Oleh MUHAMMAD IRFAN ISKANDAR
Ramai pihak boleh menduga mengenai apa yang akan diulas oleh Mursyidul Am PAS berhubung dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang dan Ahli Parlimen Selayang memasuki ruang solat masjid dan surau bagi menyampaikan tazkirah politik, kerana Menteri Besar Kelantan itu memang terkenal dengan sikapnya lebih berlembut dengan bukan Islam tetapi amat keras mengkritik sesama Islam.
Dalam kejadian yang melibatkan Teo Nie Ching, seorang wakil rakyat wanita dari DAP yang memasuki masjid tanpa menutup aurat hanyalah kerana ingin menyampaikan sumbangan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada malam minggu lalu (22 Ogos) memberikan tafsiran bahawa sikap ulama dari PAS yang mempertahankan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak menyalahi Islam sebenarnya membuktikan sikap “double standard” terbaru.
Memang banyak jika kita ingin senaraikan sikap “double standard” Nik Aziz sejak beliau begitu taksub dengan politik menghalalkan cara yang telah diamalkan sejak menganggotai PAS sekembalinya dari tamat belajar di Universiti Darul Ulum, India dan Universiti al-Azhar pada awal tahun 1970. Sewaktu mula-mula memperlihatkan perubahan diri kerana terpengaruh dengan persekitaran pendidikan mazhab Hambali di India, beliau turut mengemukakan beberapa perkara yang dilihat bercanggah dengan budaya masyarakat Islam di Malaysia.
Awalnya beliau pernah ‘mengharamkan pembacaan talkin” bagi si mati, melarang sembahyang hajat, dan seterusnya memperkuatkan kempen menentang orang Islam yang tidak menyokong perjuangan PAS sebagai “musuh Islam” kerana bersahabat dengan bukan Islam. Pada pertengahan tahun 1970-an, ketika menyertai semangat penyatuan dalam Barisan Nasional, beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa semasa menghadapi pilihan raya umum 1974, ia adalah keadaan terbaik bagi masyarakat untuk memikirkan mengenai pembangunan negara apabila perbezaan politik sudah berakhir.
Dalam masa yang sama, sebagai golongan muda yang dilihat mempunyai harapan politik yang cerah beliau turut menulis sebuah buku kecil berjudul Kenapa Saya Tidak Kristian dan diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di mana ketika itu turut menjadi salah seorang anggota lembaga pengarah. Buku tersebut turut mendedahkan beberapa perkara yang bertentangan dengan Islam dan memberikan gambaran bahawa Kristian adalah sebuah agama yang telah banyak mengalami penyelewengan dan perubahan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk perbalahan antara sesama Kristian yang berlainan fahaman pemikiran.
Apabila PAS pada tahun 1969 mengalami sedikit rencatan kerana menganggap bukan Islam sebagai musuhnya, pemimpin-pemimpin parti tersebut mula sedar bahawa adalah perlu mendapat sokongan bukan Islam maka, Pas mula memikirkan kerjasama antara kaum. Kerjasama antara kaum ini walau bagaimanapun telah memerangkapkan Pas sendiri apabila kemunculan seorang pemimpin muda radikal telah menyebabkan fatwa “berbaik-baik dengan bukan Islam” sebagai “taghut dan tidak Islamik” memaksa parti itu berundur seketika.
Setelah ramai orang Melayu termakan dengan fatwa kafir mengkafir yang diberikan nafas baru sebagai sebahagian daripada tuntutan jihad, PAS menumpukan perhatian hanya dengan menyerang penyokong-penyokong UMNO: mengharamkan sembahyang berimamkan penyokong UMNO, haram menziarahi penyokong UMNO yang meninggal walaupun merupakan jiran yang terdekat, haram memakan daging sembelihan orang UMNO, wajib memutuskan silaturrahim jika mempunyai fahaman politik yang berbeza –suami menceraikan isteri, dan isteri berhak memohon diceraikan – tidak bertegur sapa walaupun ada hubungan kekeluargaan dan asingkan kawasan untuk beribadat.
