimen ialah dalam PRU1 (1959). PPP menang 8 kerusi DUN (semuanya di Perak): 2 India, 5 Cina dan 1 Melayu. YB Melayu tunggal PPP itu ialah Mohd Ali Fajar Hussien di Dun Pasir Puteh, kawasan majoriti bukan Melayu. Di Parlimen, menang 4 kerusi, semuanya di Perak, menerusi Seenivasam bersaudara dan 2 ahli bangsa Cina. 

Dalam PRU2 (1964), kerusi berkurang kepada 4 DUN dan 2 Parlimen. Seenivasam bersaudara kekal kerusi mereka di DUN dan Parlimen. Tiada calon Melayu menang.  Dalam PRU3 (1969), prestasi PPP meningkat. Menang 4 Parlimen dan 12 kerusi DUN Perak. Dari 12 kerusi DUN: 3 India, 8 Cina dan 1 Melayu. D.R. Seenivasagam meninggal dunia sebelum pulihanraya. Calon tunggal Melayu yang menang tersebut, Shamsuddin Harun (ADUN Sungai Raya) menjadi penyelamat kepada kerajaan Perikatan. Perikatan menjadi buntu hendak bentuk kerajaan negeri, apabila cuma menang 19 kerusi sementara baki 21 kerusi dimiliki oleh parti-parti pembangkang: DAP, Gerakan, PPP dan Pas. Shamsuddin Harun, ahli veteran PPP menyertai UMNO, untuk membolehkan Perikatan bentuk kerajaan tanpa majoriti.

Apabila demokrasi dipulihkan setelah peristiharan Daruruat ditamatkan, PPP bersama beberapa parti pembangkang utama menyertai Barisan Nasional, kecemerlangan PPP menurun dalam sekelip mata. Dalam PRU4 (1974) calon-calon PPP yang bertanding atas nama BN kalah teruk. Lubuk anti-esblishment Lembah Kinta berpindah kepada DAP. S.P.Seenivasagam sendiri gagal di kubunya sendiri, Menglembu, yang telah dimenangi semenjak 1959.
Kedudukan dan peranan PPP semakin mengecil. Tambahan pula kematian S.P. Seenivasagam. Kepimpinan PPP dibawah R.C.M. Rayan gagal mengembalikan kegemilangan rekod PPP di bawah Seenivasagam bersaudara. Kepimpinan PPP bertukar tangan, semuanya cuma mampu muncul mewakili suara PPP melalui perlantikan ketuanya sebagai Senator. 

PPP mula menampakkan peranan sebagai sebuah organ komponen BN yang berwibawa setelah kepimpinan diambil alih oleh seorang peguam, M. Kayveas. Langkah awal PPP ialah menukar nama dari Parti Kemajuan Rakyat kepada Parti Kemajuan Penduduk. Akrinim PPP dikekalkan. Lambangnya dari bintang 6 bucu berwarna merah dan latar belakang putih ditukar kepada bintang 5 bucu berwarna biru. Perubahan imej dari "rakyat" kepada "penduduk" dan "merah" kepada "biru", dapat mengubah tanggapan lama radikal kepada keharmonian. Dari sebuah parti ragional atau keaerahan kepada parti nasional yang keahliannya tersebar tanpa batasan geografi. Walaupun sudah tidak lagi dikenali sebagai sebuah parti Lembah Kinta, sebagaimana tahun 1960an dulu, tetapi keahliannya  berkisar kepada masyarakat bukan Melayu dan bersifat bandar.

Dalam PRU11 (2004) PPP diberi peluang bertanding 1 kerusi Parlimen dan 1 Dun di Perak. Presidennya M.Kayveas menang di kerusi Parlimen Taiping, sementera Lee Seng, Setiausaha Agung parti, kalah di Dun Pasir Berdamar. Kedua-keduanya kawasan majoriti bukan Melayu. Tapi dalam PRU12 (2008), Kayveas gagal pertahan kerusi.

Selepas tsunami politik 2008, PPP melantik Dato' Nik Sapeia Nik Yusof (bekas ahli UMNO) sebagai salah seorang Naib Presiden. Kali pertama ruang diberi kepada ahli Melayu satu jawatan tertinggi dalam parti. Setakat manakah perubahan ini boleh mempautkan orang-orang Melayu menyertai PPP. Atau mungkinkah selepas ini PPP akan mewakili berbagai kaum, tidak lagi berkisar kepada masyarakat bukan Melayu.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diasaskan oleh Dato' Zaid Ibrahim setelah beliau mengambilalih kepimpinan Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), memeriahkan lagi iklim politik memenuhi aspirasi kehendak semasa. AKIM yang diasaskan oleh bekas penyokong Pas dipimpin oleh Cikgu Musa Salleh (seorang bekas YDP Pas Kawasan), 18 tahun lalu, bergerak dalam kalangan masyarakat Melayu dan bersifat luar bandar. Ruang penyebarannya berfokus kepada Kelantan saja. AKIM dibubar dan diambilalih oleh KITA, yang mengasaskan perjuangannya kepada moderat, demokrasi dan keadilan, dengan penyebaran keahlian berbilang kaum dan bergerak sebagai parti nasional. KITA jelmaan atas roh AKIM, melakukan perubahan keseluruhan AKIM. 

Parti yang baru berusia 1 tahun ini, mengumpulkan kepimpinan berbilang kaum dari seluruh negara ini, dijangka akan dibubarkan. Dalam masa terdekat ini, parti akan meminta mandat dari perwakilan untuk menguburkan, atas alasan kegagalan penyebaran pengaruh dan kewangan.

