Jawatan menteri bukan alasan abai tugas YB Oleh Dr Illias Zaidi TUGAS wakil rakyat berjawatan menteri menuntut pertanggungjawaban berganda daripada anggota biasa di Parlimen. Di sinilah beruntungnya menteri atau timbalan menteri yang dilantik melalui status senator menjadi anggota Dewan Negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan wakil rakyat sebagai 'hamba rakyat' yang perlu ambil tahu akan segala keperluan biologi setiap penduduk bagi kawasan diwakili. Keperluan biologi ini meliputi makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Yang tiga ini paling hakiki, tanpa mengambil kira keperluan asas lain seperti pelajaran, keselamatan, kesihatan dan keselesaan hidup mereka. Kesibukan tanggungjawab Yang Berhormat (YB) menjalankan tugas menurut portfolio kementerian tidak seharusnya menghalang mereka daripada selalu menjenguk �anak buah� di kawasan pilihan raya masing-masing. Jika tidak, rakyat akan berasa terpinggir, terbiar dan tidak dipedulikan. Rasa penyesalan dan kekecewaan yang sudah sekian lama memenjarakan hati dan menjeruk rasa ini disalurkan melalui kertas undi seperti terbukti pada Pilihan Raya Umum 1959, 1969, 1999 dan baru-baru ini 2008 (Parlimen terdahulu matang pada 2009). Portfolio menteri itu amanah kerajaan yang mendapat mandat biarpun pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini hanya melalui majoriti mudah, harus dipikul dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Tanpa pelunasan tanggungjawab yang dipikul seperti diamanahkan Perdana Menteri, bererti �menteri� berkenaan tidak bertugas dengan baik dan berkesan. Prestasi yang merudum selalunya menjadi kriteria seseorang menteri digugurkan daripada barisan Kabinet seperti diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, biarpun ada faktor lain sebagai pengukurnya. Pastinya, pemilihan kali ini dibuat berdasarkan kehendak dan cita rasa rakyat, manifestasi daripada keputusan pilihan raya umum yang baru berlalu. Kalau begitu, tidak hairanlah betapa Max Weber menyifatkan kuasa sebagai sesuatu konsep yang relatif sifatnya. Maksud relatif ini ialah yang akan memberi peluang kepada seseorang pelaku meminta individu lain berbuat sesuatu menurut kehendaknya, meskipun tindakan berkenaan bertentangan dengan cita rasa dan kehendak mereka. Jika mereka sudah hilang sabar dan tidak mahu bekerjasama lagi, pastinya mereka akan menolak pemimpin berkenaan. Kabinet adalah Badan Eksekutif menjalankan kuasa yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong. Kabinet dianggotai anggota parti yang mendapat kerusi majoriti di Parlimen. Sejak merdeka, anggota Kabinet dibentuk oleh parti yang bergabung dalam Perikatan dan kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Perdana Menteri adalah Ketua Eksekutif atau kerajaan yang menjadi puncak kuasa Jemaah Menteri. Beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan anggota Dewan Rakyat. Sesuai dengan sistem gabungan kuasa antara Badan Eksekutif dan Badan Perundangan, Perdana Menteri juga Ketua Kerajaan. Anggota Kabinet terdiri daripada anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Secara kasarnya, fungsi Kabinet dapat digaris seperti berikut: # Membuat dan menggubal dasar kerajaan yang akan dilaksanakan oleh jentera pentadbiran kerajaan; # Menentukan dasar negara, dan # Memberi arahan kepada jentera pentadbiran kerajaan untuk melaksanakan dasar dan ketetapan yang dibuat. Barisan Kabinet kali ini dikatakan mencerminkan perkongsian kuasa di kalangan anggota BN dengan setiap negeri ada wakilnya, kecuali Perlis. Kabinet baru ini juga dianggap gabungan muka lama dan baru yang penuh bertenaga dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah. Biar apapun, masing-masing wakil rakyat mempunyai keistimewaan dan kemampuan tersendiri bagi memantapkan barisan Kabinet. Yang digugur tidak harus berasa kecil hati dan kecewa kerana barangkali ada hikmah di sebaliknya. Yang terpilih pula harus bersyukur dan menerima tugas dan tanggungjawab dengan azam dan iltizam yang tinggi bagi memenuhi visi serta aspirasi negara tanpa mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat. Jawatan itu satu tanggungjawab berat yang harus dipikul dengan penuh kesedaran dan keinsafan tanpa prejudis dan prasangka. Tugas perlu dijalankan secara profesional dengan segala maklumat dan data seharusnya berada di hujung jari, bijaksana dalam bicara menurut retorik hujahan yang kemas lagi mantap. Ucapan sewajarnya mengandungi isi bernas lebih-lebih lagi apabila berdepan pelobi profesional peringkat antarabangsa. Masanya sudah tiba untuk barisan Kabinet yang rata-rata berkelulusan tinggi, termasuk ijazah Doktor Falsafah (PhD) petah berhujah tanpa persediaan teks ucapan yang lazimnya menjadi tradisi sekian lama. Menteri sewajarnya membiasakan jari-jemari bermain komputer, misalnya ketika menyediakan kertas kerja dasar bagi satu-satu projek besar dan penting, demi kepentingan negara tanpa semata-mata menurunkan tugas berat itu kepada ketua jabatan atau pegawai kanan. Jika rakyat ada yang berasa amat terkilan kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB) rata-rata menguntungkan kelompok tertentu, maka inilah masanya barisan kepemimpinan yang ada membetulkan salah tanggap itu, supaya DEB benar-benar membasmi kemiskinan tanpa mengira kedudukan, pangkat dan kaum. Natijahnya tidak akan ada rakyat yang makan dalam pinggan emas, manakala yang lain dalam tempurung. Kemiskinan relatif berlaku di mana-mana bukan saja di kalangan peneroka Felda dan penduduk luar bandar, malah di kalangan penduduk pinggir bandar. Justeru, ia juga wujud di kota raya sebesar Kuala Lumpur dan Ipoh, dalam keadaan penghijrahan berlaku dengan pesatnya. Benar kata Soltau yang menyifatkan kuasa sebagai keupayaan seseorang individu atau kumpulan tertentu untuk mengubah perlakuan, fikiran dan tindakan individu lain menurut kemahuannya. Tetapi kita janganlah jadi seperti �pisau raut dalam keadaan bongkok orang boleh dibetulkan� kerana kuasa membabitkan pemimpin dan orang yang dipimpinnya, kalau dalam konteks negara disebut rakyat. Kelukaan tahap akar umbi perlu disembuhkan segera dengan selalu turun padang, ambil tahu akan susah payah dan sakit pening mereka. Barisan Kabinet yang baru dilantik harus melihat masalah dan permasalahan rakyat dalam konteks ini. |
Tuesday, September 21, 2010
ANTARA YB MENTERI DENGAN YB KAWASAN ?
Label:
POLITIK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment