PAS Kian Tersepit, Bukankah Melayu Itu “Asabiyyah”?
Buat pertama kali kita mendengar sikap PAS mengajak orang Melayu untuk memperkuatkan agama Islam walaupun caranya adalah teramat silap kerana lebih ramai orang Melayu tidak percayakan parti itu. Presiden PAS sebenarnya setelah “sesat dengan fatwanya terdahulu” kini kembali sedar, tanpa sokongan orang Melayu, kedudukan parti itu tersemban menyembah bumi.
Memang benar bahawa sejak UMNO mempertahankan kedudukan orang Melayu sejak 55 tahun lalu, kewibawaan dan kedudukannya makin terserlah dalam pelbagai bidang sehingga menakutkan parti itu kerana yang masih tegar menyokongnya adalah sekelompok kecil yang menjejaki usia dewasa dan emas.
Akhir-akhir ini berdasarkan laporan yang menyertai PAS adalah beberapa orang penjawat awam yang sudah bersara manakala artis pula adalah mereka yang sudah semakin hilang pesonanya. Bagaimanapun, PAS dengan gegak-gempitanya bersuara “perubahan” itu sebagai petunjuk bahawa parti itu kembali mendapat sokongan orang Melayu kerana perjuangan Islamnya semakin mantap dan meresap ke dalam sanubari rakyat.
Penilaian itu jelas menunjukkan PAS sebenarnya sebuah parti yang syok sendiri kerana itulah setiap kali berceramah pemimpin-pemimpin mereka seolah-olah dirasuk kemaruk kuasa dengan menggelapkan apa sahaja sisi baik orang lain, termasuk usaha kerajaan BN sejak merdeka berjaya merealisasikan kedudukan Islam secara bersyariat dengan berkesan.
PAS yang semakin terkial-kial dengan pelaksanaan “hukum hudud”nya setelah lebih enam puluh tahun kewujudan parti itu masih belum mampu memberikan kesedaran yang jelas kepada orang Melayu mengenainya secara mendalam, hanya mampu memperdengarkan alunan lunak untuk mengekang sebarang bentuk jenayah secara Islamik sedangkan mekanismenya masih kelam kabut.
Sejak memerintah Kelantan pada tahun 1990, PAS tidak pernah melatih tenaga penggerak yang mampu menterjemahkan “hukum hudud” secara professional hinggakan kalaulah ianya dilaksanakan sekarang, siapakah hakim yang akan mengendalikannya. Takkanlah hakim-hakim “hukum hudud” itu merupakan ulama dalam PAS sendiri termasuk Dr Harun Din yang mengetuai pasukan mengkonsepsikan buku kecil “Negara Islam.”
Bahkan ketika meluluskan undang-undang tersebut pada tahun 1995 di Kelantan dan pada tahun 2002 di Terengganu, PAS tidak pernah menyediakan perancangan rapi bagi membina mahkamah-mahkamah khas yang mampu mengendalikan peraturan itu. Hal ini berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan BN, setelah menyerap masuk “Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran” pada tahun 1982, mekanisme pelaksanaan undang-undang keluarga Islam dimantapkan dengan mendirikan mahkamah-mahkamah syariah dan memberikan ruang pendidikan yang meluas bagi melahirkan lebih ramai pakar undang-undang syarie.
PAS tidak pernah membangunkan institusi pendidikan yang boleh membangunkan kepakaran undang-undang Islam kerana parti itu hanya terlalu taksub untuk menang pilihan raya. Dalam bidang pendidikan misalnya, PAS pernah berlaku kejam kepada kanak-kanak prasekolah apabila menutup dan mengunci premis-premis kerajaan negeri yang digunakan oleh KEMAS dan Jabatan Perpaduan ketika memerintah di Terengganu antara tahun 2000 hingga 2004.
Sepanjang pentadbirannya selama empat tahun di Terengganu, Haji Hadi tidak pun berjaya menubuhkan sekolah-sekolah agama dan mengadunkan corak pendidikan yang lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh kerajaan BN apabila kembali berkuasa pada tahun 2004. Bagi melahirkan generasi ulul-albab, kerajaan Terengganu sanggup berbelanja besar melabur dalam bidang pendidikan termasuk penubuhan sekolah, melengkapkan kurikulum, latihan guru dan penyediaan kemudahan sehingga negeri itu berjaya melahirkan kanak-kanak prasekolah yang boleh khatam al-Qur’an di usia empat, lima dan enam tahun.
