Monday, November 22, 2010

DAFTAR WAJIB BACA .............PERPUSTAKAAN MALAYSIA BILA LAGI?

Daftar wajib dibaca

"Hidup ini terlalu singkat sedangkan terlalu banyak buku yang perlu dibaca dan diambil manfaat," kata Geoffrey Chaucer, sasterawan klasik Inggeris.

Manakala Saidina Ali Abi Talib pula pernah berkata "Tanyalah aku tentang pelbagai perkara selagi aku masih hidup". Kenyataan Saidina Ali dan Chaucer ini merujuk kepada kesungguhan pencarian ilmu tanpa henti dan budaya membaca yang tidak pernah berakhir.


Budaya membaca dan pencarian ilmu merupakan gabungan harmonis yang tidak pernah terpisah kerana ia merupakan wahana pembinaan manusia yang beradab tinggi. Itulah sumbangan 'makhluk' bernama buku yang tidak pernah henti mencerdaskan manusia sepanjang zaman.

Inilah yang menjadi intipati falsafah kepada buku 1001 Books You Must Read Before You Die yang disunting oleh Peter Boxall, seorang pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Universiti Dussex.


Dalam daftar ini, beliau menyenaraikan buku-buku sebelum pra-tahun 1700 bermula dengan buku Aesop's Fables (Dongeng Aesip) yang dikatakan ditulis pada tahun 620 Sebelum Masehi sehinggalah buku Never Let Me Go yang ditulis oleh pengarang Jepun, Kazuo Ishiguro pada 2005. Senarai daftar buku ini disusun secara kronologi mengikut abad bermula pada pra-abad 1700 Masehi, 1700, 1800, 1900 dan 2000 Masehi.

Buku-buku yang tersenarai itu meliputi pelbagai tema kehidupan manusia daripada kasih sayang, konflik, percintaan, peperangan dan kekuasaan. Memang bukan semua senarai buku itu kita persetujui kerana Boxall tidak memasukkan langsung karya-karya pengarang Muslim, melainkan pengarang kontroversi seperti Salman Rushdie.
Walau apa pun senarai tersebut, buku-buku itu dikira masih mampu memberi semangat dan inspirasi kepada pembaca. Ia bergantung bagaimana cara kita menerimanya.
 
Ternyata buku yang disenaraikan itu mempunyai kekuatannya sendiri. Secara keseluruhannya, dapat dikatakan buku-buku yang tersenarai itu lebih representatif mewakili tradisi sejarah dan perkembangan intelektualisme Barat.

Ini mudah difahami kerana setiap tradisi bangsa sama ada Timur mahupun Barat mempunyai daftar karya-karya mewakili zamannya atau tradisi intelektualisme sesuatu bangsa.

Sebenarnya ada beberapa senarai klasik dan berpengaruh yang bertujuan memberi panduan kepada pembaca untuk menghargai dan membaca karya-karya bermutu. Antaranya, Books of the Century yang disenaraikan buku 'wajib' baca oleh Perpustakaan Awam New York sempena 100 tahun usia perpustakaan tersebut pada 1995.

Antara yang tersenarai adalah karya-karya Albert Enstein, Leo Tolstoy, Stephen King. Senarai yang agak klasik ialah Books That Changed The World (1956) yang ditulis oleh Robert D. Downs yang membahas serta menyenaraikan 16 buku yang dianggapnya telah mengubah dunia.

Namun ada senarai yang tidak memasukkan kitab-kitab suci agama seperti al-Quran, Injil, Bhagavadita yang ternyata memang mempengaruhi setiap penganut agamanya sepanjang zaman.

Sementara daftar buku lain yang penting yang wajar disebut ialah Books That Changed Our Minds (1939) oleh Bernard Smith dan Malcom Cowley, Books That Changed the World (2006) oleh Melvyn Bragg. Biography online 50 Books That Changed the World yang turut menyenaraikan novel-novel bersiri Harry Potter oleh J.K. Rowling sebagai buku berpengaruh.

Ada dua senarai daftar yang menarik perhatian penulis iaitu The Big Read: Book of Books BBC (2003) yang membuat survey tentang karya-karya sastera yang dibaca oleh rakyat Inggeris. Sebanyak 7,000 judul buku sastera atau novel telah dicalonkan dan berdasarkan undian, akhirnya disenaraikan 100 buah karya sastera yang dibaca. Senarai tersebut memasukkan novel-novel popular, serius, kontroversi dan klasik. Senarai ini turut memasukkan karya penulis bukan Barat seperti Vikram Seth dan Gabriel Garcia Marquez.

