Sebelum puasa, Abby Abadi merupakan artis terbaru menyertai PAS apabila menyerahkan borang keahlian kepada Mursyidul Am PAS manakala laporan akhbar pada hari pertama puasa melaporkan penafian Ning Baizura yang dikatakan oleh Naib Presidennya telah sertai parti itu.
Dalam keadaan uzur dan terketar-ketar, Mursyidul Am kembali bersemangat kerana janda yang sedang mencari lowongan setelah bekas suaminya berkahwin lain itu nak serahkan borang kepada beliau sendiri, kononnya nak ambil berkat Tok Guru. Tok Guru sepertilah pucuk dicita kerana pernah ketika Oki Setiana Dewi , pelakon sinetron Ketika Cinta Bertasbih berkunjung ke Kelantan jumpa Tok Guru hingga naik syeh “nak jadi artis juga.”
Sebenarnya ramai orang mula mempersoalkan ialah mengenai sikap PAS terhadap mereka yang melibatkan diri dalam dunia hiburan, kerana pemimpin-pemimpin parti itu pernah memandang serong dan tidak membenarkan bidang itu berkembang. Kemunculan kepimpinan Nik Aziz pada tahun 1990-an jelas menjadi petanda bahawa hiburan di Kelantan akan mati manakala penggiatnya mula beralih ke beberapa negeri jiran, termasuk Terengganu, Pahang dan Perak.
Nik Aziz mengharamkan hiburan rakyat yang memang menjadi budaya asli Kelantan. Dikir Barat sehingga menyamakannya sebagai “haram” kerana melekakan; Mak Yong tidak dibenarkan sama sekali; wayang kulit dilihat sebagai suatu bentuk pemujaan; pentas-pentas hiburan yang melibatkan para artis diharamkan dengan arahan pihak berkuasa tempatan tidak akan mengeluarkan sebarang permit persembahan terbuka; artis yang boleh masuk ke Kelantan ialah kalau wanitanya mestilah bertudung.
Mempamerkan poster dengan wajah seseorang yang jelas tidak dibolehkan walaupun pada suatu ketika Nik Aziz membenarkan wajah Maya Karin bertudung litup dipamerkan dan pada ketika itu hampir seluruh rumah penyokong PAS telah pun melekatkan potret Mursyidul Am Pas sama ada di muka luar pintu masuk rumah ataupun di bahagian ruang tetamu, malah gambarnya adalah lebih besar daripada potret Yang Dipertuan Agong.
Kecenderungan PAS memancing kemasukan artis ke dalam PAS akhir-akhir ini mempunyai hubung kait dengan kedudukan sokongannya yang kian merudum oleh pelbagai persoalan penyelewengan dalam parti yang cuba ditutupinya. Mungkin kerana mempunyai sedikit kesan kemasukan Bob Lokman yang kecewa dengan kegagalannya mendapatkan tempat ke sekolah berasrama penuh, PAS menadah dengan tangan terbuka walaupun tahu bahawa artis tersebut juga turut mengalami era merudum dari segi kerjaya seninya.
Pada 20 Julai 2012, HarakahDaily melaporkan ribuan orang menyaksikan upacara penerimaan borang keahlian Abby Abadi yang berlangsung di Padang Yayasan Islam Kelantan. Sebaik sahaja menyerahkan borang, Abby menyatakan harapannya kepada PAS di mana peluang untuk artis akan terbuka apabila parti itu berjaya menawam Putrajaya.
Saya yakin, Abby sebenarnya tidak membuat perkiraan yang betul kerana begitu yakin bahawa PAS akan menang di Putrajaya. Kalaupun PAS menang kerusi parlimen Putrajaya dalam PRU ke-13, ia masih tidak mempunyai apa-apa kesan positif ke atas industri hiburan, kerana parti itu sebenarnya amat bermusuh dengan dunia hiburan. Saya harap, masyarakat artis dan penggiat seni boleh bertanyakan PAS apakah dasar pembangunan industri kreatif dan hiburan yang telah dilaksanakan oleh parti itu sejak memerintah Kelantan selama 22 tahun?
Apakah yang berlaku dengan penayangan filem-filem yang dilakonkan oleh artis yang sudah pun berada dalam PAS. Hingga kini, sejak zaman kemeriahan pawagan Lido , Rex dan Odeon, rakyat Kelantan tidak berpeluang untuk menonton filem-filem yang sedang diperkatakan oleh dunia seni hiburan kerana belum ada sebuah pawagam pun yang didirikan semula. Dasar yang dilaksanakan oleh PAS tidak menggalakkan pihak luar untuk melabur dalam industri hiburan. Tetapi, Kelantan tetap menjadi lokasi penggambaran filem ataupun drama tv yang popular.