Jumlahnya bukanlah beberapa puluh, tetapi sekarang sudah melangkaui ke angka puluhan ribu. Integrasi pendidikan moden dan agama dilakukan dengan berkesan sehingga terdirinya sekolah-sekolah imtiyaz dan menarik minat ramai ibu bapa dari Kelantan untuk menghantar anak-anak mereka, kerana sejak memerintah semula Kelantan tahun 1990, belum terdapat sebuah sekolah pun yang berorientasikan sedemikian didirikan.
Sebagaimana ketahui umum bahawa menerusi pendidikanlah sesebuah negara boleh membentuk tenaga pakar dan modal insan bagi membangunkan tamadun yang lebih baik dan besar. Sejarah kegemilangan Islam bermula dengan sikap dan kesukaan para pemimpinnya untuk menyediakan persekitaran pendidikan yang kondusif dan lebih baik. Mungkin PAS terlupa seandainya bukan kerana kecintaan kepada ilmu, maka tidak lahirlah ulama ulung seperti al-Ghazali, Hasan al-Banna dan lain-lain pakar pelbagai bidang dalam sejarah Islam.
Ilmu-ilmuan Islam yang tersohor bukan sahaja mempelajari ilmu-ilmu Islam semata-mata malah turut mengkaji dan mendalami ilmu-ilmu yang bersifat secular sehingga mereka berjaya mengadaptasikan berdasarkan nilai-nilai Islam menerusi keterbukaan minda dan kesungguhannya mengkaji. Oleh kerana itulah Nabi Muhammad SAW sendiri berwasiat bahawa setiap muslim perlu mencari ilmu walaupun hingga ke negeri China, tetapi, nampaknya kaedah pendidikan yang dimahukan oleh PAS dengan menolak secara total ilmu-ilmu yang bukan berteraskan Islam.
Nampaknya PAS yang masih berbaki beberapa kerat ulama teramat suka untuk melihat para penyokongnya menjadi taksub sehingga melihat sistem persekolahan moden sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dikembangkan kerana ada kandungannya bertentangan dengan Islam. Itulah kejumudan pemikiran yang sedang dikembangkan oleh para ulama PAS sehingga menganggap kemahiran berbahasa Inggeris sebagai usaha tidak wajar kerana ia masih belum memisahkan dengan sekularisme dan penjajahan.
Nampaknya Haji Hadi merupakan manusia yang sering berjalan secara berundur dengan tidak melihat secara menyeluruh apakah perkembangan yang berlaku dalam perhubungan dan komuniti antarabangsa. Kemajuan bangsa-bangsa yang bukan beragama Islam sekarang ialah kerana mereka boleh menyerap ilmu-ilmu dari luar sehingga menjadikan mereka sebagai bangsa yang suka mencipta dan innovative sedangkan bangsa-bangsa mendokong Islam terus menjadi masyarakat pengguna dan dibelenggu oleh teknologi barat.
Secara praktikalnya, al-Ghazali menjadi lebih terkenal dalam bidang falsafah kerana hujjatul Islam itu sanggup mengkaji, memahami dan menilai secara kritis asas falsafah Greek, yang kemudiannya dibahas secara ilmiah berdasarkan perspektif Islam. Hari ini, Haji Hadi hanya sekadar merintih dan merungut tentang keburukan system pendidikan moden tetapi masih bersedia membentangkan pelan yang praktikal dan boleh diaplikasikan dalam menjadikan murid-murid di Malaysia sebagai manusia yang cerdik akalnya dan tidak musnah moral.
Meskipun BN yang membangunkan system pendidikan bersifat secular, dan kemudiannya diperhalusi dengan nilai-nilai agama menerusi system piawaian yang setara, setiap mereka yang memperoleh kelulusan dalam peperiksaan berpusat kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia telah diterima secara meluas untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana negara di dunia.
