Tuesday, September 21, 2010

PRU 13 : SISTEM DUA PARTI.

Analisis: Sistem dua parti mungkin realiti masa depan
Oleh Mohd Noor Yazid



SELEPAS meneliti keputusan pilihan raya umum kali ini yang sememangnya di luar jangkaan, wujud satu fenomena baru - apakah Malaysia kini sedang menuju kepada pembentukan sistem dua parti seperti berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Apa yang sedang berlaku sekarang dapat dilihat sebagai asas penting ke arah itu. Ini adalah proses yang biasa berlaku di negara sedang membangun menuju kepada taraf negara maju.

Negara maju seperti AS dan UK hanya terdiri daripada dua parti politik utama. Misalnya, Parti Buruh dan Konservatif di UK serta Republikan dan Demokrat di AS. Rakyat boleh memilih mana satu yang lebih baik dan lebih menjamin kesejahteraan mereka.

Kerajaan saling bertukar dalam beberapa penggal. Apabila ini berlaku, maka kedua-dua parti utama akan lebih bersaing dan masing-masing memperbaiki kedudukannya supaya lebih diterima oleh rakyat secara majoriti.

Ini tidak sekali-kali memburukkan mana-mana parti, tetapi apa yang penting, masing-masing memperbaiki mutu pentadbiran dan perkhidmatan supaya lebih diterima oleh rakyat dalam pilihan raya. Apakah ini akan berlaku apabila negara kita mencapai status negara maju menjelang 2020?

Kalau benar tahap negara maju itu ingin dicapai dan tercapai, maka tahap pemikiran dan struktur parti politik harus juga menuju dan berada pada tahap itu. Kita harus membuang pandangan bahawa hanya sebuah parti politik mampu membentuk kerajaan, manakala parti yang satu lagi tidak layak dan tidak mampu membentuk kerajaan yang baik dan cekap.

Pentadbiran pembangkang di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak adalah ujian tahap pertama bagi pembentukan sistem dua parti. Imbangan 140:82 dalam Parlimen adalah satu kombinasi yang agak baik iaitu BN yang merangkumi 14 parti komponen memperoleh 140 kerusi Parlimen dan 82 lagi pembangkang.

Dengan kedudukan 140:82 itu, kerajaan tidak terlalu lemah, manakala pihak pembangkang tidak juga lemah tetapi mempunyai ruang dan mampu menjana serta menegur apa yang dilakukan kerajaan. Sidang Dewan Rakyat yang lebih terbuka juga perlu didedahkan kepada orang ramai supaya rakyat mengetahui apa dibincangkan oleh wakil yang mereka pilih di kawasan Parlimen masing-masing.

Kalau wakil itu benar-benar berwibawa, mereka akan terus menyokong tetapi sebaliknya jika tidak seperti diharapkan, ganti dengan calon lain yang lebih baik dan berkesan, pada pilihan raya akan datang.

Perubahan ini harus bermula sekarang dalam usaha kita mencapai status negara maju. Kita jangan lagi takut meminda pemikiran baru dalam arus politik pilihan raya. Kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan harus terbuka serta menerima kritikan membina bagi kemajuan bangsa dan negara secara terbuka.

Kita bukan ingin mengubah segala �kontrak sosial� yang dibentuk oleh negarawan dan pemikir awal yang membentuk asas negara, cuma memperbaiki di mana yang mungkin agar kita menjadi lebih baik selaras dengan misi dan visi negara menuju negara maju.

Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 tidak ada apa cacat celanya. Ia adalah satu paparan suara rakyat dalam amalan demokrasi berparlimen. Kuasa yang diberikan rakyat kepada sesebuah parti adalah bukan milik yang bersifat mutlak.

Ia adalah sementara selagi amanah dan tanggungjawab tertunai, selagi itu mandat diberi. Masing-masing pihak yang bertanding harus menerima dengan hati terbuka dan sifat terbuka tanpa menuding jari siapa yang bersalah dan siapa yang lebih layak.

