Wednesday, September 22, 2010

Kelantangan suara pemimpin MCA jejas imej parti

Kelantangan suara pemimpin MCA jejas imej parti — Markus Lim
September 22, 2010

22 SEPT — Pepatah Melayu ada menyebut, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Demikian juga dengan pepatah berikut, sebab santan pulut binasa, sebab mulut badan binasa.

Kedua-dua pepatah Melayu yang disebutkan tadi pada dasarnya mengajak kita lebih berwaspada ketika mengeluarkan pandangan mahupun kritikan terhadap sesuatu perkara. Adalah kurang bijak untuk pihak tertentu beranggapan kata-kata dilafazkan mereka tidak memberi makna atau mencetuskan impak. Lebih-lebih lagi apabila kenyataan itu datang daripada mulut orang politik. Sebagai pemimpin politik, sudah pasti percakapan mereka menjadi perhatian umum. Dalam negara yang didiami masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama yang masing-masing mempunyai sensitiviti, ia menuntut pemahaman jitu daripada si pelaku untuk bertindak dalam batasan dibenarkan agar tidak membangkitkan perselisihan faham.

Dewasa ini, kebanyakan pemimpin politik kalaupun tidak semua begitu cenderung bercakap di hadapan wartawan mengenai isu yang dekat dengan hati mereka. Semuanya dibuat dengan harapan suara dan buah fikirannya dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Bagaimanapun, dalam keghairahan meluahkan pandangan mereka, wujud kemungkinan mereka akan terlepas cakap sehingga membangkitkan kemarahan pihak lain.

Justeru, apabila Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengeluarkan beberapa kenyataan panas mengenai isu sensitif baru-baru ini, pelbagai pihak berkepentingan sama ada daripada pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan mahupun pemimpin politik berasa tersinggung dan marah. Reaksi daripada pihak ini sebenarnya bukan baru, malah sudah dijangka.

Kelantangan MCA bersuara terhadap isu sensitif seperti pemansuhan ekuiti Bumiputera 30 peratus, mengamalkan sikap yang agresif terhadap Umno dengan menuduhnya menggunakan agama sebagai alat meraih sokongan Melayu serta dikatakan sanggup bersekongkol dengan DAP dalam isu bersama, ternyata membuka mata segelintir pihak.

Jika ketika kepemimpinan Tun Dr Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Ka Ting MCA dilihat lebih diplomatik dan menyelesaikan isu berbangkit secara tertutup, MCA di bawah kendalian Soi Lek pula nampaknya lebih agresif.

Tidak salah sesebuah parti politik dan pemimpinnya meluahkan pendirian mengenai isu tertentu kerana dalam sistem demokrasi semua individu mempunyai kebebasan berbuat demikian. Namun, kebebasan sedia wujud itu harus dimanfaatkan dengan diskusi politik yang rasional lagi objektif.

Sebagai tokoh politik yang lama berkecimpung dalam arena politik, Presiden MCA itu sebenarnya sedar implikasi yang bakal menyusul sejurus selepas kenyataan pedas itu keluar daripada mulut beliau.

Malah, bekas Menteri Kesihatan itu tentu membuat perhitungan terlebih dulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan. Mahu atau tidak, beliau terpaksa mengimbangkan antara kepentingan parti diterajuinya dengan kepentingan pakatan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

Dalam apa situasi sekali pun, kelantangan ditunjukkan harus bertempat dan kena pada masanya. Ini bermakna jika sesuatu situasi menuntut MCA bersifat lantang pada ketika itu, maka gunakanlah peluang berbuat demikian, bukan menunggu ke saat lain.

Pemilihan masa untuk bersifat lantang juga memainkan peranan. Apa gunanya parti politik seperti MCA bersifat lantang memperjuangkan isu rakyat tatkala amarah serta kekecewaan mereka masih belum reda?

Bukankah lebih baik pucuk kepimpinan parti memanfaatkan kesempatan ini mengenal pasti dengan lebih tuntas, melakukan bedah siasat terhadap punca di sebalik penolakan masyarakat Cina, serta cara memenangi mereka kembali daripada terus berpolemik?

Jika dianalisis dengan lebih mendalam mengenai isu ini, Soi Lek hakikatnya tidak mempunyai pilihan. Boleh dikatakan beliau dalam keadaan kalah-kalah. Dalam konteks ini, beliau mengambil risiko besar jika terus menunjukkan kelantangannya.

Sekiranya terus menyuarakan pandangan dengan lantang, MCA mungkin akan kehilangan sokongan daripada rakan komponen lain. Malah penghormatan kepada MCA sejak kebelakangan ini oleh pihak tertentu seperti NGO kian terhakis. Ini terbukti dengan peringatan dan cabaran yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin Perkasa kepada MCA agar tidak membangkitkan isu panas.

Ternyata, masa menjadi musuh utama kepada Soi Lek dan kepemimpinannya. Krisis politik MCA baru saja tiga bulan berlalu dan yang pasti luka serta parut daripada krisis itu masih belum pulih sepenuhnya. Beliau perlukan masa untuk merapatkan kembali saf parti yang berpecah. — Berita Harian

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]