Wednesday, September 8, 2010

RAKYAT WAJAR JUNJUNG PERLEMBAGAAN.

Gunakanlah ISA, rakyat di belakang anda

Oleh Zaini Hassan

SEBENARNYA apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Najib kelmarin mengenai “jangan persoal Perlembagaan” adalah satu pendirian tegas yang amat kita tunggu-tunggukan. Malah kita mahu beliau mengeluarkan kata-kata yang lebih tegas lagi.

Buat permulaan, itu pun sudah memadai. Sebenarnya itulah yang rakyat mahu dengar dari mulut PM. Benar kata beliau “rakyat perlu mengelak daripada bertindak atau mengeluarkan tutur kata yang boleh mengguris perasaan kaum lain… jika perkara-perkara itu dijiwai, ia mampu meredakan ‘suhu panas’ yang melanda negara sejak akhir-akhir ini.”

Sebenarnya sejak akhir-akhir ini rakyat begitu bimbang dengan suasana di negara ini. Unsur-unsur perkauman semakin menegang sehinggakan rakyat kebingungan ke mana akhir kesudahannya. Secara politik, itulah yang mahu dilihat oleh pihak yang satu lagi.

Lagi berpecah masyarakat lagi suka mereka. Ia adalah political mileage bagi mereka. Lagi berpecah lagi bagus. Lagi celaru, maka mereka beranggapan undi akan datang kepada mereka. Mungkin betul strategi mereka itu. Rakyat mungkin akan hilang keyakinan kepada kerajaan jika kecelaruan dan kegelisahan ini terus berlaku tanpa berjaya dikawal.

Namun bagi rakyat yang ramai ini mereka mahu melihat perkara itu tidak berlaku. Api panas itu harus dipadamkan segera. Semua pihak harus tegas. PM harus tegas, dan pihak-pihak berkuasa harus tegas.

KDN lagilah harus tegas. Ramai juga yang bercakap mengenai KDN sekarang ini. Orang sudah rindukan satu tindakan tegas bagi menyejukkan keadaan. Ini negara kita, kita sayangkan negara ini, maka oleh itu apa peduli orang luar cakap mengenai hal ehwal keselamatan negara ini.

Gunakan ISA. Kami semua rakyat Malaysia yang banyak ini, bukan yang sedikit itu mahukan kerajaan menggunakan undang-undang tersebut ke atas pihak yang terus-menerus mahu memanaskan dan mengancam suasana negara ini.

Ikut trend semasa, orang yang cuba merosakkan keharmonian ini tidak peduli langsung dengan Akta Hasutan. Repot-repot polis yang dibuat di bawah akta itu juga tidak lagi berkesan. Ia hanya akan menambah beban kerja polis untuk membuka kertas siasatan demi kertas siasatan. Kita bimbang di masa siasatan demi siasatan dijalankan, nasi sudah menjadi bubur.

Selama ini kita hidup aman dan damai di negara ini. Itulah yang kita semua mahukan. Hanya orang yang mempunyai niat yang tidak baik dan tidak mahu ISA menganggu gugat mereka sahaja yang akan menentang ISA dan mahu ia dihapuskan. Jangan jadikan segelintir penunjuk perasaan (tidak sampai 10 orang) di London tempoh hari yang mahu ISA dihapuskan, sebagai petunjuk untuk kerajaan berlembut dalam soal itu. Semua orang tahu tunjuk perasaan itu didalangi oleh pihak pembangkang negara ini.

Melihatkan suasana mutahir ini, maka ISA harus diteruskan. Ia hanya boleh dihapuskan sekiranya negara ini benar-benar aman, damai, tenteram dan harmoni. Selagi itu belum dicapai, ISA perlu dikekalkan.

Selagi Perlembagaan negara yang menjadi tunjang kepada kenegaraan ini terus dipermainkan, selagi isu-isu perkauman yang boleh memporak-perandakan masyarakat terus diperkotak-katikkan, selagi soal agama dipertikaikan, selagi soal raja-raja Melayu diperkecil-kecilkan, ISA masih diperlukan.

Kita mahu merayakan perayaan kita dalam suasana aman, damai. Kita mahu supaya semua kaum dapat kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain dalam semangat sentosa. Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak cuba mengganggunya.

Kita juga mahu ISA dikenakan, jika benar, ada pihak dalam negara yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan di Jakarta untuk mengapi-apikan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. Jika benar dakwaan itu, KDN jangan hanya berpeluk tubuh.

