Adakah Malaysia Negara ISLAM?
Adakah Malaysia negara ISLAM? Banyak perdebatan di kalangan masyarakat umum tentangnya. Sebahagian kita mengatakan ”Malaysia bukan negara ISLAM”. Sebahagian pula mengatakan, “Ya, Malaysia negara ISLAM”.
Dalam kepelbagaian pendapat itu, pasti majoriti dari kalangan kita ummat ISLAM di Malaysia ingin melihat bahawa sistem Islami dapat dilaksanakan keseluruhannya di Malaysia. Merangkumi sosial, politik, ekonomi, kewangan, perundangan dan lain-lain.
Apa yang kita lihat di Malaysia, suasananya masih belum mencapai apa yang digambarkan sebagai negara ISLAM. Usahkan suasana Islami, malah masyarakat sering dalam ketakutan disebabkan oleh pelbagai kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi mutaakhir ini. Fenomena ini sangat merisaukan kita.
Alangkah bagusnya jika hukum-hukum yang disyariatkan ALLAH subhanahu wata’ala di dalam al-Quran dapat dilaksanakan di negara kita. Pastinya, kes-kes jenayah dapat dikurangkan jika tidak dapat disifarkan. Pastinya, bakal penjenayah berasa gerun dengan hukuman-hukuman yang tersedia. Dan pastinya juga nyawa, agama, akal, harta dan keturunan ummat manusia akan terbela. Dan itulah tujuan hukum syariah.
Bagi merungkai samada Malaysia adalah negara ISLAM atau tidak, barangkali analogi berikut boleh diambil untuk memudahkan kita berfikir, insyaALLAH:
MUSLIM - Seseorang yang beragama ISLAM telah dilihat tidak solat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, malah melakukan beberapa perkara dosa.
Apakah yang patut kita buat sebagai seorang muslim? Saya rasa majoriti bersetuju bahawa kita mesti menasihati beliau, memberitahu akan hukum-hakam ISLAM yang wajib ke atasnya dan seumpamanya. Malah pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas beliau. Setuju?
BUKAN MUSLIM – Seseorang yang bukan beragama ISLAM telah dilihat tidak solat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat dan melakukan beberapa perkara yang dihukumkan dosa mengikut agama ISLAM.
Wajarkah kita tegur dia kenapa tidak solat? Kenapa tidak berpuasa? Kenapa tidak menunaikan zakat? Bolehkah kita memaksa ke atas beliau untuk mengamalkan ajaran ISLAM sedangkan beliau bukan seorang muslim?
Melihatkan tamsilan di atas, wajar untuk kita sama-sama mengakui bahawa Malaysia adalah negara ISLAM. Supaya kita ummat ISLAM berhak menasihati, menegur, mendesak dan mengkritik untuk dibawa Malaysia ke landasan yang asal, iaitu ISLAM.
Malaysia mungkin kita boleh lihat sebagai seorang yang sudah muslim, tetapi belum mengamalkan sepenuhnya ajaran ISLAM. Sebagai seorang muslim, dia mesti menerima hukum ISLAM. Dan kita wajar, malah mempunyai hak ke atasnya dalam membentuknya supaya kembali kepada ISLAM. Tatkala seseorang memeluk ISLAM, dia mesti menyerah diri sepenuhnya kepada ISLAM.
Tetapi, jika Malaysia tidak dianggap sebagai negara ISLAM, kita tidak dapat memaksa untuk ISLAM dijadikan sebagai sistem negara. Kerana, dia bukan ISLAM. Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (ISLAM) bagi yang bukan ISLAM.
Perjalanan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem ISLAM sepenuhnya adalah proses yang panjang. Sejak ia merdeka sampai ke hari ini, telah banyak perkembangan positif dari sudut perlaksanaan unsur-unsur Islam telah dimasukkan. Ini semua adalah perjuangan ummat ISLAM dari pelbagai pihak terutama sumbangan dari ahli cendekiawan dan ulama, serta desakan dari NGO dan harakah Islamiyyah. Mereka merasakan bahawa negara ini negara ISLAM dan wajar Malaysia ini diberi bentuk yang sepatutnya sebagai negara ISLAM yang lengkap. Malah, perlembagaan negara turut mengesahkan bahawa Malaysia adalah negara ISLAM.
Seperti negara yang melalui proses itu, kita juga dalam proses menjadikan diri kita sebagai seorang muslim yang benar-benar telah menyerahkan diri kepada ALLAH. Banyak yang perlu kita perbaiki dan pertingkatkan supaya kita yang sudah muslim ini dapat melaksanakan 100% apa yang digariskan ALLAH melalui al-Quran dan as-Sunnah.
wAllahu Ta’ala A’lam.
No comments:
Post a Comment