Keadaan ini adalh perlu bagi meminumkan para pelajar yang berada di luar negara belajar daripada kandas. Pada suatu ketika, oleh kerana tiada sistem piawaian peperiksaan yang boleh dipertahankan kualitinya secara meluas, menyebabkan ramai para pelajar terutama anak-anak Melayu yang terpengaruh dengan ideologi politik PAS ke India dan Mesir untuk meneruskan pendidikan, akhirnya ramai daripada mereka kandas dan terpaksa mengambil tempoh yang lebih lama. Dari satu aspek ia adalah sesuatu yang merugikan, kerana tidak dapat menyumbang untuk memasuki pasaran pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknik dan gunaan.
Sejak akhir-akhir ini kemunculan lebih ramai mereka yang bergelar ustaz atau penceramah tidak lagi mempraktikkan apa yang setiap kali mereka katakan. Kalau sedikit masa dahulu, seorang imam di kampong mereka tetap mengusahakan kebun-kebun secara sepenuh masa untuk memperbanyakkan hasil tanaman untuk kegunaan manusia lain. Hari ini, imam-imam yang dilantik oleh PAS hanya tahu bercakap dan mengecam orang lain dengan pelbagai label hinggakan penceramah PAS sendiri turut meletakkan syarat, mereka perlu dibayar komisyen setiap kali berceramah.
Tahun-tahun 1980-an menyaksikan bagaimana PAS mengutip derma menerusi pelbagai tabung untuk membiayai “komisyen” kepada penceramah-penceramahnya yang sudi datang walaupun dalam kebun getah atau lading kelapa sawit. Semakin tinggi kedudukannya dalam parti, maka semakin banyaklah wang derma yang dapat dikutip, dan sebahagiannya akan dibayar sebagai “komisyen” kepada penceramah. Maknanya, pemimpin-pemimpin bercakap bukan atas dasar ilmu, tetapi berdasarkan politik.
Dengan menggunakan pendekatan politik “menghentam” maka semakin ramailah khalayak yang hadir. Kalau nak diikutkan kebenaran fakta yang dikemukakan oleh Mohamad Sabu dalam ceramahnya sebagai “nasi tambah”, ia tidak membangunkan pemikiran positif, bahasa yang digunakan kasar, kesat dan kadangkala mencarut. Tetapi itulah sebenarnya yang disukai oleh ramai khalayak yang menyokong PAS. Intipati ceramah-ceramah pemimpin PAS tidak menjurus kepada pembentukan minda yang jelas dan positif, kerana semuanya menggunakan syllogism dan tergesa-gesa.
Dalam pandangan Haji Haji yang disiarkan dalam Malaysiakini, 6 September 2012 dengan tajuk “Melayu wajib kuatkan PAS dalam Pakatan” tidak mempunyai nilai pandangan yang boleh dipertahankan, hampir kesemua pandangan peribadinya boleh dipertikaikan. Ini kerana hampir semua pemimpin PAS hanya bercakap “ikut sedap mulut” tanpa menghuraikan secara jelas dan mendalam fakta yang boleh menyokong dan mendokong premis yang dikemukakan bagi mengelakkan kesimpulan tregesa-gesa dan amat simplistik.
Cuba kita renungkan beberapa fakta yang boleh menjelaskan kejengkelan politik PAS, iaitu:
(1) apakah lain-lain kaum yang tidak diberikan hak istimewa telah dinafikan hak mereka sebagai warganegara? Sedangkan ramai yang tahu bahawa bukan Melayu yang merupakan 40 peratus penduduk di negara secara keseluruhannya menguasi lebih 80 peratus kekayaan negara? Tidak ada orang Melayu yang marahkan apabila bukan Melayu menjadi kaya dengan caranya. Tetapi kenapakah ramai orang Melayu dengki dengan beberapa kerat orang Melayu yang kaya.
Dalam sesetengah keadaan, PAS dan PKR terus bersengkongkol dengan bukan Melayu untuk mengecam orang Melayu. Apa pendirian PAS apabila Syed Mukhtar al-Bukhary memperolehi penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang berdasarkan keupayaan dan pengalamanya menguruskan Pelabuhan Tanjung Pelepas? DAP menentangnya kerana parti itu sebenarnya tidak mahu melihat orang Melayu kaya, tetapi orang Melayu tidak pernah mempersoalkan bagaimanakah peniaga-peniaga Cina membina kekayaannya;
(2) Kenapa PAS begitu ghairah mempertahankan Penasihat PKR sedangkan pemimpin itu tidak pernah memberikan pengakuan secara jujur dari manakah punca kewangan yang mereka perolehi antara tahun 1995 hingga 1997 sehingga boleh mendepositkan ratusan juta ringgit dalam bank di Tel Aviv atas namanya, isteri, anak-anak dan saudaranya sendiri? Kalau nak dicampurkan dengan rakan-rakannya yang lain, jumlahnya mungkin lebih besar daripada tuntutan royalti minyak daripada Petronas di Kelantan;
(3) Kalau benar PAS memperjuangkan Islam dan telah meletakkan Islam ditempat yang kukuh, kenapakah saban tahun dengan berprinsipkan “membangun bersama Islam”, Kelantan belum muncul sebagai sebuah negeri yang termaju ataupun berjaya membebaskan rakyatnya daripada dikelompokkan sebagai kumpulan termiskin. Kenapa angkanya lebih ramai di Kelantan?Kenapa puluhan ribu anak-anak muda Kelantan terpaksa berhijrah untuk mencari sesuap nasi di negeri-negeri lain? Berapakah jumlah masjid, sekolah, dan peluang pekerjaan yang berjaya dicipta oleh PAS menerusi “membangunkan bersama Islam” sejak kembali berkuasa pada tahun 1990?;
(4) Jika para pemimpin PAS Kelantan jujur dan benar-benar menggunakan peruntukan yang diberikan, termasuk wang yang dipinjam daripada kerajaan persekutuan, masalah bekalan air bersih yang menjadi rungutan sekian lama masih belum mampu diselesaikan? Ke manakah pergi wang lebih RM 600 juta yang dipinjamkan pada tahun 1997 itu?
(5) Orang Melayu semakin ramai tidak mempercayai PAS kerana para pemimpinnya tidak mahu bertanggungjawab apabila sesuatu masalah timbul. Misalnya, kerugian terlalu banyak dalam Koperasi Kohilal yang diasaskan oleh ahli PAS, tidak sedikit pun mendapat perhatian untuk mencari jalan penyelesaian termasuk menyiasat “salah urus” dan “salah labor” yang berlaku sedangkan ahli-ahli yang melabur terasa “tertipu.”
Beberapa bulan lalu, timbul pula “penyelewengan” dalam Kelantan Gold Trade (KGT), yang menurut Menteri Besar sebagai usaha menjadikan dinar dan dirham sebagai mata wang sewaktu perasmiannya, akhir-akhir sudah bertukar kepada perniagaan “jual beli emas.” Bukankah ini satu penipuan dan sebarang bentuk penipuan amatlah dibenci oleh Islam?
Maknanya, menyokong PAS adalah “menghalalkan lebih banyak penipuan berlaku” pada masa depan, sedangkan penipuan sebelumnya masih banyak menyakitkan pengundinya, kecualilah kelompok yang terlalu terpengaruh dengan “sokong PAS membawa ke syurga”;
(6) Kebohongan PAS sehingga boleh menjejaskan akidah. Kebohongan PAS boleh menyebabkan Islam menjadi bahan olok-olokan oleh bukan Islam, termasuk sekutunya. Boleh kita telitikan, apakah kaedah kepimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, yang disokong kuat oleh PAS benar-benar mencerminkan gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz? Kalau tidak mendekatinya, kenapa pemimpin-pemimpin PAS tidak berani bersuara mengkritik dan memperbetulkan kesilapan tersebut? Jangan cuba perbetulkan orang lain kalau diri sendiri masih belum betul. Mahukah Haji Hadi digelar “ulama ketam” nanti?;
(7) Sedarkah Haji Hadi bahawa kepimpinan UMNO sentiasa bermuhasabah diri untuk memperbetulkan sebarang kesilapan bahkan Perdana Menteri secara terbuka sudah memohon maaf dan mengakui bahawa UMNO memang pernah melakukan kesilapan. Bukankah dalam Islam orang sedar dan berusaha memperbetulkan kesilapan agar tidak berulang lagi pada depan merupakan “jihad” yang amat tinggi berbanding dengan para pemimpin PAS yang hanya tahu menegakkan benang yang basah?