Kemuncaknya pada pertengahan tahun 1980-an telah muncul pulau memulau sesama Islam atas alasan berbeza fahaman politik tetapi sebaliknya PAS menggunakan pendekatan berlembut dengan bukan Islam atas alasan untuk menyampaikan dakwah kepada sasaran terbarunya itu. Walaupun tidak banyak menunjukkan kemajuan dalam menyampaikan dakwah kepada bukan Islam, PAS sebenarnya sedang berusaha mendekati dan meraih sokongan Melayu dengan harapan dapat menumbangkan pengaruh BN yang memberikan ruang kepada semua keturunan atas hubungan persahabatan dan formula perkongsian kuasa.
Atas harapan untuk merampas tampok pemerintahan negara, bekas Presiden PAS, Allahyarham Fadzil Noor telah meletakkan atas berbaik-baik dengan bukan Islam melalui kerjasama yang lebih baik dengan parti-parti pembangkang. Fadzil Nor mula menerima DAP dan PSRM walaupun pernah suatu ketika Mursyidul Am Pas menganggap bahawa ideologi yang dicanangkan oleh PSRM, iaitu sosialisme sebagai “sepupu kepada komunis.” Komunisme yang dibenci oleh kebanyakan masyarakat, dan PAS yang tidak sanggup terperangkap dengan ideologi tersebut tetap tidak mahu menerimanya kerana ia tidak menghargai kedudukan agama dalam kehidupan manusia yang beradab dan bernegara.
Setelah mengalami masalah untuk meningkatkan kedudukan sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat, PAS sekali lagi menunjukkan sikapnya yang double standard. Nasib guru yang mengajar tidak mendapat kenaikan gaji dan skim perkhidmatan yang baik, maka ramai guru-guru sekolah agama mengharapkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia dapat mengambilalih pengurusannya. Pada penghujung tahun 1990-an, berdasarkan memorandum persefahaman antara pentadbir Universiti al-Azhar dan Kementerian Pendidikan, maka kemasukan ke sekolah dan kolej yang bergabung dengan universiti tertua itu, harus mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.
Pihak pengurusan Universiti al-Azhar berpendapat sebarang kelulusan hendaklah disahkan oleh Kementerian Pendidikan, maka beberapa bentuk peperiksaan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah agama negeri perlu diselaraskan sebagai satu bentuk pemeriksaan awam yang standard. Ini telah tidak dipersetujui oleh pemimpin PAS kerana itulah Nik Aziz pernah menganggap bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia tidak mempunyai kepakaran dalam pendidikan agama, dan hanyalah Pas yang mahir dalam perkara tersebut.
Nik Aziz turut berkempen dan menemui pelajar di Timur Tengah pada akhir tahun 1990-an dalam usahanya untuk memberikan penerangan sebab-sebab penentangannya terhadap cadangan Kementerian Pendidikan mengambilalih sekolah-sekolah agama. Ketika itu PAS mencanangkan bahawa Kementerian Pendidikan berusaha untuk “mematikan sekolah-sekolah agama” dan menggantikannya dengan sekolah-sekolah berbentuk sekular. Agama hanya dijadikan sebagai satu mata pelajaran sebagaimana dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah.
Dalam satu ceramah di Timur Tengah, Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan ramai orang tersentak. Menurut satu laporan, bagi Nik Aziz jika seseorang itu tidak memahami atau bukan pakar dalam hal ehwal Islam, ia tidak layak untuk bercakap mengenai Islam. Bagi menyokong pendapat tersebut, Nik Aziz mengambil apa yang kononnya dilaksanakan oleh zaman Khalifah Umar al-Khattab, bahawa mereka yang bercakap mengenai Islam dan bukan pakar itu akan di hukum bunuh.
Namun, kerana terlalu mementingkan “hubungan politik yang mesra dengan bukan Islam”, Nik Aziz telah lupa bahawa bukan pakar terpaksa menghadapi hukuman bunuh apabila bercakap mengenai Islam, tetapi jika bukan Islam, mereka bukan sahaja dibenarkan mencaci kerana tidak faham dengan Islam, malah boleh memasuki dewan solat memberikan tazkirah kepada orang Islam. Bukankah ini sesuatu yang pelik dan mengelirukan?
Di mana kedudukan sebenarnya apa yang dipertahankan oleh Nik Aziz? Jika Ahli Parlimen Serdang (wakil rakyat DAP) itu dibenarkan memasuki ruang solat dengan mudah, manakala pihak jawatankuasa surau menerimanya tanpa merasa bersalah, tentunya Nik Aziz akan turut mempertahankan Ahli Parlimen Selayang yang pernah menjadi pastor Kristian menggunakan masjid untuk meraih sokongan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Apakah Nik Aziz sekali lagi mahu mengelirukan pemikiran masyarakat Islam setelah pernah mempertahankan seorang wakil rakyat bukan Islam yang memetik ayat al-Quran dalam kempen politiknya semasa pilihan raya kecil Bukit Gantang setahun lalu.