Sayang sekali usaha pragmatik merealisasikan politik alaf baru menerusi pembububaran AKIM dan menggantikan dengan KITA ini, mengundur diri dalam tempoh usia yang terlalu singkat.

DAP sebuah parti berbilang kaum dan mengalami kedewasaan dalam arena demokrasi sejak  45 tahun lalu. Sebagai sebuah parti memperjuangkan sosial demokratik dengan asas kesamarataan dapat bertahan dengan sokongan akar umbi dalam masyarakat bandar. DAP dilabelkan sebagai sebuah parti cauvinis Cina, menjaga kepentingan kaum Cina dan meberi saingan kepada MCA dan Gerakan dalam perebutan undi dalam masyarakat bandar.

DAP yang ditubuhkan dalam tahun 1966 terlibat dalam pilihanraya umum pertama dalam PRU3 (1969). Percubaan pertamanya melahirkan 2 orang YB Melayu. Haji Hassan Haji Ahmad menang di kerusi Dun Sirusa, Negeri Sembilan,  menewaskan calon UMNO, di kawasan campuran. Ibrahim Singgeh menang di kerusi Dun Chenderiang, Perak, kawasan majoriti bukan Melayu. 

Dalam PRU4 (1974), selepas persempadanan kawasan pilihanraya, yang memberi kelebihan kepada kawasan majoriti Melayu, memerosotkan sokongan terhadap DAP. Kawasan Sirusa menjadi kawasan majoriti Melayu dan Chenderiang kawasan campuran. Prestasi DAP di kawasan berkenaan merosot. 

Selepas itu, beberapa DAP berjaya mengutarakan beberapa tokoh Melayu sebagai YB ADUN, semuanya di Perak. Mengisi kekosongan yang ditinggalkan PPP yang menyertai BN. Mohd Salleh Nakhoda Itam (ADUN Guntong 1974-1982), Daing Ibrahim Othman (ADUN Pasir Puteh 1974-1978), Mohd Fadzlan Yahya (ADUN Pasir Berdamar 1982-1990, ADUN Lahat 1990-1995), Mohd Asri Othman (ADUN Darmawan 1990-1995).

Semasa jadi wakil rakyat Daing Ibrahim Othman adalah salah seorang Naib Pengerusi DAP Pusat, sementara Mohd Fadzlan Yahya, Ketua Pemuda Sosialis Pusat. 

Bekas tokoh kesatuan sekerja dan bekas Presiden Ceupacs, Ahmad Nor, merupakan satu-satunya Ahli Parlimen DAP Melayu. Beliau menang di kerusi Parlimen Bayan Baru dalam PRU 1990, kawasan campuran. Ahmad Nor adalah salah seorang Naib Pengerusi DAP Pusat.

Selepas PRU 1990, tiada calon Melayu yang bertanding atas nama DAP menang. Ahmad Ton dari Johor dan Zulkifli Nor dari Pulau Pinang, dua orang kepimpinan DAP Pusat, yang beberapa kali bertanding tapi tak pernah menang.

Selepas tsunami 2008 dan kejayaan DAP menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang, di samping kerajaan campuran di Selangor dan Perak, DAP mula melakukan sedikit perubahan disesuaikan dengan arus politik nasional. Tengku Abdul Aziz Ibrahim, dilantik salah seorang Naib Pengerusi DAP Pusat dan mewakili kerajaan Pulau Pinang di Dewan Negara. 

Penyertaan Ariff Sabri Abdul Aziz (bekas ADUN Pulau Manis, Pahang, dari UMNO), Aspan Alias (aktivis veteran UMNO dari Negeri Sembilan), Abdul Wahab Harari (bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan), memulakan senario baru peranan DAP menerjah ke dalam masyarakat Melayu. Imej cauvinis Cina yang dilabelkan sekian lama oleh media arus perdana dan medan fitnah UMNO, menampakkan kelunturan sedikit demi sedikit. Pendekatan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang khususnya membina persepsi baru satu bentuk pentadbiran yang telus, toleran dan berkesan, serta menafikan gambaran negatif yang dicanangkan oleh BN, UMNO khususnya, andainya berlaku pertukaran kerajaan.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh menegaskan kalau beliau tahu DAP sebuah parti menjaga kepentingan masyarakat Cina, beliau tidak akan sertai parti itu. Beliau yakin perjuangan DAP adalah untuk semua kaum berteraskan keadilan, kesamaan dan kesamarataan.

Realiti politik harapan pengundi generasi lepas merdeka amnya serta generasi pasca Dasar Ekonomi Baru, menolak secara beransur nilai-nilai rasis, kronisme, tindakan-tindakan non-demokratik serta ugutan dan ancaman. Paparan menakut-nakutkan rakyat dengan berbagai teori dan andaian, sudah ketinggalan zaman.

Sebuah kehidupan sosial yang mengutamakan serta penyuburan nilai-nilai demokratik, kesederhaan,  kesamarataan dan ketelusan yang menjamin keadilan menjadi idaman generasi baru. Justeru itu nilai-nilai rasisme, perkauman sempit, serta peraturan-peraturan yang jumud, seharusnya dibersihkan dalam setiap organ politik, demi masa depan Malaysia yang berbilang kaum lebih harmonis.

Idaman kesederhaan melalui konsep wassatatiyah yang baru dipopularkan UMNO, memperlihatkan pengakuan UMNO bahawa politik berbentuk perkauman melampau dan sempit  tidak diperlukan untuk memenuhi tuntutan generasi baru yang menyedari realiti politik abad ke 21.

Catatan di Terminal Larkin, 09.02.2012

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]