Boleh kita lihat, dengan gahnya PAS mendakwa hasil persahabatannya dengan DAP dan PKR, bukan Melayu semakin menerima Islam, tetapi kenapa dengan Karpal Singh seorang pun Mursyidul Am semacam “serabut perut” manakala Haji Hadi terus menukarkan secara terang-terangan “negara Islam” menjadi “negara berkebajikan.”? Bukankah konsep “negara berkebajikan” itu merupakan asas ideologi sosialis yang diperjuangkan oleh PKR walaupun para pendokong PKR sendiri tidak pernah mengaplikasikan prinsip tersebut. Lihat bagaimana Anwar, Azmin Ali mempamerkan kekayaannya?;
(8) Orang Melayu memang benar ada yang menipu dirinya sendiri, tetapi menjadi lebih malang lagi jika diptipu oleh ulama-ulama politik yang mahukan kuasa. Berapa ramaikah orang Melayu yang pernah dijanjikan “hidup yang lebih baik” oleh PAS dibantu, sedangkan Haji Hadi terus menikmati wang pencen bulanan yang besar? Berapa ramaikah penduduk-penduduk di sekitar pantai Kelulut, Marang dibantu oleh Haji Hadi ketika rumah-rumah mereka dilanda rebut atau ombak Laut Cina Selatan ketika musim tengkujuh? Cukupkah mereka hanya diberikan simpati dan diransang bersabar kerana itu adalah takdir?
Inilah sebenarnya yang banyak dilakukan oleh PAS termasuk apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan mempersoalkan orang yang berdemo mahukan “air bersih”, kerana belum lagi ada rakyat Kelantan berhadapan masalah kesihatan kerana “tiada air bersih.” Terbaharu, penduduk Kg Laut mempersoalkan wakil rakyat mereka (Timbalan Menteri Besar) bukan sahaja tidak menjenguk ketika musibah banjir, banjir tidak boleh menerima cadangan rakyat supaya diambil langkah mengurangkan banjir kerana berlakunya pengorekan pasir dan penebangan hutan secara tidak terkawal di kawasan hulu;
(9) Jika PAS mengambil keputusan “menjadi parti pembangkang agar menjadi kekuatan di luar kerajaan bagi menyempurnakan kemerdekaan” janganlah salah orang lain, kerana itu adalah pilihan PAS sendiri. PAS sebenarnya telah memilih “jalan yang salah”, kerana untuk mejadi sebuah parti yang kuat, berkesan dan berkualiti, ia perlu berada bersama, kerana kekuatan itulah akan menyebabkan bukan Melayu tidak berani untuk mencabar orang Melayu.
Ini mungkin tidak disedari oleh PAS sendiri, maka haruslah disedarkan mulai sekarang, akibat perpecahan dan fatwa-fatwa PASlah telah menyebabkan terlalu banyak “political bashing” kedengaran sehingga penggunaan pembesar suara sebelum azan Subuh sudah mula terhalang, dan, bukan Melayu mula meminta-minta agar wang zakat yang dikutip setiap tahun turut diagihkan juga kepada mereka, termasuk untuk rumah-rumah ibadat mereka?;
(10) Seruan pemimpin UMNO terdahulu supaya PAS berada di luar bukan kerana mahukan PAS menjadi lebih baik, tetapi kerana sikap pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang “lebih sudu daripada kuah.” Pemimpin-pemimpin PAS menggunakan apa sahaja kesempatan dan peluang untuk memenuhi tuntutan peribadinya sehingga ramai yang tahu, semakin ramai pemimpin PAS telah kaya, kerana itulah ramai wakil rakyat PAS turut menjadi “kontraktor”, “tukang lobi projek” dan menjual tanah-tanah kerajaan kepada individu.