Menurut editor projek buku ini, Nicky Munro, daftar ini dilakukan kerana ingin mengetahui dengan jelas karya sastera atau novel jenis apa yang dibaca rakyat Inggeris dan dalam masa yang sama mengukur minat membaca rakyatnya. Didapati rakyat Inggeris membaca 45 naskhah buku setahun.

Namun begitu, daftar ini hanya mengambil kira novel-novel sastera dan tidak termasuk karya-karya umum atau bukan sastera. Sungguhpun begitu, ia tetap menjadi ukuran penting kepada pengukuran budaya membaca rakyat Inggeris.

Daftar kedua yang dikira penting ialah The Western Canon: The Books and School of the Ages yang ditulis oleh Harold Bloom. Walaupun daftar itu disiapkan pada 1994, namun ia berpengaruh sehingga kini kerana berjaya mempertahankan dan meneruskan tradisi unggul dalam wacana kesusasteraan di mana Bloom menyenaraikan karya-karya pengarang kesusasteraan Barat yang telah sampai ke tahap menghasilkan 'maha karya' yang diistilahkan sebagai kanun (canon). Kanun bermaksud senarai terbaik tentang sesuatu pengajaran untuk mencapai sesuatu tujuan.

Dalam kata lain, ia merujuk kepada penghasilan teks 'maha karya' dalam mencapai status klasik atau unggul. Manakala pengarangnya digelar canonical writer iaitu pengarang yang telah mencapai tahap individualisme seperti William Shakespeare, James Joyce dan Dante. Bloom turut memasukkan Octavio Paz dan Pablo Neruda dari tradisi Amerika Latin serta Wole Soyinka dan Nadine Gordimer dari tradisi Afrika.

Manakala dari Asia, hanya dimasukkan R.K Narayan dan meminggirkan sebahagian besar pengarang Asia lain seperti Pramoedya Ananta Toer dan Khalil Gibran. Kepentingan daftar atau senarai tersebut ingin menunjukkan buku-buku berpengaruh mempunyai daya tarik dan estetika dalam memberi sentuhan emosi, intelektual dan spiritual kepada para pembaca.

Dalam konteks Malaysia, kita sebenarnya menunggu senarai daftar buku yang 'wajib' dibaca oleh rakyat Malaysia yang mampu mengikat mereka dengan tradisi intelektualisme dan budaya.

Sehingga kini, kita tidak tahu dengan jelas apa sebenarnya dibaca oleh rakyat Malaysia walaupun dikatakan minat membaca rakyat Malaysia semakin meningkat daripada lapan hingga 12 buku setahun .


Jumlah ini tentunya tidak memadai apatah lagi dalam konteks kita menuju negara maju menjelang tahun 2020. Bukan saja kita harus maju dari segi pembangunan fizikal dan pendapatan berkapita tinggi tetapi tahap intelektualismelah yang merefleksikan 'roh' kemajuan sebenar sesuatu bangsa atau negara.

Dalam konteks Malaysia, kita memang telah mempunyai senarai daftar 'Karya-Karya Agung Melayu' yang dihasilkan oleh Yayasan Karyawan. Yayasan itu menyenaraikan karya-karya agung yang perlu dibaca oleh rakyat Malaysia seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Memang karya-karya agung Melayu mencerminkan khazanah intelektual bangsa tetapi karya agung dan karya sastera besar yang lain seperti Salina dan Ranjau Sepanjang Jalan hanya dipelajari dalam konteks pengajian bahasa dan sastera dan tidak 'merakyat' kepada disiplin ilmu yang lain.

Selain karya-karya agung dan karya sastera, kita juga memerlukan daftar buku-buku umum yang merentas pelbagai disiplin ilmu yang ditulis oleh penulis Malaysia. Mungkin buku klasik Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti Malay Dilemma dan Menghadapi Cabaran dapat dimasukkan senarai yang dicadangkan. Dengan kata lain, perlu ada senarai daftar buku-buku 'wajib' oleh pihak-pihak berkaitan, misalnya Perpustakaan Negara Malaysia.

Daftar ini diperlukan bukan sahaja untuk memahami budaya bangsa tetapi memahami citra sejarah dan perkembangan pemikiran intelektualisme yang membangunkan sebuah negara yang bernama Malaysia.

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
shaharomtm@yahoo.com

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]