PAS menjadi gentar kerana kedudukan sokongan politiknya sudah berubah. Setelah wajah Islamya menjadi pudar oleh kerana terdesak untuk meneruskan perhubungan terlarangnya dengan DAP dan PKR, terpaksa pula berhempas pulas dengan badai negara berkebajikan, parti itu sedang menuju ke akhir terowong yang gelap.
PAS hanya relevan bagi mereka yang berumur lebih 60 tahun, kerana usia itulah yang dikenali pasti sebagai penyokong tegar sejak parti itu ditubuhkan. Mereka membesar dengan ideologi politik yang memporak-perandakan masyarakat Islam dalam kekalutan fatwa dan percanggahan haluan biduk perjuangan.
Sejak mula mendendangkan penanda aras “menyokong PAS masuk syurga” dan “parti lain selainnya adalah kafir”, kepimpinannya kadangkala tersedak dalam hirupan angin yang sentiasa bertiup tatkala mimpi malamnya begitu mengasyikkan. Tanpa melihat kepada realiti agama yang meletakkan keputusan sama ada seseorang itu mendapar syurga atau neraka, yang merupakan hak mutlak Allah SWT, pemimpin-pemimpinnya mula membuat andaian bahawa parti itulah yang benar-benar memperjuangkan Islam.
Hakikat perjuangan Islam pada awalnya berkumandang dengan begitu garang, tetapi setelah sedar bahawa “salakan garang itu tidak mampu meruntuhkan bukit”, maka PAS mula menukarkan strategi dengan menjalin hubungan dengan bukan Melayu walaupun pada mulanya diisytiharkan sebagai satu bentuk jihad. Fatwa demi fatwa dihamburkan kepada masyarakat agar menolak hubungan baik dengan bukan Islam kerana itulah peperangan dengan UMNO perlu diteruskan walau apa pun kosnya.
Melentur minat sebagai sebuah parti siasah, anak-anak kecil turut ditarbiahkan dengan momokan bahawa “bulan adalah cahaya yang dapat memandu arah ke pintu syurga”, ada pemimpin PAS melancarkan bentuk perjuangan agar hubungan kekeluargaan diputuskan dek kerana perbezaan politik. Suami disyorkan menceraikan isteri, isteri dibenarkan memohon talak, saudara mara berselisih dan berkonflik kerana menyokong parti yang berlainan. UMNO dilihat sebagai parti sekular dan termasuk dalam kelompok taghut yang perlu dijauhkan bertapak. Setiap tindakan yang dibuat bagi mendaulatkan kedudukan Islam, sama ada dalam bentuk kemasyarakatan dan individu ia dilihat sebagai “Islam kulit” dan “tong sampah.”
Akhirnya sumpahan itu memakan diri PAS sendiri, setelah Presidennya sendiri memutarkan kompas perjuangan dengan menggugurkan tuntutan melaksanakan hukum hudud, meneruskan hubungan dengan dua buah parti sekular yang ektremis (DAP dan PKR), dan menerima demontrasi jalanan sebagai bentuk baru politik Malaysia.
Nampaknya, berdasarkan perspektif itu PAS sebenarnya yang amat tertekan kerana sejak awal-awal lagi sudah menunjukkan komitmen untuk menyertai Perhimpunan Bersih 2. Sebaik sahaja menang jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang boleh dianggap sebagai badut politik telah membuat kenyataan tegas akan terus mengambil bahagian meskipun ia adalah sebuah perhimpunan haram.
Setelah pihak penganjur dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan, seorang wanita degil terus menampakkan keangkuhannya. Beliau akan terus menganjurkan perhimpunan tersebut dan tidak akan membuat sebarang permohonan rasmi berdasarkan peraturan yang sedia ada. Inilah watak sebenar yang cuba digambarkan oleh mereka yang semakin tumpul intelektualnya kerana hatinya dibalut oleh keresahan setelah kehilangan jawatan sebagai Presiden Majlis Peguam Malaysia dan mahu mencari tampuk dalam politik tidak bermaruah.
Beberapa hari lalu, Perdana Menteri turut mencabar mereka yang berusaha meraih kuasa di jalanan agar lebih berani untuk bersaing secara sihat. Mereka dicabar untuk menjadi “jantan” dengan memasuki persaingan merebut kuasa apabila tiba masanya pilihan raya dan bukannya “menyucuk hidung rakyat” berdemontrasi di jalanan. Tindakan berdemonstrasi di jalanan merupakan satu bentuk manupulasi politik setelah merasakan kedudukannya tidak kuat dan pengaruhnya kian lemah.
Sejak menyertai pilihan raya umum ke-12, PAS yang bersengkongkol dengan PKR dan DAP merasai kehidupannya tidaklah begitu tenang, malah tidur malamnya sering diganggu oleh mimpi ngeri. Dalam deretan mimpi ngeri itu, yang paling ditakuti ialah apabila rakyat bangkit membacakan talqin bahawa pemimpin-pemimpin PAS tersesak nafas atas kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin, hanya mampu membelitkan kata-kata, “kita tidak mempunyai peruntukan, negeri kita bukannya kaya.”