Kita mungkin masih belum lupa mengenai sikap wakil rakyat dari Pulau Pinang yang turut celupar mengenai Islam tetapi dimaafkan oleh Nik Aziz kerana beliau faham, dengan mengkritik perbuatan itu akan menyebabkan hubunganya menjadi semakin renggang. Nik Aziz sudah tidak boleh berpatah balik ke pangkal jalan untuk menyokong “kerajaan perpaduan UMNO dan PAS” kerana sudah terlalu jauh penentangannya sehingga sanggup menghukum Timbalan Presiden Pas agar tidak lagi bersuara jika ingin terus menjadi wakil rakyat Pas di Kelantan dan meneruskan idea itu menyebabkan Nik Aziz akan mengkaji semula kebenaran memberikan tempat kepada “orang luar bertanding bagi mewakili PAS di Kelantan.”
Penalti yang dicadangkan oleh Nik Aziz itu benar-benar menyebabkan wakil rakyat PAS yang bukan berasal dari Kelantan tersintak dan melupakan hasrat. Mereka terpaksa akur dengan apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh Nik Aziz kerana takut kehilangan kerusi dan dipaksa meletakkan jawatan bagi memberika laluan kepada anak Kelantan yang masih ramai lagi menunggu peluang untuk menjadi wakil rakyat. Paling menakutkan ialah apabila mereka seterusnya tidak lagi dibenarkan bertanding di Kelantan, dan untuk meraih sokongan di kampong halaman sendiri prospek tersebut dilihat sebagai satu kemungkinan yang terlalu sukar.
Pernah ada satu pendapat bahawa sebenarnya masyarakat Islam di Malaysia pemikirannya semakin keliru kerana politik dijadikan sandaran. Maka, orang yang paling banyak mengelirukan pemikiran masyarakat Islam ialah pemimpin Pas, dan Nik Aziz adalah salah seorang daripadanya. Malah ada juga pendapat mengatakan, kalau kita tidak mahu rakyat keliru terhadap sesuatu isu berkaitan orang Melayu dan umat Islam, jangan sesekali media mendapatkan pandangan Nik Abdul Aziz.
Nik Aziz memang gemar mengeluarkan pendapat dan pandangan yang berbeza tanpa mengambilkira perspektif Islam sebenarnya. Nik Aziz mensebatikan dirinya dengan enzim politik, maka tidak hairanlah dalam sesetengah keadaan beliau boleh menjadi lebih mesra dan ramah dengan bukan Islam walaupun mereka itu pernah dikatakan sebagai musuh sebelumnya berbanding dengan sesama Islam.
Itulah Nik Aziz sebenarnya. Apabila bencikan kepada Tun Dr. Mahathir beliau menyelarnya dan mendesak supaya meletakkan jawatan. Tetapi, apabila diminta untuk meletakkan jawatan, Nik Aziz beranggapan itu hanyalah pendapat peribadi, rakyat Kelantan masih memerlukan kepimpinannya, maka sampai bila? Kelantan akan terus merana selagi Nik Aziz memimpinnya kerana Tok Guru banyak sekali sindrom “tidak tahu” dan “mengata dulang, paku serpih” termasuk mengizinkan budaya kroni apabila memilih menantunya sendiri menduduki jawatan tertinggi Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Meskipun isu itu senyap seketika, ia mungkin akan meletup lagi sebagaimana pernah pemimpin Pas menyembunyikan kerugian yang ditanggung oleh koperasi yang diasaskan oleh ahli-ahli Pas, Koperasi Kohilal. Sebenarnya Nik Aziz merupakan seorang tokoh politik yang bijak menafikan sejarah dan mengambil sudut peristiwa sejarah bagi menghalalkan apa sahaja matlamat politiknya. Itulah yang harus disingkirkan jika masyarakat mahukan sebuah kehidupan Islam yang damai dan tidak bercelaru dengan pemahaman politik sempit yang sedang didendangkan oleh Nik Aziz, yang semakin sehari semakin lupa apa yang pernah diucapkan sebelum ini, penuh double standard dan keliru.
No comments:
Post a Comment