Mungkin kerana PAS yang pernah melancarkan perang kepada dunia hiburan mula sedar bahawa mereka sebenarnya tidak lagi boleh menghalanginya kerana sedar abad ke-21 ini sudah diisytiharkan sebagai abad industri kreatif. Bahkan, dalam kes yang melibatkan persembahan K-Pop di Bertam Pulau Pinang oleh PKR tempoh hari, PAS diam membisu kerana takutkan Anwar membuat kenyataan balas walaupun sebelum itu mengkritik hebat persembahan K-Pop semasa Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya.
Menarik juga ketika menerima kemasukan Abby itu ialah seorang EXCO Negeri, Wan Ubaidah Omar memakaikan Abby selendang warna hijau. Saya sekali lagi merasa begitu cuat sekali apabila EXCO Pas sendiri telah melanggar peraturan yang ditetapkan, yakni adalah haram bukan muhrim memakaikan selendang. Seharusnya, EXCO tersebut perlu memikirkan sensitivity, kalau nak pakaikan selendang kepada Abby, perlulah meminta sama ada isteri tersayang Nik Aziz yang lakukan ataupun isteri EXCO yang terbabit. Maknanya, PAS sudah melanggar peraturan yang telah mereka katakana selama ini.
Selepas beberapa hari upacara penyerahan borang dan majlis penerimaan rasmi kemasukan Abby ke dalam PAS, seluruh warga PAS menjadi lupa diri dengan mengkhabarkan bahawa kemasukan artis itu sebagai petanda “parti itu akan menang” dalam pilihan raya nanti. Sekali lagi saya mula bertanya sejauhmanakah artis tersebut boleh menarik minat pengundi untuk menyokong PAS. Kita tidak tahu populariti yang kian merudum itu dicampur dengan pelbagai masalah peribadi boleh memberikan sumbangan besar kemenangan PAS dalam PRU ke-13.
Apakah dalam kempen PRU ke-13 PAS akan membawa ke mana-mana sahaja artis tersebut untuk mendapatkan “tarikan pengundi”? Jika itulah yang dilakukan oleh PAS, sebenarnya parti itu sudah ketandusan strategi dengan mencuri apa yang sering dilakukan oleh BN untuk mengumpul orang ramai. Maknanya, PAS sudah kian terdesak, kerana sambutan terhadap programnya kian merosot, maka perlu menjilat kembali ludah lamanya bahawa “haram berhibur” dan “artis tidak bermoral kerana terkinja-kinja di atas pentas.”
Betapa ceteknya pemikiran Abby apabila mengharapkan “ada perubahan Putrajaya” bagi “memartabatkan seni mengikut acuan Islam.” Saya tidak faham apakah “acuan Islam” yang dimaksudkan oleh Abby itu memandangkan beliau sendiri masih terganggu emosinya setelah kecewa dalam rumah tangga dan trauma bila bekas suaminya berkahwin lain. Ketika mendapat khabar tersebut, Abby pernah menjadi tidak keruan sehingga tidak dapat mengawal diri. Apakah ini bermakna, kemasukan Abby itu sebagai strategi untuk “mengajar” bekas suaminya yang sudah beristeri baru dan bakal menimang cahaya mata?
Kenapa Abby mengharapkan Putrajaya? Jawabnya mudah kerana Studio yang diasaskan oleh tiga beradik itu terletak di Cyberjaya, iaitu bersebelahan. Studio tersebut merupakan sebuah studio yang serba lengkap dan setakat ini menjadi lokasi penggambaran untuk beberapa buah filem sama ada untuk pasaran dalam negara dan luar negara. Inilah sebenarnya yang telah membawa “dendam” Abby, kerana secara tidak langsungnya masih dibayangi dengan masa silamnya. Semua orang tahu kisah mereka. Tidak perlu Abby sembunyikan. Mungkinkah, ada pemimpin PAS yang sedang mengintai peluang…………
Lebih penting pemaparan dengan meluasnya kemasukan artis ke dalam parti itu sebagai satu tindakan melakarkan semula gambaran jenama PAS. PAS yang bencikan dunia peragaan dan hiburan, sehingga menimbulkan block taksub yang terbesar, kali ini dicuba semula untuk meminda kekuatan. PAS sebenarnya berusaha untuk menumpang populariti artis dengan menimbulkan kontroversi bagi menutupi lebih banyak kelemahan setelah parti itu menjadi lebih sekular dan taghut.
PAS sudah boleh menerima sesiapa sahaja, termasuk artis yang pernah dikecam dan dilaknatnya suatu ketika kerana memikirkan itulah satu-satunya jalan untuk meraih kembali sokongan sejak terpukul dengan nilai kehidupan yang taksub, terjerumus dengan pakatan pembangkang dan terhimpit dalam permainan ideologi politik antara Islam dan sekular. Bahkan, PAS secara terang-terangan mengisytiharkan dirinya berusaha menawarkan “negara berkebajikan” dan melupakan “negara Islam.” Jelaslah kemasukan artis itu menjadi kemegahan baru PAS, dan parti itu boleh mempamerkan bahawa imejnya bukan lagi barbarik, kuno dan jumud.