Ada juga wakil rakyat PAS yang bertindak sebagai broker tanah, beli tanah dengan harga murah tetapi dijual berlipat ganda, contohnya di Tok Bali. Pemimpin PAS berbohong bahawa kerana kerajaan PASlah Tok Bali muncul sebagai pelabuhan perikanan yang terbesar di Pantai Timur? Benarkah? Jawabnya mudah, PAS menipu orang ramai kerana yang mendirikan kemudahan pelabuhan, pusat pendaratan dan kompek perikanan itu adalah kerajaan persekutuan, begitu juga yang menggali kuala sungai? Bolehkah PAS buktikan bahawa merekalah yang melaksanakannya?;
(11) Kalau PAS menganggap konsep pembangunan yang dibawa oleh BN adalah secular, maka pemimpin-pemimpin PAS akan lebih dihormati oleh rakyat jika tidak menggunakan infrastruktur yang tidak ada roh Islam itu, dan binakan alternatifnya sehingga rakyat percaya, PAS benar-benar realistik, bukannya retorik. Kalau PAS benar-benar berjuang atas nama Islam, apabila sesuatu asasnya telah bocor, kenapakah pemimpin tidak berusaha menampalnya sebagaimana dikehendaki oleh Islam, iaitu saling bantu dan tolong menolong.
Apa yang berlaku sekarang ialah, kerana marahkan pepijat, PAS sanggup membakar kelambu, walhal tanpa kelambu itulah semakin ramai pengikut parti itu diserang “politik denggi berdarah.”. Apa usaha PAS untuk menangani ajaran sesat yang “hanya Islam kerana niat”, tidak wajib bersembahyang dan berpuasa; memperbetulkan konsep “kerajaan langit”; kumpulan-kumpulan zikir hingga rumah bergoyang; nikah batin; cerai isteri kerana berbeza parti; putus silaturrahim kerana tidak sokong “bulan purnama” dan sebagainya; dan
(12) Paling saya kecewa sekali ialah perjuangan PAS untuk mempertahankan penggunaan perkataan Islam. PAS pernah tuduh UMNO sekular, taghut kerana tidak menggunakan perkataan Islam dalam bagi nama Parti Kebangsaan Melayu Bersatu. Mursyidul Am PAS tuduh UMNO itu “buang Islam” kerana ketiadaan istilah tersebut, tetapi, ketika menawarkan “negara berkebajikan” kenapa tidak ada perkataan Islam digunakan terhadap konsep tersebut biar jadi “negara Islam berkebajikan” atau “negara berkebajikan cara Islam” atau sebagainya. Maknanya, PAS adalah parti sekular dan telah membuang Islam.
Mungkin pemimpin PAS berhujah, walaupun pada konsepnya tidak ada disebutkan perkataan Islam, tidak bermakna PAS meninggalkan Islam daripada perjuangannya. Jawabnya, UMNO juga tidak pernah membuang hakikat dan nilai-nilai Islam dalam setiap aktiviti dan perancangannya, cuma lebih ramai pemimpin PAS takut mengakui penzahiran tersebut, dengan mengakuinya, bermakna pesona palsu yang dibawa oleh PAS benar-benar diketahui dengan jelas oleh penyokong-penyokong, ia bukan sahaja memalukan ulama politik, malah anak kecil pun boleh gelarkan tok-tok guru yang berpolitik itu sebenarnya tidak lagi boleh dipercayai, tidak layak memimpin dan hanya tahu bercakap, seperti kisah klasik Tok Awang Merdeka di stesen bas Kota Baharu sekitar pertengahan tahun 1970-an.
Pantang tengok anak dara cantik dan putih melepak, maka didekatinya dengan pekikan:
Merdeka!Merdeka!Merdeka!Tapi tangannya tetap mencuit anak dara itu. Pemimpin-pemimpin PAS pada masa samalah seperti keterpesonaan Awang Merdeka, kerana melihat orang Melayu yang semakin mula menyokong UMNO seperti “anak dara” walaupun sebahagiannya adalah “anak dara” yang pernah kena tipu oleh kempen politik yang menjanjikan “syurga” dan “bulan bintang”, bulan purnama yang menjadi simbol kekuatannya sejak sekian lama semakin pudar warnanya bagaikan sedang berlaku gerhana besar akibat terlalu terikut-ikut kehendak PKR dan DAP.
Itulah sandiwara terbaharu Haji Hadi untuk memperingankan beban dan dosa politik yang sedang dihadapi oleh PAS kerana ramai rakyat mulai sedar, PAS bukan benar-benar berjiwa Islam, tetapi tersangat handal memperalatkan agama atas kepentingan politik sempit dan jumud.
Bukankah dengan menyebut istilah Melayu itu bermakna assabiyah? Kenapa PAS mula langkah berundur dan menelan semula kahak yang pernah diludahinya?
Putera Syakir Mubarak
No comments:
Post a Comment