Rakyat memberi mandat kepada kerajaan ini untuk menjaga keharmonian kami semua. Setelah 53 tahun memerintah negara tercinta ini, tanpa sekali pun diterajui pihak lain, kerajaan BN telah berjaya membawa negara ini ke mercu jayanya. Itu semua adalah hakikat.

Pandanglah ke kiri dan ke kanan. Malaysia sebenarnya adalah antara negara tercemerlang di rantau ini, di kalangan negara-negara Arab dan negara Islam dan di Afrika, waima Selatan Amerika dan antara sesetengah Eropah sekalipun. Kita bangga menjadi rakyat negara ini.

Oleh itu mandat tersebut harus dijagai sebaik-baiknya. Kepercayaan itu harus dijadikan amanah.

Persoalannya, apakah kejayaan negara ini selama ini berlaku adalah kerana ISA dihapuskan? Singapura yang maju itupun masih ada ISA, begitu juga di Thailand.

KDN jangan bimbang. Menterinya jangan bimbang. Kami semua rakyat negara ini, di belakang anda.

PERINGATAN supaya jangan ada pihak mempersoal perkara-perkara Perlembagaan Persekutuan, khasnya yang melibatkan Perkara 153 dan hak-hak istemewa orang Melayu dan Bumiputera bukan baharu. Tetapi semakin diingatkan supaya menghentikan perbuatan itu, kian menjadi-jadi pulal.

Bukan hanya pemimpin Bumiputera dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membangkitkan kerisauan mereka mengenai gejala mengungkit dan mempertikaikan Perlembagaan, malah institusi Raja-raja turut merasakan perkara yang sama.

Yang di-Pertuan Agong serta beberapa Sultan yang memerintah negeri sudah beberapa kali mengeluarkan ingatan dan nasihat.

Tetapi, isu mempersoalkan Perlembagaan hanya reda untuk seketika sahaja. Ia terus dimainkan oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.

Perkara seumpama ini akhirnya mendorong Perdana Menteri bersuara dan mengeluarkan peringatannya agar rakyat tidak mempersoalkan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para pengasas negara lebih 53 tahun lalu, khususnya Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Perdana Menteri kepada semua kaum, Datuk Seri Najib Tun Razak seboleh-boleh mahu berlaku adil kepada semua pihak tanpa memihak.

Tetapi beliau juga patut mempertahankan sesuatu yang menjadi 'tiang seri' kepada kestabilan negara ini daripada ditarah dan akhirnya boleh mengakibatkan ia runtuh.

Perlembagaan Persekutuan adalah kontrak sosial di antara kaum. Tiada mana-mana pihak yang teraniaya atau rugi sejak negara kita merdeka. Kenapa sekarang ia mula dipertikai. Hanya pihak yang tamak kuasa dan mahu bolot semuanya sanggup melakukannya.

Jangan lupa bahawa orang Melayu dan Bumiputera serta Orang Asli adalah penduduk pribumi yang mempunyai hak ke atas tanah air ini. Jadi, tidak elok kita mengungkit sejarah kedatangan nenek moyang kaum-kaum lain. Isu seperti itu tidak akan berkesudahan.

Ikutlah nasihat Perdana Menteri dengan mengelakkan diri daripada mengeluarkan tutur kata yang boleh mengguris perasaan kaum-kaum lain.

Tidak ada gunanya usaha menulis semula Perlembagaan, sebab akan ada pihak yang akan terus mempertahankannya. Jadi, hormati hak kaum pribumi.

Oleh kerana mahu mengubah Perlembagaan, kita bimbang hubungan antara kaum menjadi tegang. Ingatlah, Malaysia bukan untuk Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja tetapi untuk generasi akan datang.

Jangan dirosakkan hubungan dan perpaduan nasional kerana tamakkan kuasa.

Alangkah baiknya jika kita patuh kepada Perlembagaan yang ada supaya keamanan negara terus terjamin.

Rosak dan kucar-kacir negara ini jika Perlembagaan dijadikan agenda politik dan kepentingan peribadi tanpa memikirkan tentang sensitiviti semua kaum.

Perdana Menteri yang mula bersuara mengenai Perlembagaan negara ini memberi mesej, janganlah isu yang sensitif ini dimainkan lagi.

Jika ada pihak yang masih degil dan tidak peka, diharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan berani demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum negara ini.

Kerajaan kena tunjukkan ketegasan bahawa isu Perlembagaan tidak boleh diungkit apatah lagi dipersoalkan selepas ini.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]