PAS mahu dilihat bukanlah sebuah parti Islam kuno yang bersifat barbarian bagi menghapuskan secara perlahan-lahan fatwa “jihad” dan “halal darah orang UMNO”. Fatwa tersebut yang mula dijual secara terbuka dan ditanamkan dalam pemikiran masyarakat oleh Haji Hadi Awang sejak tahun 1981, adalah reaksi balas parti itu yang merasakan kedudukannya semakin tidak bermaya dengan kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO. PAS amat mengharapkan Anwar akan memasuki PAS kerana sebelumnya, pentas PAS digunakan oleh seorang pemimpin pelajar yang bercakap mengenai Islam dan memijak-mijak bendera UMNO.
Kelantangan Haji Hadi ketika itu kerana menyedari bahawa Tun Dr Mahathir yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri mampu menarik penyertaan lebih meluas orang Melayu kerana dirinya yang pernah dikaitkan dengan “ultra Malay” dan sanggup mempersoalkan dasar Tunku Abdul Rahman yang terlalu berlembut dengan bukan Melayu.
Saya juga rasakan sesuatu yang tidak tepat apabila laungan Allahuakbar menyambut kemasukan artis. Semuanya dilaungkan kalimat itu oleh pengikut PAS walaupun dalam keadaan yang tidak digalakkan oleh agama seperti penyertaan rusuhan jalanan. Apakah laungan itu sekali lagi menjadi laungan politik PAS?
Saya melihat hal ini sama dengan sindrom yang sukar untuk diperbetulkan dalam politik PAS kerana masih berbusana Islam tetapi hati kecil menjauhi nilai-nilai Islam. PAS pernah meletakkan dasar, antara lelaki dan wanita tidak boleh bercampur, bahkan di Selangor sudah ada peraturan, lelaki dan wanita tidak dibenarkan menonton wayang bersama-sama, tapi dalam kes ini PAS telah lupa diri.
Itulah PAS, pendekatan “double standardnya” memakan diri. Kini, PAS perlu akur bahawa parti itu sudah hampir memasuki era “menopaus” dan kerana itulah perlu diremajakan semual dengan menerima kemasukan artis walaupun artis-artis itu juga sudah pun melepasi tahap popularitinya. Demikianlah proses sosial, dan begitulah juga yang harus diterima oleh PAS.
Prinsip Islam sudah dikorbankan, bahkan kerana mahukan isu kemasukan artis dimatikan segera, kini, PAS menghidupkan kembali persoalan hukum hudud, setelah persoalannya hampir menyebabkan hubungan antara parti itu dengan DAP hampir “berdarah.” Bahkan, dengan menangguhkan persoalan hudud, PAS berada dalam jurang keresahan yang besar, sudah lama penyokong tegarnya menanti, undang-undang sudah lama diluluskan (Kelantan 1995, Terengganu 2002).
Hanya Kedah belum tergesa-gesa kerana Menteri Besarnya, bekas pensyarah syariah UKM sedar, ia memerlukan persiapan dan mekanisme, maka tidak pun terus mengemukakan usul tersebut sejak memerintah pada tahun 2008. Tapi, kerana ingin “memikat dengan cara berbohong”, PAS terus berjanji akan laksanakan hukum hudud di Johor, jika parti itu menang.
Jawabnya, PAS tidak dakan menang di Johor, kerana orang Johor lebih sayangkan UMNO berbanding PAS yang hanya tahu bercakap, tapi tidak layak memimpin, kerana dasarnya hanyalah“menghukum” dan bukannya mensejahterakan rakyat, hanya tahu mengkafirkan orang lain, sedangkan diri sendiri turut terpalit dengan unsure-unsur yang sama dan “kafir dengan sendirinya”. Kerana PAS lebih nampak kuman di seberang, tetapi membutakan mata melihat bangkai gajah dalam pakatan pembangkang, meskipun bangkai itu semakin berulat dan berbau.
Artis sebenarnya akan membasuh najis politik PAS. Itulah sebab PAS memperhebatkan propaganda sehingga seolah-olah dunia hiburan sudah terbalik, sudah runtuh sistem yang sekian lama didirikan dan bakal mencergaskan pembangunan industri kreatif. Artis yang berada dalam PAS adalah mereka yang kecewa dengan “dunianya sendiri” kerana tidak lagi kreatif dan mempunyai potensi komersial. Ramai juga pihak penerbit atau pelabur industri tidak melihat mereka itu sebagai “aset besar dalam industri” bahkan sesetengahnya sudah boleh dikategorikan sebagai “liability dalam dunia hiburan” yang mudah terperangkap dan memerangkap, cepat berubah dan bertukar selera.
Najib Askalani Ismail
No comments:
Post a Comment