Sunday, September 19, 2010

TINGGAL HARAPAN SAHAJA.

Harapan Ketua Pemuda

KETUA Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin mengajak semua peringkat kepemimpinan dan ahli pergerakan itu menjulang semangat setiakawan dalam membawa Umno menghadapi cabaran yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Beliau berkata, konsep setia kawan akan dijadikan semangat untuk diserapkan ke setiap jiwa pemimpin dan anggota Pemuda.

“Bagi yang tidak bersama (menyokong) saya, tak bermakna mereka akan dipinggirkan. Semangat setiakawan akan kita jadikan satu semangat yang boleh diterapkan pada setiap jiwa ahli Pemuda,” katanya berucap menggulung Persidangan Perwakilan Pemuda Umno, di sini, malam tadi.

Dalam ucapan sulungnya sebagai peneraju baru pergerakan itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau melahirkan rasa terharu di atas amanah diberikan perwakilan kepadanya untuk memimpin pergerakan itu.

“Sebelum ini, ada yang kata saya sudah habis (dalam politik)... tiada lagi masa depan. Tanpa Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), saya habis. Namun, saya kembali kepada asas perjuangan iaitu persahabatan dan setia kawan.

“Alhamdulillah... dulu saya menang percuma (pemilihan Naib Ketua Pemuda), hari ini (semalam) ada pertandingan dan saya menang, tapi yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua,” katanya.

Beliau turut mengajak semua warga pergerakan itu supaya menegur kepemimpinan Pemuda jika tidak menyenangi apa juga perlakuan yang dilihat mereka sebagai salah.

“Jika silap dan salah, tegurlah saya dan ahli jawatankuasa kerana kita semua manusia biasa,” katanya.

Khairy turut memberi jaminan kepada ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) yang semangat setiakawan ingin diterapkan dalam pergerakan itu turut merangkumi kerjasama dengan rakan dalam parti komponen.

Sementara itu, Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim pula berkata, beliau akan bekerjasama dengan Khairy untuk membantu memartabatkan lagi peranan Pemuda Umno.

Katanya, sebagai orang nombor dua, beliau perlu mentaati ketua, selagi pemimpin itu menjalankan tugas dengan baik demi kepentingan parti dan ahli, selain memberi pandangan membina jika perkara sebaliknya berlaku.

“Saya yakin beliau mampu laksanakan tugas dengan baik dan akan mengikut arahan ketua. Keputusan sudah dibuat, sebagai orang nombor dua saya akan tetap bekerja dengan ketua, mentaati beliau, selagi beliau menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, tugas pertama yang mahu dilakukannya adalah untuk menjalankan kerja sebagai Naib Ketua dengan baik dan meminta Pemuda memberi peluang untuknya berkhidmat bersama Khairy.

Beliau menyerahkan kepada Khairy untuk menentukan peranan yang boleh dimainkan Mukhriz Mahathir dan Dr Mohamad Khir.

Sementara itu, Datuk Mukhriz Mahathir yang kalah dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Pemuda Umno, berikrar akan tetap meneruskan perjuangan dalam parti tanpa rasa kecewa terhadap mana-mana pihak.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata beliau adalah seorang yang setia pada parti dan tidak akan mengundurkan diri disebabkan kekalahan itu.

“Saya terima kekalahan ini dengan hati terbuka. Dalam mana-mana pertandingan sudah tentu ada kalah dan menang. Dalam pertandingan tiga penjuru, dua akan kalah dan saya adalah seorang daripadanya,” katanya kepada pemberita semalam.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]