Tuesday, September 21, 2010

Strategi DAP menangi hati pengundi menjadi



BERBEKALKAN cuma 12 kerusi Parlimen sebelum pilihan raya umum kali ini, DAP - parti pembangkang serpihan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mencatat sejarah tersendiri dengan prestasi paling baiknya dalam sejarah penubuhan 42 tahun.

DAP bukan saja mencatat kemenangan tertingginya sebanyak 28 kerusi Parlimen, malah menguasai dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Perak dan dengan bantuan rakan pembangkang Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia membentuk kerajaan negeri.

Lebih daripada itu, DAP turut menguasai Wilayah Persekutuan apabila menewaskan semua calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA dan Gerakan selain menang beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri lain.

Prestasi DAP kali ini bukan saja mengejutkan orang BN dan masyarakat umum, malah pemimpin parti itu sendiri bagaikan tidak percaya apa yang terjadi. Bayangkan sudah beberapa dekad, ia tampil dengan ‘Projek Tanjung’ satu, dua dan tiga di Pulau Pinang, semuanya gagal.

Buat kali pertama dalam sejarah, DAP memerintah kerajaan negeri dan kali kedua berlaku di Pulau Mutiara itu dikuasai pembangkang. Kali pertama kira-kira 40 tahun lalu, apabila Gerakan yang ketika itu pembangkang, menang majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

DAP buat kali pertama menyertai pilihan raya umum pada 1969 apabila ia menang 13 kerusi, tetapi kerusi dimenanginya merosot kepada sembilan pada 1974 dan meningkat semula pada 1978 apabila meraih 16 kerusi.

Pada Pilihan Raya Umum 1982, prestasi DAP merosot semula kepada sembilan kerusi, tetapi secara mendadak meningkat kepada 24 kerusi pada 1986, sebelum menurun kepada 20 kerusi pada 1990. Pada 1995, pencapaiannya merosot semula kepada sembilan kerusi dan bertambah satu, kepada 10 kerusi pada 1999, tetapi naik semula kepada 12 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2004.

DAP mula didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac 1966, ditubuhkan oleh bekas ahli PAP berikutan pemisahan republik itu dari Malaysia. Parti itu menyertai Barisan Alternatif mengandungi PKR, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada Pilihan Raya Umum 1999, tetapi meninggalkan pakatan itu pada November 2001, selepas tidak dapat menerima agenda negara Islam Pas. "Over my dead body" kata Karpal, begitu juga dengan LKS.

Pada pilihan raya umum kali ini, DAP boleh dan berhak untuk berbangga dengan kejayaan itu, tetapi parti terbabit juga perlu membuat kajian tersendiri, kerana kemenangannya, seperti beberapa parti pembangkang lain bukan secara mutlak disebabkan kekuatan mereka.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa faktor BN itu sendiri, penyumbang terbesar kepada kejayaan itu. Tidak perlu untuk dihuraikan di sini dan pasti pihak pembangkang sendiri menyedari hakikat ini.

Seperti juga tsunami, apa saja yang berada di laluan ombak itu pasti musnah, kerana ia tiada mata dan hati. Ini bermakna, sebaik mana sekali pun seseorang calon daripada BN yang berada di laluan tsunami itu akan tewas di sesetengah tempat.

Oleh itu, pembangkang termasuk DAP perlu ingat, perubahan seperti itu, sama juga dengan fenomena tsunami sebenar, cuma berlaku dalam kitaran tertentu, mungkin sekali dalam tempoh lima tahun, 10 tahun, 15 tahun atau 20 tahun.

“Dalam pilihan raya kali ini, kebanyakan pengundi hanya bertindak memangkah calon yang selain daripada BN, dan jika DAP atau mana-mana parti lain dalam gabungan pembangkang bertanding, mereka lebih cenderung memilihnya,” katanya seorang pemerhati yang tidak mahu dikenali.

Kekuatan DAP disandarkan kepada keupayaannya memenangi hati pengundi Cina yang lazimnya tidak terikat dengan pegangan mana-mana parti politik asalkan kepentingan dan kemahuan mereka tercapai. Justeru, DAP menang besar di semua kawasan majoriti Cina yang ditandinginya.

Karakter calon juga menjadi faktor menentukan kemenangan besar DAP. Tindakan parti itu mengetengahkan calon yang sudah lama bekerja untuk masyarakat setempat dan tidak dikaitkan dengan gejala ‘makan projek’ atau komisen, satu persepsi umum yang melingkari wakil rakyat BN, sangat disenangi rakyat yang sudah dilanda wabak ‘mencari perubahan’.

Ini menyebabkan hampir semua calon DAP menang dengan majoriti jauh lebih besar. Wakil rakyat DAP seperti Teresa Kok (Seputeh), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Tan Kok Wai (Cheras) dan Fong Po Kuan (Batu Gajah) umpamanya adalah antara contoh mereka yang sudah sebati dengan masyarakat setempat.