Inilah sikap sebenarnya pemimpin PAS setelah berkuasa tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik malah sentiasa menyalahkan orang lain atas kegagalan tersebut. Apabila orang lain cuba membantu, maka dikatakakan bahawa sumber yang digunakan itu adalah sesuatu yang tidak sah. Hasilnya telah bercampur antara yang halal dan haram. Jika peruntukan tersebut diberikan kepada PAS, semuanya menjadi halal. Tidak menjadi suatu kawajipan untuk mengenali punca sebenar.
Khalid Samad turut mengingatkan kita bahawa “ Pilihan Raya dan kebebasan bersuara yang dibenarkan sekadar untuk memberikan persepsi adanya demokrasi, tetapi tahapnya dikawal supaya tidak menjejas kedudukan BN. Dalam keadaan begitu sekalipun BN telah dapat dikalahkan di beberapa negeri pada tahun 2008.” Maka jika benar BN mengawalnya, tentunya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak tidak berubah. Umum tahu, kemenangan gabungan pembangkang tidak sedikit pun merubah tahap persepsi demokrasi pemimpin PAS yang berada dalam suasana “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong”, cuma hidungnya menjadi semakin tinggi kerana ikut terpengaruh dengan politik demonstrasi dan menyalahkan orang lain.
Kalaulah Khalid benar-benar jujur dengan perjuangan politiknya, beliau seharusnya membersihkan diri dari kekalutan yang pernah menimpa dirinya apabila membuat bai’ah yang keterlaluan terhadap isterinya sendiri dalam pengakuannya sendiri. Khalid pernah membuat bai’ah akan menceraikan isterinya dengan talak satu jika tidak lagi sefahaman politik, dan inilah kekalutan yang masih belum dibersihkan sepenuhnya oleh Khalid yang bijak menyerang UMNO.
Khalid perlu menasihatkan semua pemimpin PAS dan sekutunya dalam gabungan pembangkang untuk menghapuskan banyak kebatilan yang sedang melanda Selangor sekarang akibat percanggahan minat dan kecenderungan. Percanggahan minat dan kecenderungan itu tidak dikecam oleh Khalid kerana beliau sedar, dengan mengecamnya hayat politiknya akan menjadi lebih pendek sebagaimana telah berlaku di Pulau Pinang.
Bagaimana dengan kemunculan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, rumah-rumah urut haram dan pusat hiburan yang saban malam minggu tersiar laporan penangkapan. Ingatkah kita kepada musim Piala Dunia lalu, ada pusat hiburan beroperasi hingga larut malam menyediakan perempuan penghibur (dari seringan-ringan aktiviti hinggalah seberat-beratnya, tanpa memikirkan itu adalah dosa besar dan dilaknati Allah SWT).
Kerana mahu menonjolkan Dr Mansor Othman, wakil rakyat DUN Penanti dan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Fairus dikorbankan dengan tujahan fitnah rasuah menerima wang dari sebuah syarikat pengusaha kuari. Pada mulanya, Ahmad Fairus dan seorang lagi Timbalan Ketua Menteri telah diberikan wang sebagai pembiayaan menghadiri kursus di luar negeri, yang akhirnya hanya Ahmad Fairus Khairudin seorang diterjah. Akhirnya, Ahmad Fairus diisytiharkan bebas dan tidak terlibat dalam permainan fitnah oleh Angkatan Muda Keadilan sendiri.
Dakwaan Khalid bahawa media perdana, undi pos dan lain-lain seperti terkandung dalam tuntutan BERSIH (1) telah memberikan kelebihan kepada BN sehingga dapat mengekalkan kuasa politik di peringkat pusat. Sekali lagi Khalid cuba menyembunyikan fakta bahawa undi pos turut diterima oleh parti pembangkang dan menjelaskan bukti bahawa tuduhan Khalid adalah sesuatu yang perlu ditolak, kerana beliau sebenarnya sedang berbohong dengan reality politik yang sudah berlaku.
Kalau media perdana tidak memberikan ruang kepada gabungan pembangkang dan sentiasa menyerang pembangkang, ia adalah sesuatu yang lumrah dan turut diamalkan oleh media yang dikuasai pembangkang sendiri. Media pembangkang juga tidak pernah memberikan ruang pemimpin BN untuk menyampaikan pendapat dan pandangannya, malah media pembangkang sentiasa bermain dengan fakta yang diperkotak-katikkan sehingga maklumat yang benar dan sahih menjadi salah dan boleh memburukkan suasana. Spinning yang dibuat oleh media pembangkang tidak pernah Khalid nilai secara objektif, maka janganlah Khalid mengharapkan media perdana akan memberikan ruang sebebas-bebasnya kepada pembangkang.
Khalid sepatutnya faham mengenai teori pemilikan media dan penentuan agenda. Jika beliau fahaman, beliau tidak seharusnya menutup pintu pemikirannya dengan kaedah sedemikian, beliau sepatutnya kembali melihat ke dalam dirinya sendiri, apakah yang telah dilakukan sepanjang khidmatnya sebagai wakil rakyat Shah Alam.