Kalah menang dalam pertarungan adalah adat yang mesti diterima oleh semua pihak. Yang lebih penting daripada keputusan itu adalah sifat jujur dan persaingan yang bebas daripada penyelewengan. Yang penting ialah keputusan Pilihan Raya Umum 2008 adalah suara pilihan rakyat yang tidak diselewengkan.

Namun, keputusan itu memang mengejutkan semua pihak termasuk pembangkang apabila menang 82 kerusi Parlimen dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23).

BN yang merangkumi 14 parti komponen mendapat 140 kerusi tetapi sebahagian besar kerusi dimenangi BN adalah di Sarawak (30), Sabah (24) dan Johor (25) iaitu sebanyak 79 kerusi atau 56.4 peratus.

Lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dikuasai pembangkang. Di lima negeri itu, calon BN sama ada daripada Umno, MCA, MIC atau Gerakan, kalah teruk. Yang paling mengejutkan ialah kejatuhan Perak dan Selangor kepada pembangkang, manakala Pulau Pinang dan Kelantan tidak begitu mengejutkan kerana ada pihak meramalkan bahawa ini akan berlaku.

Negeri yang masih dikuasai BN seperti Johor, Negeri Sembilan dan Pahang juga menunjukkan pengaruh sokongan kepada BN semakin menurun. Pas pula mula menapak di Johor dan Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, jumlah undi diperoleh Pas meningkat di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Pencapaian BN dalam pilihan raya kali ini adalah yang terburuk pernah dicapai iaitu 140 kerusi atau 63.1 peratus daripada 222 semua kerusi Parlimen. Pencapaian itu lebih teruk berbanding pilihan raya 1969 (66 peratus), 1990 (70.5 peratus) dan juga 1999 (76.68 peratus).

Pada 1990, prestasi BN merosot berikutan perpecahan dan krisis dalaman antara kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dengan terbentuknya Team (kumpulan) A dan Team B.

Pada pilihan raya umum 1999 pula, kemerosotan adalah berkaitan langsung dengan krisis politik berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Kabinet dan Umno pada September 1998, dengan menjadikan Dr Mahathir sebagai sasaran utama.

Tetapi konflik besar yang berlaku dalam negara ketika itu, tidak membawa kepada kemerosotan yang begitu teruk terhadap pencapaian BN. Faktor yang membawa kepada merosotnya pengaruh BN ini bukan disebabkan satu faktor tunggal, sebaliknya gabungan beberapa faktor yang saling berkait antara satu sama lain.

Faktor kepemimpinan atasan, dasar kerajaan, kenaikan harga barang, harga petrol, isu tol lebuh raya, calon yang tidak berpuas hati, perpecahan sesama ahli dalam parti yang bertanding dan sebagainya mempengaruhi keputusan pilihan raya kali ini.

Kalau dikatakan faktor kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin nombor satu yang membawa kepada kemerosotan pilihan raya kali ini adalah tidak begitu tepat. Mungkin ada benarnya kepemimpinan Pak Lah ada kaitan dengan pencapaian yang lemah tetapi ia tidak boleh dipersalahkan sebagai faktor utama.

Ketika Pilihan Raya Umum 1999, banyak pihak tidak bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir, tetapi ia gagal mengurangkan majoriti dua pertiga. Ini bermakna satu faktor tunggal tidak begitu berjaya mempengaruhi keputusan sesuatu keputusan pilihan raya.

Apa yang berlaku ini boleh dilihat sebagai satu proses kematangan dalam demokrasi dan pilihan rakyat di Malaysia. Kita sekarang sudah memasuki setengah abad kedua selepas merdeka. Banyak faktor sudah berubah.

Yang paling jelas adalah tahap pemikiran dan proses membuat keputusan sebahagian besar rakyat sudah berubah. Tahap pemikiran dan pencapaian ilmu sebahagian besar rakyat semakin bertambah baik. Ini ditambah lagi dengan kemudahan teknologi taklimat dan jaringan perhubungan yang jauh berbeza dalam tempoh masa 10 tahun lalu. Semua ini mempengaruhi kepada pola keputusan pengundian dalam pilihan raya 8 Mac 2008 lalu.

Semua ini kelihatan bagaikan menjurus ke arah pembentukan sistem dua parti. Bersediakan kita semua ke arah itu?

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]