Sunday, September 19, 2010

SERAH JIKA TAK BOLEH PIKUL.........MASA BERTANDING SEMUA BOLEH

Analisis: Khairy pikul amanah berat
Oleh Ahmad Naim Tahir

SELEPAS kira-kira empat bulan menunggu dengan penuh debaran dan sekali-sekala dikejutkan dengan unsur tuduh menuduh dan tohmahan, akhirnya terjawab sudah siapa calon yang mendapat kepercayaan mengisi kekosongan jawatan nakhoda Pergerakan Pemuda Umno. Perwakilan Pemuda semalam memilih Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai ketua mereka yang baru, menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak mempertahankan jawatannya.

Bagi sesetengah pihak sebagai keputusan agak mengejutkan kerana Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau dikatakan agak ketinggalan berbanding dua pesaingnya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Selama kira-kira enam bulan sehingga kelmarin, pelbagai pandangan, spekulasi dan rating dihebahkan mengenai prospek ketiga-tiga calon berkenaan.

Ketika ada pihak mendakwa Mukhriz selesa mendahului, yang lain pula mendakwa kononnya Dr Mohamad Khir jauh meninggal-kan dua saingannya. Akhirnya kuasa memberi jawapan kepada persoalan berkenaan adalah di tangan perwakilan. Seorang pembantu Khairy ketika ditanya perkara itu tidak lama sebelum pemilihan sekadar menjawab Alhamdulillah - tanpa mahu turut terjerumus ke dalam kancah meneka tanpa kepastian.

Bagi jawatan Naib Ketua yang turut menyaksikan pertandingan tidak kurang hebat, khabar gembira diterima Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim untuk mengetepikan pesaingnya, Datuk Reezal Merican Naina Merican. Dengan terungkainya persoalan itu, semua ahli pergerakan berkenaan khasnya, seluruh warga Umno amnya kini boleh menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada gerakan memulihkan parti tunjang kerajaan itu pada mata penyokong dan penentangnya.

Kini, di bahu Khairy dan Razali yang juga Ahli Parlimen Muar terletak tanggungjawab cukup besar, bukan sekadar membicarakan konteks dalam negara tetapi juga lantang membahaskan isu antarabangsa, terutama yang membabitkan penindasan ke atas umat seagama dan hak asasi manusia. Pada bahu mereka juga disandarkan harapan memandu Pemuda ke tahap lebih cemerlang, sekali gus membina legasi gemilang berpandukan contoh ditinggalkan pemimpin terbilang yang dilahirkan Pemuda sejak 1950-an lalu.

Dengan restu lebih 700,000 ahlinya, Khairy dan Razali harus berani menentukan hala tuju pergerakan berkenaan bagi menonjolkan peranan Pemuda yang berjuang tanpa bertunjangkan sebarang kepentingan, kecuali untuk membela nasib rakyat, bukan sekadar ‘suara rasmi’ kerajaan. Dalam senarai tanggungjawab mereka juga ialah mempersiapkan pergerakan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang bakal menyaksikan pertambahan jumlah pengundi muda, kumpulan umur yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU Ke-12.

Disokong barisan 20 Exco dari kepelbagaian latar belakang, Pemuda di bawah teraju kepemimpinan baru berupaya membawa anjakan prestasi ke tahap lebih tinggi dan memenangi semula hati akar umbi walaupun mungkin nanti dilabel dengan gelaran tertentu. Sejak penubuhannya, Pemuda Umno pernah mendapat pelbagai gelaran, dipanggil kumpulan pendesak, kumpulan tahan lasak serta kumpulan halia atau ‘ginger group.’

Apa juga gelaran yang diberikan, Pemuda harus memastikan maksud dan inti pati perjuangannya tidak lari daripada landasan untuk menunjang kepentingan bangsa, memartabatkan kesucian agama dan negara, menjadi benteng mempertahankan nasionalisme. Pesan Hishammuddin dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Pemuda semalam wajar direnung sentiasa: "Pemimpin bersilih ganti dan peranan kepemimpinan mungkin berbeza, tetapi tanggungjawab kekal dan perlu dipenuhi dengan penuh amanah.”

Usul Pemuda:

* Menginsafi bahawa perlunya diperkukuhkan semula sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap Umno seperti diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu

* Menyedari kepentingan dan perlunya diwujudkan satu gerakan baru untuk kembali mendekatkan Umno kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang dan halangan.

* Mengakui bahawa golongan pengundi muda dan generasi baru mempunyai cita rasa berbeza serta melihat Umno dari kaca mata berlainan yang juga menjadi antara rasional yang menjauhkan mereka dari Umno

* Menyedari penguasaan parti terhadap kerajaan semakin pudar dan memberi kesan besar terhadap keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan membantu rakyat dari pelbagai latar belakang dan keperluan

* Maka persidangan tahunan Pergerakan Pemuda Umno yang bersidang mengambil ketetapan:
o Menggesa seluruh ahli dan jentera Pemuda bersatu hati, beriltizam, berazam dengan bersungguh hati dan jiwa untuk menggembleng segala usaha memperkukuhkan semula kekuatan parti dan sokongan pelbagai lapisan rakyat terhadap Umno

o Mendesak supaya satu gerakan menyeluruh dimulakan di semua peringkat untuk memperlihatkan kesungguhan Umno berubah mengikut kehendak dan tuntutan suara hati rakyat

o Menuntut agar satu mekanisme baru dilaksanakan secara total bagi membersihkan tanggapan negatif terhadap imej parti dan isu-isu yang mengakibatkan sokongan ahli luntur seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah politik, politik penindasan dan cantas mencantas, dan

o Menyeru supaya perubahan besar dibuat dengan memberi lebih banyak ruang untuk generasi muda dalam kepemimpinan Umno mendapat tempat dan membuktikan keupayaan membina semula sokongan padu rakyat, terutama generasi muda terhadap parti



No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]