Kenapa Khalid diam membisu apabila Dr Hasan Ali terpaksa berhempas pula mempertahankan tindakannya membantah penjualan arak di kedai runcit dalam kawasan majoriti Melayu, cadangan untuk tidak membenarkan orang Islam bekerja di rumah-rumah hiburan yang menawarkan minuman keras, dan seterusnya tidak melanjutkan masa operasi rumah urut, spa dan pusat-pusat hiburan atas alasan kemudahan kepada pelancong.
Beliau sepatutnya ikut menjadi jaguh sekiranya benar-benar komited dengan Islam. Orang ramai boleh terima Khalid, jika beliau benar-benar ingin membutikan kegagahannya berperang sebagaimana ditunjukkan oleh Khalid Ibnu Walid dalam mempertahankan Islam. Khalid seharusnya dapat memahami tuntutan tersebut dan bukannya “lempar batu sembunyi tangan” atau “kerana ingin kekal diterima sebagai wakil rakyat, maka sanggup tercungap-cungap berlari dalam keadaan diri sendiri yang semakin tempang.”
Politik baru bukanlah politik murahan yang hanya sekadar berhimpunan di jalanan. Jalan raya bukanlah tempat ingin menguji kejantanan dan kemampuan, ia hanyalah satu produk yang sengaja diimport dari falsafah yang dibawa oleh Karl Marx. Karl Marx mendominasikan pemikiran masyarakat bawahan agar bangkit memperjuangkan haknya yang dikatakan dieksploitasikan oleh pemilik industri, maka bila diterjemahkan kepada tingkah politik, ia menggambarkan kehendak rakyat.
Sebenarnya, apa yang ingin dibawa oleh penganjur Perhimpunan Bersih bukannya benar-benar difahami oleh rakyat dan dicetuskan oleh rakyat, ianya adalah kepentingan pihak tertentu yang mula merasakan dirinya semakin payah untuk melepaskan diri dari belenggu masalah, yang dilakukan oleh mereka sendiri. Rakyat menjadi sasaran, dan rakyat sebenarnya telah diracuni dengan bida’ah yang keterlaluan yang sengaja dicorakkan selaras dengan kehendak menonjolkan kembali prestasi politik yang telah menunjukkan kepudaran imej dan kepercayaan.
Bukan sahaja PAS yang sudah menjunam jatuh sahamnya, malah PKR semakin terperosok atas tirani kuasa yang sedang dikembangkan oleh Ketua Umumnya sendiri. Demokrasi yang cuba ditegakkan dalam PKR telah bertukar menjadi tirani dan kuku besi apabila Anwar hanya mampu menerima mereka yang setia kepada dirinya sahaja. Dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR, jelas memberikan petunjuk bahawa parti itu tidaklah mengamalkan demokrasi sebagaimana dilaung-laung sehingga menyebabkan lebih banyak penyokong asal berubah haluan dan keluar parti.
Reformasi corak pemilihan yang cuba diterapkan, akhirnya menjadi pesta baling kerusi akibat semakin melonjaknya suasana tidak puas hati atas sikap keterlaluan Anwar dan kroni-kroninya. Mereka yang berusaha menghidup dan menggerakkan parti disingkirkan demi kerana sebuah nama yang dianggap besar, tetapi rupanya tidak seberapa. Ia bagaikan seekor kumbang kelapa. Nampak gagah dari luar, di dalamnya terlalu banyak ruang-ruang kosong dan segala tersimpan resah dan gelisah, dan tidurnya tidak lagi senyenyak dulu, ketika berkuasa dan menjadi orang kedua tertinggi dalam politik arus perdana.
Kini, PKR turut berada dihujung terowong yang kian gelap, dan PAS seharusnya sedar, jika tidak mahu berubah akhirnya parti itu akan menelan ludahnya sendiri. Bahkan lebih ramai penyokongnya dalam pilihan raya umum ke-12 akan meludah benci dan tidak akan percaya lagi kepada pemimpin-pemimpinnya yang hanya pandai berjanji, menyalak tetapi tidak ditepati dan bukit tidak juga runtuh.
BN tidak pernah gentar, kerana BN telah bangkit mendefinisikan semula perjuangannya agar menjadi lebih relevan dengan keperluan semasa. BN telah bangkit untuk meneruskan kesinambungan tanggungjawab berbakti kepada rakyat, maka itulah sokongan telah semakin baik dan gagasan Rakyat Didahulukan dan Prestasi Diutamakan semakin terserlah dalam hati rahyat.
Rakyat semakin yakin dan sedang bergerak seirama dengan usaha kerajaan kerana masa untuk menjadi negara maju hanya tinggal sembilan tahun lagi. Rakyat tidak mahu berundur kerana itulah rakyat semakin bencikan politik jalanan, ia adalah manifestasi orang lemah dan tumpul akal. Ia mencari pengaruh di jalanan kerana dia bukan lagi seorang yang boleh diterima sebagai jaguh, ia sudah diambang ketewasan oleh psikik yang membalut dirinya sendiri. Itulah sebenarnya getar hati yang terus bergetar, untuk kembali ke jalanan bagi mencari semula momentum yang hilang dan pudar.
Monosin Sobri
No comments:
Post a Comment