Sunday, September 2, 2012

PAS : ANWARINAS ATAU ULAMA LEBIH BERKUASA?




MUNGKIN ramai penyokong Nasharudin Mat Isa menarik nafas lega apabila beberapa pemimpin terkenal dalam Pas bertaraf ulama tampil mempertahankan bekas Timbalan Presiden Pas itu.



Selain Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din turut berbuat demikian. Malahan Nasharudin juga mendapat sokongan daripada beberapa ulama Pas di negeri-negeri. Namun begitu ia tidak boleh dianggap kemenangan awal untuk Nasharudin, perjalanan beliau untuk mempertahankan diri masih panjang.



Nasharudin mungkin tidak akan menghadapi masalah untuk memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama kerana beliau yakin berada di pihak yang benar. Pandangan beliau meminta Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang seperti mana kata Haron Din bukan satu kesalahan.

Tetapi bagi kelompok Anwarinas yang meletakkan kepentingan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya mereka tidak akan duduk diam.


Mereka pasti akan terus melakukan desakan, tekanan dan gerakan bagi memastikan Nasharudin dikenakan tindakan, mereka mahu menghumbankan Ahli Parlimen Bachok untuk berada ‘satu kelab’ dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Berbanding Hasan, Nasharudin jauh lebih bernasib baik kerana diberi peluang membela diri dan membuat penjelasan kepada Majlis Syura Ulama, tetapi Hasan tidak mendapat peluang berkenaan.

Hasan disingkirkan kerana kepimpinan Pas tidak mampu menahan gertakan dan desakan pemimpin-pemimpin PKR. Bagaimanapun, Nasharudin tidak dibiarkan bernafas dengan selesa, buat permulaan beliau diberikan isyarat bahawa kerusi Parlimen Bachok bukan lagi miliknya atas alasan beliau sudah ditolak oleh akar umbi. Tanggapan yang sama diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang baru-baru ini apabila mengulas mengenai kedudukan Nasharudin.

Sebab itulah ramai yang melihat biar apa pun keputusan Majlis Syura Ulama pada 9 September ini menyebelahi Nasharudin namun percayalah Nasharudin bagaikan berada di atas pagar berduri biar pun disuapkan dengan jus yang manis.

Apatah lagi secara tiba-tiba kita mendengar kenyataan bahawa nasib Nasharudin akan ditentukan melalui mesyuarat agung Pas, maknanya keputusan Majlis Syura Ulama jika menyebelahi Nasharudin bukan penamat.

Bagi puak-puak Anwarinas, inilah peluang untuk mereka terus menggunakan pengaruh dan kekuatann untuk memastikan Nasharudin tidak akan mampu mengembangkan karier politiknya dalam Pas.

Ini kerana mereka memahami Nasharudin sudah dilihat pemimpin masa depan Pas oleh banyak pihak. Puak-puak Anwarinas atau liberal dalam parti itu sudah tentulah tidak mahu ia menjadi kenyataan.

Bagi mereka, era kepimpinan ulama dalam Pas sudah tidak relevan dengan perkembangan politik semasa, sekarang adalah masa untuk golongan bukan ulama menguasai Pas sepenuhnya.

Tetapi selagi ada Nasharudin impian mereka mungkin tidak akan tercapai, justeru mahu tidak mahu Nasharudin harus disingkirkan sama ada terkeluar terus daripada parti atau berada dalam parti namun sekadar ahli biasa sahaja.

Puak-puak Anwarinas amat memahami kekuatan mereka, sebab itulah kalau ada pemimpin di kalangan mereka bercakap soal yang dilihat bertentangan dengan parti, mereka hanya mendiamkan diri sahaja tetapi apabila ada golongan pro ulama menyatakan sesuatu biar pun benar maka mereka akan mencari fasal supaya individu berkenaan dikenakan tindakan.

Tugas mereka menjadi mudah kerana mereka rapat dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh dalam parti dan keadaan itu kesudahannya menjadikan siapa juga yang tidak sehaluan dengan puak Anwarinas ini berada dalam bahaya.

Usaha menyingkirkan Nasharudin boleh dianggap misi terakhir puak-puak Anwarinas dalam menguasai Pas sepenuhnya. Sebab itulah sikap konsisten ulama-ulama Pas dalam mempertahankan Nasharudin amat penting.

Jika mereka tidak sepakat dalam soal berkenaan, percayalah Nasharudin tidak akan lama dalam Pas, ia memandangkan mainan politik puak-puak tersebut amat hebat. Mereka akan cuba mewujudkan tekanan demi tekanan bagi meletakkan kepimpinan kanan Pas berada dalam keadaan serba salah dan seterusnya mengikut telunjuk mereka untuk menyingkirkan Nasharudin.

Perkara ini tidak dinafikan oleh Hasan Ali yang sudah merasai betapa dahsyat mainan politik puak Anwarinas tersebut. Atas sebab itulah, golongan ulama di dalam Pas perlu berdiri teguh mempertahankan Nasharudin. Ramai yang berpendapat memang Nasharudin berhak dihukum kalau beliau benar-benar melakukan kesalahan.

Tetapi kenyataan beliau mengenai kedudukan Pas dalam pakatan bukannya satu kesalahan, sebagai bekas pemimpin nombor dua dan sayangkan perjuangkan Islam Pas, Nasharudin berhak memberi pandangannya bagi mengelak parti itu terus diperkotak-katikkan.

Sekurang-kurangnya keberanian Nasharudin memberi isyarat kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain bahawa tidak semua pemimpin Pas sanggup menjadi ‘pak turut’ semata-mata memburu kuasa ke Putrajaya.

Apa pun, kes Nasharudin ini semakin menampakkan dengan jelas pertembungan antara golongan ulama - satu kumpulan yang bertanggungjawab menubuhkan Pas dengan kumpulan Anwarinas yang semakin teruja memburu kuasa.

Sudah tentulah kita tidak akan mampu menduga siapa yang akan menang tetapi apa yang pasti seandainya kumpulan ulama tewas dan Nasharudin tersingkir, maka ia akan menjadi permulaan kepada perjalanan terakhir golongan ulama dalam perjuangan politik Pas.

Ia memandangkan Pas ketandusan pemimpin bertaraf ulama yang seusia dengan Nasharudin. Kalau ada pun mereka tidak begitu menonjol. Pengaruh dan kewibawaan mereka tidak sehebat Nasharudin yang dianggap ‘anak didik’ Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan beliau pernah menjadi Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden Pas.

Inilah rekod perjalanan politik Nasharudin yang menggerunkan puak-puak Anwarinas dalam Pas, tambahan pula Nasharudin kental dengan prinsip perjuangan Islam yang sudah tentu amat tidak digemari oleh puak berkenaan demi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.

Mungkin sekali lagi kita akan mendengar pihak-pihak tertentu di dalam Pas akan menuduh bahawa media sengaja mewujudkan istilah Anwarinas ini. Namun perjalanan politik Pas sejak kebelakangan ini telah membuktikan bahawa jati diri Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam sudah terhakis.

Dan kalau benar puak berkenaan tidak wujud kenapakah Nasharudin hendak diadili semata-mata beliau mempertahankan martabat, maruah dan prinsip perjuangan Pas?

Kenapakah Dr. Hasan disingkirkan tanpa diberi peluang membela diri, hanya kerana beliau dilihat berusaha memartabatkan Islam?

Kesimpulannya, kes Nasharudin bukan sekadar penentuan nasib seorang pemimpin bertaraf ulama dalam Pas tetapi jauh daripada itu, ia bakal menentukan golongan manakah paling berkuasa di dalam Pas.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]