Wednesday, September 19, 2012

PAS KENA "LAST WARNING" DENGAN KARPAL.



Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya tidak melaksanakan hudud kerana itu bakal memberi kesan tidak baik terhadap pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Pas akan amaran terakhir supaya mematuhi peruntukan Perlembagaan yang telah diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya sebagai reaksi segera kepada pendirian terbaru Nik Abdul Aziz.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini melalui laman blognya menegaskan, pelaksanaan hudud tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia diwajibkan di dalam Islam dan hukum tersebut bukan satu pilihan untuk manusia menerima atau menolak.

"Tiada hukum atau undang-undang di dunia ini sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dahulu baru ia dilaksanakan," kata Nik Aziz pada 24 Ogos lalu.

Sementara itu sikap berdiam diri pemimpin DAP yang lain selain Karpal berhubung pelaksanaan hukum hudud oleh Pas dipercayai kerana parti pimpinan Lim Kit Siang itu mahu mengambil jalan paling 'selamat' kerana bimbang kehilangan undi orang Melayu.

Bekas Ketua Cawangan DAP Sg. Pelek, R. Vellasamy mendakwa parti itu sudah pun merancang akan bertindak keluar daripada pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum iaitu setelah mendapat undi orang Melayu.

Menurutnya, 'Dinasti Lim' yang diterajui oleh Kit Siang selaku Penasihat DAP dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, gusar untuk mengeluarkan sebarang kenyataan menentang hudud kerana takut kalah pada pilihan raya akan datang.

"Mereka anak beranak cuma ada satu agenda iaitu menang besar pada pilihan raya akan datang tanpa sokongan orang Melayu serta kehilangan beberapa kawasan dengan mudah. Selepas menang nanti, dengan senang hati, mereka akan menggunakan alasan hudud untuk keluar daripada pakatan pembangkang.

"Sehingga itu, mungkin juga Pengerusinya, Karpal Singh akan menjadi 'mangsa' sebagai alternatif untuk terus menentang hudud," katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mencabar parti itu untuk keluar daripada pakatan pembangkang seandainya menolak pelaksanaan hukuman hudud oleh Pas.

Vellasamy mendakwa, Karpal akan terus dipergunakan dan dibiarkan berjuang keseorangan sehingga dibenci oleh masyarakat Melayu kerana menentang hudud walaupun majoriti DAP tidak bersetuju dengan hukuman tersebut.

"Walaupun pimpinan tertinggi DAP menyatakan sokongan tidak terhingga kepada Karpal, mereka hanya cakap-cakap kosong sahaja kerana semua takut kepada 'Dinasti Lim.'

"Pemimpin lain dalam DAP mendiamkan diri daripada terus menentang secara terbuka kerana takut akan kehilangan peluang untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti. Adakah golongan ini layak dipanggil pemimpin untuk memimpin negara?

"Karpal disukai oleh segelintir rakyat serta beberapa pemimpin lain kerana lebih telus dan lantang. Adalah sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya Pengerusi ini turut disingkir satu hari nanti kerana kelantangan beliau menyusahkan dinasti itu, " jelasnya.

Beliau menambah, setiap kali dipersoalkan, Kit Siang dengan bijak akan memainkan isu lain bagi terus mengelirukan rakyat.

"Sehingga kini Kit Siang dan Guan Eng hanya mendiamkan diri walaupun didesak berkali-kali untuk mengeluarkan kenyataan. Kita tahu tentang agenda mereka semata-mata untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti," ujarnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]