Apa lagi yang rakyat mahukan selain wakil rakyat yang sedia turun padang menyelesaikan masalah mereka terutama yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan hanya satu panggilan telefon.

Kemenangan beberapa kerusi DUN pada peringkat negeri yang dianggap kubu kuat BN seperti Skudai, Bentayan, Senai dan Mengkibol di Johor, juga adalah mengejutkan. DAP juga tidak menduga akan memenangi banyak kerusi DUN di Perak apabila mereka memenangi 18 kerusi iaitu di Tebing Tinggi, Pantai Panji, Canning, Buntong, Bercham, Kepayang, Tronoh, Menglembu, Jelapang, Pokok Assam, Aulong, Jalong, Keranji, Malim Nawar, Pantai Remis, Sitiawan, Pasir Bedaman dan Sungkai.

Keputusan di Selangor juga tidak diduga apabila DAP menang 13 kerusi iaitu di Damansara Utama, Seri Kembangan, Sekinchan, Sungai Pinang, Kinrara, Subang Jaya, Pandamaran, Teratai, Balakong, Kota Alam Shah, Kampung Tunku, Bukit Gasing dan Teluk Datuk.

DAP sebelum ini hanya mensasarkan kemenangan di Kota Melaka, tetapi kini memenangi lima kerusi di DUN merangkumi Kota Laksamana, Ayer Keroh, Bachang, Bandar Hilir dan Kesidang. Di Negeri Sembilan, DAP memenangi 10 kerusi iaitu di DUN Repah, Lukut, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Senawang, Temiang, Lobak, Nilai dan Bahau. DAP juga tidak menyangka memenangi satu kerusi DUN di Kedah iaitu Kota Darul Aman.

Ketika mengulas kemenangan besarnya di Bukit Bintang, Fong yang juga Bendahari DAP Pusat, menyifatkannya sebagai isyarat rakyat kepada BN bahawa mereka mahukan perubahan.

“Kemenangan besar DAP adalah satu detik bersejarah dalam politik Malaysia. Sokongan kepada parti pembangkang termasuk DAP adalah menyeluruh daripada pengundi Melayu, Cina dan India, bukan lagi tertumpu kepada pengundi Cina dan India saja sebelum ini,” katanya.

Prof Dr P Ramasamy yang pertama kali bertanding pula mengakui kemenangannya mengalahkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dengan majoriti 9,485 undi bagi kerusi Parlimen Batu Kawan adalah disebabkan rakyat inginkan perubahan.

Ramasamy yang banyak terbabit dalam projek penyelidikan mengenai isu sosial berkata, keinginan rakyat yang mahukan perubahan sering disuarakan di setiap tempat yang dikunjunginya ketika berkempen.

“Saya akan menyuarakan isu berkaitan nasional serta antarabangsa dan sebagai bekas ahli akademik, saya yakin boleh melakukan kerja itu. Saya rasa kami mempunyai banyak isu yang akan dibangkitkan, kami akan menjadi sebuah parti yang kuat,” katanya.

Kejayaan paling manis DAP hingga kini ialah apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memimpin jentera ‘serangan’ terhadap Pulau Pinang berjaya merealisasikan impian menggunung mereka.

Bagi mengekalkan dan menambah kerusi Parlimen dan juga DUN pada PRU ke 13 yang akan datang, nampaknya persediaan DAP lebih terancang. Dengan manfesto terbaru parti"middle malaysia" ianya diharap dapat menarik perhatian kaum Melayu untuk mengundi mereka. Jelas di sini bahawa bagi memastikan kemenangan di kawasan majoriti Melayu, DAP suka atau tidak kena mendapat sokongan dari pengundi Melayu.

Kemenangan yang mereka perolehi banyak bertumpu di kawasan pengundi Cina khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar. Untuk mengekalkan kerusi, DAP terus memainkan isu-isu yang dapat memberi kelebihan kepada mereka dan yang pastinya isu perkauman adalah satu senjata yang sangat strategik. Tetapi yang hairan masih ada segelintir orang Melayu sendiri yang senafas dengan mereka.

Dalam sistem demokrasi, angka sangat penting. kemenangan dan kekalahan diukur dari angka. Untuk memastikan angka yang besar, DAP dari awal lagi telah bergerak untuk mendaftarkan pengundi muda. Kini sudah jelas, pendaftaran pengundi muda mereka melebihi dari BN. Walau pun demikian, masih ramai lagi yang belum mengundi. persaingan masih berlaku, hanya mereka yang berusaha dan bekerja kuat sahaja dapat habuan nanti.



Oleh Abdul Halim Yusoff

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]